Isnin, 9 Jun 2014

Projek Nemo III ; Kehilangan kelahiran pertama (sekali lagi)

"Mika dah sampai masa untuk beranak. Mungkin dalam 3 hari ini". Kata roomate aku, Cop selepas aku tiba ke rumah pada hari itu. Perut Mika dah membesar dan kadang-kadang aku merasakan agak lucu sebab Mika banyak menghabiskan masanya duduk daripada bermain. Aku dan Cop dah bersedia dari segi mental dan fizikal menunggu kelahiran pertama Mika. Kami sebenarnya cuba untuk tidak kehilangan kelahiran Mika sebab sebelum ini dah kehilangan kelahiran pertama Nemo beberapa bulan yang lepas.

Aku bangun lewat sebab kepenatan bekerja ditambah pula hari itu merupakan hari cuti Gawai. Kami baru saja pulang semalam dari Balingian selepas menghadiri pengilan (kenduri kahwin) di Pekan Balingian. Tidur aku yang indah dikejutkan dengan jeritan Cop. "Mika dah beranak!". Aku yang masih separa sedar terus bangkit dari katil, namun terdapat kelainan dari segi suara Cop. Ia bukan suara kegembiraan tapi seperti suara kesedihan yang cuba ditahan. Aku bergegas keluar dan melihat sememangnya Mika dah beranak. Terdapat seekor anak kucing yang baru dilahirkan di dalam tempat najis Mika! "Aduh, dia salah tempat nak beranak". Memang tiada siapa menyangka yang Mika akan beranak pada hari itu sebab sepanjang kami berada di Balingian, dia tidak menunjukkan apa-apa tanda nak beranak. Apatah lagi selepas Mika ditumpangkan di rumah saudara Cop untuk dijaga sepanjang ketiadaan kami. Malah Mika juga tidak bising seperti kebiasaan kucing biasa nak beranak.

Selepas menguruskan bangkai anak Mika yang pertama, aku mencadangkan kepada Cop untuk menghantar Mika ke klinik haiwan. Namun, disebabkan masih cuti umum Gawai, tiada klinik haiwan dibuka. Malah, hanya ada 1 saja klinik haiwan yang aku tahu setakat ini di Bintulu. Pada waktu tu aku lihat Mika dah mula keletihan dan mencuba sekali lagi untuk beranak. Aku dan Cop bergilir-gilir menjaga dan melihat Mika cuba untuk beranak. Sepanjang hati itu, tiada walau seekor anaknya yang keluar. Kami dah cemas. Dan cuba untuk menghubungi mana-mana kawan di laman sosial dan nombor doktor haiwan untuk mendapatkan nasihat. Namun tidak berhasil. Dalam keadaan aku yang masih lagi tegang, aku mendapat panggilan telefon.

"Radin, esok awak kena ambil saya di Sibu. Lepas tu kita pergi Site Visit di Oya." Panggilan telefon daripada Projek Director aku yang menyatakan aku kena ke Sibu dengan nya. Hanya Allah je yang tahu perasaan aku pada waktu tu. Dalam keadaan Mika tengah sarat nak beranak, ditambah pula dengan komitmen kerja. Aku dengan berat hati bertolak ke Sibu awal pagi keesokan paginya. Mika masih lagi tidak beranak pada kali terakhir aku menjenguknya. Aku bertolak tepat jam 7 pagi dan tiba di Sibu jam 10 pagi. Pada selepas aku sampai ke hotel untuk check-in, aku menerima panggilan dari Cop. "Mika kena bedah, kalau tak dia mati". 

Cop dah menghantar Mika ke klinik haiwan, dan pada waktu tu aku merasakan mungkin kami dah terlambat untuk selamatkan kelahiran pertama Mika. Aku mendengar dengan pasrah dan Cop meminta kata putus dari ku dan aku mengatakan "Ya". Aku menerima berita sedih petang tu.. 5 ekor anak dalam kandungan Mika semuanya mati. Namun nyawa Mika dapat diselamatkan. Aku tahu berita itu memang melemahkan semangat aku untuk mendapatkan anak-anak kucing yang comel dari Nemo dan Mika. Dan aku menyatakan pada Cop, dalam masa setahun ni, kita jangan paksa mereka berdua membiak. Cukuplah mereka berdua buat masa ini. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails