Memaparkan catatan dengan label Novel Review. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel Review. Papar semua catatan

Selasa, 20 Mac 2012

Novel Review 02 ; The White Queen

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Sebelum ini, saya ada menceritakan akan novel karangan Philippa Gregory yang bertajuk "the Red Queen". Tapi sebenarnya cerita tersebut adalah kesinambungan kepada cerita sebelumnya. Satu perkara yang menarik tentang penulis ini adalah, beliau menceritakan semula kisah sejarah Kerabat Diraja England ketika di akhir zaman pemerintahan Dinasti Plantagenet. Bukan satu perkara yang mudah, namun setiap satu mampu diceritakan dengan sebahagian olahan fakta sejarah. Untuk segmen kedua ini, saya akan mengetengahkan novel "the White Queen".


Permaisuri Ros Putih, Elizabeth Woodville


Pasti anda tertanya-tanya, apakah perbezaan antara Ros Merah dan Ros Putih? Pertama sekali, bunga Ros adalah lambang keluarga diraja England ketika zaman Dinasti Plantagenet dan Dinasti Tudor. Selepas kematian ahli terakhir keluarga utama Plantagenet, keluarga ini terpecah kepada dua iaitu Dinasti Lancaster (Ros Merah) dan Dinasti York (Ros Putih). Seperti namanya, buku kali ini menceritakan akan perjuangan seorang wanita yang berkahwin dengan ahli Dinasti York sementara buku the Red Queen pula berkisar akan seorang wanita yang menjadi ahli keluarga Dinasti Lancaster. Watak utama dalam buku ini secara ringkas terdiri daripada :-

Elizabeth Woodville : Wanita ini secara umumnya lahir sebagai rakyat biasa walaupun mempunyai darah bangsawan di sebelah ibunya. Dia merupakan wanita yang tercantik pada zamannya, dan kecantikannya itu telah menarik minat Putera Edward dari York untuk mengahwininya. Sekaligus, mencetuskan kontroversi apabila menjadi rakyat biasa yang pertama dalam sejarah menjadi Permaisuri England, dan juga yang pertama berkahwin kerana cinta. Adalah suatu kesalahan pada masa itu untuk berkahwin kerana cinta. Keluarga Grey terkenal kerana wanita-wanita dari keturunan ini semuanya subur, dan Elizabeth menjalankan tanggungjawabnya melahirkan 6 orang Puteri dan 3 orang Putera England, di mana 2 daripadanya mangkat di usia muda. Dia juga mempunyai 2 orang anak lelaki daripada mendiang suami pertamanya.

Kebahagiaannya hilang sedikit demi sedikit selepas kemangkatan Raja Edward IV, di mana anak-anaknya menjadi pelarian, diisytiharkan anak haram, dibuang daripada istana, tidak layak mewarisi tahta dan salah seorang daripadanya hilang.. dipercayai dibunuh oleh pakciknya sendiri, Raja Richard. Di akhir cerita, Elizabeth Woodville cuba untuk menyelamatkan anak lelakinya dan menjadikannya sebagai Raja England dengan bersekutu dengan Margaret Beaufort. Namun, keadaan tidak memihak kepadanya.

Edward IV : Putera Edward merupakan salah seorang daripada waris Dinasti York. Dia dan 2 orang adiknya, George dan Richard digelar sebagai 3 matahari keluarga York. Perkahwinannya dengan Elizabeth Woodville mencetuskan kontroversi di seluruh negara, malah seluruh Eropah kerana Permaisurinya daripada kalangan rakyat biasa. Namun, ianya diketepikan apabila Edward dan Elizabeth berjaya melahirkan putera-puteri dan mendidik mereka menjadi antara kerabat diraja paling cantik dan paling menarik di Eropah. Dia berjaya menjatuhkan Dinasti Lancaster dengan membunuh kesemua waris lelaki Lancaster. Namun, segalanya berubah selepas itu, apabila ketiga-tiga mereka mula berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan tahta.

Elizabeth of York : Puteri Elizabeth dari York ini adalah anak sulung Raja Edward IV bersama Elizabeth Woodville. Mewarisi kecantikan ibunya, namun tidak seperti ibunya, dia lebih suka tinggal di luar istana dan tidak mahu melibatkan diri dalam politik negara yang sentiasa dilanda peperangan kerana merebutkan tahta. Dia antara yang menjadi mangsa keadaan selepas kematian ayahnya iaitu diisytihar sebagai anak haram dan dia kehilangan segala statusnya sebagai seorang puteri raja.

Walaupun begitu, dia taat kepada perancangan ibunya untuk mengahwinkannya dengan Henry Tudor, iaitu anak lelaki tunggal kepada Margaret Beaufort. Satu perancangan yang akhirnya menjadikannya Permaisuri England di masa hadapan.

Lady Jacquetta of Luxembourg : Lady Jacquetta adalah waris bangsawan Luxembourg dan merupakan ibu kepada Elizabeth Woodville, nenek kepada Elizabeth of York. Dialah perancang utama yang menyebabkan Edward IV jatuh cinta kepada anaknya, dikatakan mahir dalam menggunakan ilmu hitam yang diwarisi turun temurun dari keluarganya.


Jadi secara ringkasnya, Elizabeth Woodville sama seperti wanita lain yang tidak mementingkan darjat dan harta. Namun, semuanya berubah apabila dia menjadi Permaisuri dan tinggal di istana. Di samping juga dia mempunyai anak-anak lelaki untuk mewarisi tahta kerajaan. Dia sentiasa mencari jalan untuk mengembalikan mereka ke tahta England dengan apa cara sekalipun. Namun, takdir menentukan yang Dinasti Plantagenet akhirnya tamat. Penamatan mereka adalah amat tragis. Bukan berakhir kerana dibunuh oleh orang luar, tetapi berakhir kerana berbunuhan sesama sendiri.

Selasa, 18 Oktober 2011

Novel Review 01 : The Red Queen

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Bermula dari bulan ini, segmen baru di Radin’s Blog Entertainment akan menjengah memberikan informasi kepada para pengunjung. Segmen baru ini adalah segmen Novel Review. Segmen perkongsian di mana novel yang telah saya baca sebelum ini akan saya huraikan secara ringkas di laman web ini. Untuk segmen pertama ini, novel yang akan diketengahkan adalah novel karangan Philippa Gregory yang bertajuk "The Red Queen".


Permaisuri Ros Merah, Margaret Beauforts

Photobucket

Buku ini secara ringkas menerangkan akan kisah hidup seorang Puteri berketurunan raja bernama Margaret Beaufort. Beliau bukanlah seorang Puteri Raja dan bukanlah seorang Ratu yang memerintah sebuah negara dan bukan juga seorang Permaisuri kepada seorang Raja Pemerintah. Tetapi baginda merupakan ibu kepada bakal raja, yang akan menyatukan dua buah Keluarga Diraja, Dinasti Lancaster dan Dinasti York menjadi sebuah Dinasti baru bernama Dinasti Tudor.

Baginda merupakan ibu kepada Raja England, Henry VII dan juga nenda kepada Raja England, Henry VIII. Baginda dilahirkan dalam keluarga Beaufort, iaitu keluarga cabang kepada Dinasti Lancaster yang memerintah England pada ketika itu. Pemerintahan Dinasti Lancaster pula dicabar oleh musuh tradisinya iaitu Dinasti York.

Hidup Margaret Beaufort secara ringkas :-
  1. Pewaris tunggal Keluarga Beaufort. Disebabkan dilahirkan sebagai wanita, beliau dianggap tidak bernilai. Beliau dikahwinkan dengan pewaris Dinasti Lancaster iaitu Edmund Tudor seawal umur 12 tahun. Tugas pertama beliau bermula untuk melahirkan pewaris tahta England bermula.
  2. Setahun selepas perkahwinan, beliau melahirkan anaknya yang pertama dengan susah payah dan hampir kehilangan nyawanya. Anak sulungnya dinamakan Henry Tudor.
  3. Namun, di awal usia itu juga, beliau kehilangan suaminya iaitu Edmund Tudor yang mati dalam peperangan. Keluarga Beaufort kemudian mengahwinkan Margaret dengan keluarga bangsawan berada iaitu Keluarga Stafford untuk tugas yang sama, melahirkan zuriat.
  4. Berbeza dengan Edmund Tudor yang menganggapnya sebagai ‘kilang memproses anak’, suami barunya iaitu Lord Stafford melayannya umpama anaknya sendiri dengan perhatian dan kasih sayang. Margaret Beaufort banyak mempelajari ilmu di rumah Stafford. Tetapi, beliau sangat hampa dengan suaminya, yang tidak mahu berperang.
  5. Margaret Beaufort, sekarang ini bergelar Margaret Stafford bertekad mahukan anaknya Henry Tudor, menjadi Raja England. Beliau tidak mahu susah payah melahirkan anak tunggalnya itu sehingga hampir maut menjadi sia-sia. Beliau lebih bertekad apabila memahami hakikat yang dia sudah mandul akibat melahirkan anak di usia yang amat muda.
  6. Selepas kematian Lord Stafford, Margaret berkahwin dengan Lord Stanley, dan pada kali ini dengan pilihannya sendiri. Lord Stanley adalah seorang yang amat licik dan sentiasa hanya setia kepada pihak yang akan menang dalam peperangan. Seseorang seperti Stanley yang licik dan tidak setia kepada satu-satu pihak adalah calon yang sesuai untuk perancangannya membantu anaknya kembali ke tahta England.
  7. Henry Tudor dan bapa saudaranya, Jasper Tudor sekarang hidup dalam buangan di Dukedom Brittany. Cuba untuk mengumpulkan kekuatan untuk merampas kembali tahta yang kini dipegang oleh Dinasti York.
  8. Untuk melengkapkan perancangan menjamin kedudukan anaknya dan keturunannya sebagai Raja England, Margaret Beaufort yang sekarang ini bergelar Margaret Stanley mengaturkan perkahwinan antara anaknya, Henry Tudor dan Puteri Elizabeth dari York, iaitu anak kepada Elizabeth Woodville, yang dahulunya adalah Permaisuri Dinasti York, musuh tradisinya. Penyatuan 2 keluarga diraja itu adalah satu-satunya cara untuk memastikan hanya satu keluarga diraja sahaja mempunyai hak atas tahta England.
  9. Pertarungan terakhir antara Henry Tudor dan Raja England, Richard bermula.
Mampukah kebahagian yang berpanjangan menjadi milik Margaret Beufort? Dikahwinkan dalam usia muda, hampir kehilangan nyawa kerana melahirkan anak, dipisahkan dari anaknya hanya untuk dikahwinkan ke keluarga lain, melihat kehancuran Dinasti Lancaster kepada Dinasti York, menjadi dayang kepada seorang permaisuri yang berasal dari rakyat biasa, dan bermacam-macam lagi keseksaan di dalam kehidupan wanita ini mewarnai jalan cerita novel ini.

Sekian buat masa ini,
Salam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails