Khamis, 28 April 2011

PK01 ; Perancangan Kewangan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua.

Photobucket

PK01 merupakan segmen baru untuk RBE. PK bermaksud 'Pengurusan Kewangan'. Seperti yang ada semua maklum, duit dan kehidupan memang tidak dapat dipisahkan. Kadang-kala, kita terlalu obses bekerja demi mencari duit sehingga menjadikan hidup kita seolah-olah hidup untuk duit. Dan, selepas berada di alam pekerjaan selama sebulan, saya sudah mendapat gambaran yang bergantung hidup dengan 'makan gaji' tidak akan menjadikan kita kaya. Kita akan senantiasa dibelenggu masalah kewangan.

Jadi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bapa saudara saya seolah-olah memahami hakikat yang saya memang mengalami masalah kewangan. Sekurang-kurangnya, kita memerlukan gaji hampir RM5000 sebulan untuk hidup di kawasan seperti Lembah Klang. Rendah daripada itu, memang tidak mencukupi. Dan, dia mengajar saya beberapa tips untuk menguruskan kewangan. Selebihnya, bergantung pada usaha sendiri. Memandangkan setiap yang diajarnya disertai dengan tugasan, oleh itu, saya berkongsikan tips nya di sini agar saya sendiri boleh mengusahakan apa yang sudah ditulis.

Pertama sekali, bahagikan pendapatan kepada 3 bahagian. Iaitu Peribadi, Pelaburan dan Simpanan.

  1. Peribadi
    Bahagian ini adalah bahagian peribadi anda untuk perbelanjaan sepanjang bulan. Seperti belanja makan, hutang, top-up, pengangkutan, pakaian, kesihatan dan lain-lain. Tiada pembahagian khusus untuk bahagian ini. Terpulang kepada anda untuk membahagikannya.

  2. Pelaburan
    Ini adalah bahagian untuk modal anda menjana pendapatan sampingan. Sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bulanan anda. Namun, ia juga terpulang kepada kemampuan anda.

  3. Simpanan
    Ini adalah bahagian terakhir. Ia adalah untuk bahagian anda jika berlaku kecemasan dan anda perlukan wang segera. Sekurang-kurangnya simpan 10% daripada gaji anda setiap bulan.

CONTOH :-

Baiklah, selepas mengetahui 3 bahagian di atas, saya akan berikan contoh sebagai gambaran anda. Dalam contoh di sini, pendapatan gaji bulanan adalah RM1,500. Maka :-

Gaji Kasar : RM 1,500
Gaji Bersih : RM 1,300 (anggaran selepas ditolak KWSP dan Socso)

Simpanan : RM150
Pelaburan : RM 150
Peribadi : RM 1000

(Ini adalah contoh sahaja, terserah kepada anda sendiri bagaimana hendak membahagikannya.)


TUGASAN

Baiklah, tugasan yang diberikan kepada saya pada bulan ini adalah..

"Bagaimana nak tukarkan pelaburan daripada RM 150 kepada tambahan pendapatan sampingan sebanyak RM1500?"

Sekian sahaja untuk masa ini, berjumpa di bulan hadapan
Salam.

Selasa, 26 April 2011

Final Exam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Pertama sekali, status-status di facebook pada hari ini kebanyakannya berubah sama sekali. Sebahagian rakan-rakan yang dahulunya amat rajin melayari laman sesawang tersebut telah berubah kulit sama sekali. Semuanya mula 'rajin' mengulangkaji pelajaran demi peperiksaan akhir yang bakal menjelang. Satu perkara yang menyeronokkan selepas bekerja adalah, anda tidak perlu lagi bersusah payah mentelaah pelajaran kerana sudah tiada lagi ujian yang perlu anda hadapi. Apa-apa pun, pengalaman di menara gading masih segar dalam ingatan. Selamat Berjaya kepada semua yang akan menghadapi ujian dalam masa terdekat ini.

Photobucket

Dan, Mahasiswa di Malaysia ini amat bertuah kerana sebelum peperiksaan bermula, akan ada satu minggu 'Study Week' ataupun 'Study Leave'. Seorang kenalan saya yang baru menamatkan pelajarannya di luar negara pelik ketika pertama kali mendengar perkataan Study Leave. Saya juga kehairanan. Mustahil seseorang tidak memahami perkara tersebut. Selepas berbincang dengan bapa saudara saya, yang juga dahulunya belajar di luar negara, barulah saya faham.

Tiada istilah Study Week di Universiti Luar Negara. Di sana, tiada cuti sebelum peperiksaan akhir. Betapa bertuahnya pelajar Malaysia. Namun, itulah bukti nyata dan kukuh bahawa..

Di luar negara, kami belajar untuk ilmu. Kami selalunya tidak mendapat markah yang tinggi ketika periksa, tetapi kami boleh bekerja dengan baik jika diberikan tugas.

Di Malaysia, semuanya 'exam oriented'. Markah cantik di kertas, tapi jika disuruh 'Hands-on', tidak semestinya boleh.

Sekian sahaja buat masa ini
Salam

Ahad, 24 April 2011

Perihal Nasi Lemak..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Photobucket

Beberapa hari ini di dada-dada akhbar terpampang berita akan isu makanan berlemak tinggi akan dihadkan jumlah pengambilannya di sekolah. Antara yang termasuk di dalam senarai adalah nasi lemak, roti canai dan lain-lain. Kadang-kala terfikir juga, memang negara kita ini amat mewah dengan makanan. Lihat sahajalah kiri dan kanan, apatah lagi ketika bulan puasa, juadah yang dijual untuk berbuka memang amat menyelerakan.. dan.. seperti makanan tradisional Malaysia yang lain, ianya berlemak tinggi.

Jadi, kita memang tidak boleh menyalahkan sepenuhnya Nasi Lemak dalam kes ini. Sememangnya makanan yang kita ambil sehari-hari memang penuh dengan lemak. Dan, dalam kes budak sekolah pula, ia lebih daripada hanya Nasi Lemak semata-mata. Kalau kita gali lagi lebih dalam, kita akan dapati tabiat pemakanan yang tidak sihat adalah punca kepada masalah utama rakyat Malaysia sekarang iaitu obesiti. Dan menu paling popular, Air Gas!
Tidak percaya? lihat lah sendiri. Ada ibu bapa yang terlalu manjakan anak, sehingga memberi mereka minum air gas ini setiap hari!

Photobucket

Makanan tradisional kita pula sememangnya diakui mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Tapi, kenapa orang dahulu sihat-sihat dan jarang ada yang obesiti?

Jawapannya adalah, gaya hidup yang sihat. Dahulu, 70% rakyat kita hidup di bawah paras kemiskinan. Cuba kita tanya datuk dan nenek kita, pada masa itu, hendak merasa ayam dan daging pun kadang-kala hanya setahun sekali. Itupun kalau dapat. Setiap hari menu utama adalah pucuk-pucuk paku yang sentiasa mudah diperolehi di belakang rumah. Nasi lemak? pun jarang-jarang. Saya dahulu membesar di kampung, dan menu yang biasa untuk sarapan adalah, ubi kayu.

Photobucket
Pucuk Paku, juadah biasa bagi mereka yang membesar di kampung era 80-an dan 90-an.

Makanan yang dahulunya dimakan setahun sekali sekarang ini kita makan hampir setiap hari! Mana tidaknya.. Dan tambahan pula, pada masa itu, semua kerja di ladang. Setiap hari mereka memerah keringat demi sesuap nasi. Pada masa sekarang? Kita memerah kepala untuk kerja-kerja di pejabat. Memenatkan, tapi tidak membantu membakar kalori. Dan bila kita makan, lemak makin lama semakin banyak terkumpul.

Jadi, sebelum kita obes, baik kita ubah tabiat makan kita. Berat saya dahulu adalah 64kg, tapi saya berjaya turunkan kepada 54kg, dengan ubah tabiat makan.

Sekian sahaja buat masa ini.
Salam.


Jumaat, 22 April 2011

Ditekan, Tertekan...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Photobucket

Berbagai-bagai peristiwa berlaku pada minggu ini. Terlalu memenatkan sampai ada satu tahap saya hampir putus asa dan mahu terus berhenti kerja dan pulang ke Johor Bahru. Padahal, belum pun sampai satu bulan kerja. Keputusan yang tergesa-gesa itu memang amat memeranjatkan semua pihak. Malah, ibubapa saya sendiri pun membantah tindakan saya itu. Apatah lagi, apa yang berlaku itu adalah sesuatu yang ayah saya sendiri katakan sebagai 'Cabaran hidup'. Kerenah rakan pejabat dan Gaji rendah adalah satu alasan picisan bagi mereka.

Gaji rendah, sesiapa yang bekerja mahukan gaji yang tinggi, betul? Itulah sebab kita bekerja, mahu menyara sendiri kehidupan. Tapi, bagaimana kehidupan kita jika pendapatan bulanan hanya sekitar RM1000 dan hidup di kawasan seperti di Lembah Klang? Ya, itu yang saya maksudkan. Memang menyebabkan moral saya turun mendadak. Ramai juga kawan-kawan yang menggesa agar tukar pekerjaan secepat mungkin. Tapi, beberapa kenalan rapat seperti ibubapa, sepupu dan juga bekas rakan sebilik menggesa agar mencari dulu pengalaman kerja di tempat sekarang. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang, amat susah untuk mendapatkan kerja.

Photobucket

Dan berkenaan dengan kerenah rakan sekerja, ini pun memang di luar kawalan kita. Kita kena cuba untuk suaikan diri walaupun kadang-kadang mereka cukup membuatkan kesabaran kita tercabar. Bukan kita seorang sahaja yang duduk di dunia ni. Perangai setiap orang juga berbeza. Ini juga perkara kecil. Semakin besar syarikat tempat kita bekerja, semakin banyaklah kerenah manusia yang perlu kita layan. Ini semua lumrah kehidupan. Dan, tentang masalah kewangan pula, kenalah cuba membuat perancangan kewangan yang berkesan untuk mengawal perbelanjaan. (Contohnya, macam mana nak cari RM2000 daripada RM1000??)

Sekian saja untuk kali ini.
Salam

Isnin, 18 April 2011

Jalan - jalan Kuala Lumpur

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Setelah hampir sebulan bekerja, akhirnya tugas pertama telah datang. Walaupun hanya sekadar mengikut, tetapi ia cukup sebagai satu pengalaman awal untuk melihat dengan sendiri bagaimana kerja sebagai seorang Jurutera Penyelia. Tugasnya cukup mudah, hanya memastikan yang keadaan tempat tersebut adalah mengikut undang-undang dan piawaian. Kerjanya mudah sahaja, tetapi untuk ke tempat-tempat lawatan tapak tersebut adalah cerita yang lain.

Photobucket

Kawasan yang terlibat tadi adalah kawasan Datuk Keramat. Anda yang sudah biasa dengan Kuala Lumpur pasti sudah mengetahui bagaimana keadaan jalan raya di Kuala Lumpur sehari-hari bukan? Amat Sesak.. Sepatutnya, saya kena cuba sedaya upaya untuk mengingat dan mengecam setiap jalan-jalan di Kuala Lumpur untuk kemudahan di hari yang mendatang (untuk tugasan di masa hadapan). Tapi, Kuala Lumpur bukan Johor Bahru. Amat sukar untuk mengingat kesemua laluan di sana. Jika ada di antara kamu ada tip-tip yang berguna bagaimana untuk mengingat jalan di KL ni, janganlah malu untuk kongsikan bersama. huhuhu...

Photobucket

Apa yang penting, selepas lawatan tapak, laporan perlu disiapkan dengan seberapa segera. Dan, jangan tangguh kerja kemudian bawa pula ke rumah. Makin memeningkan kepala sahaja. Kerja di pejabat, selesaikan di pejabat.

Sekian sahaja buat masa ini.
Salam.


Jumaat, 15 April 2011

Malang tidak berbau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Perjalanan pergi kerja pada hari Jumaat antara yang paling seronok sekali. Tidak tahu apa sebabnya, tetapi perjalanan pergi kerja sama ada di Lebuhraya Persekutuan atau pun Komuter lengang di pagi Jumaat. Tidak seperti hari lain yang pengguna terpaksa bersesak-sesak, perjalanan hari Jumaat selalunya berjalan lancar. Pagi ini berjalan seperti pagi yang lain, cuma pagi tadi, saya difahamkan yang seorang pekerja di bahagian pentadbiran telah berhenti kerja. Jadi, saya ditugaskan untuk masuk sebentar ke bahagian pentadbiran sehingga kemasukan pekerja baru. Dengan lain perkataan, kerja bertambah.

Selepas Solat Jumaat, saya dan seorang teman pergi ke bank untuk urusan Perkeso. Seperti biasa, keadaan penuh sesak dengan orang. Dengan keadaan saya yang dibesarkan di kampung, kehidupan di bandar yang penuh sesak dengan orang kadang-kala merimaskan. Jadi, satu kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke pejabat.

Photobucket

"Bang!!"

Betul-betul di hadapan mata saya, sebuah kereta Honda City berlanggar dengan bahagian belakang sebuah teksi. Disebabkan perlanggaran perlahan, kedua-dua pihak tidak mengalami kerosakan yang serius, dan tiada yang cedera. Namun, amat kesian kepada wanita yang memandu kereta Honda City tersebut. Dalam apa jua keadaan, kereta yang berlanggar di bahagian belakang adalah tidak bersalah. Yang bersalah adalah kereta yang berlanggar di bahagian hadapan. Tidak faham kenapa.. keadaan jalan raya yang sesak memang tidak membenarkan mana-mana kereta memandu laju. Jadi, kesimpulan awal untuk kes ini adalah, pemandu tersebut terleka sebentar ketika memandu.

Baru sahaja Dewan Rakyat reda akan isu pemandu wanita. Tapi, apa-apa pun, malang tidak berbau dan ia tidak mengenal sama ada lelaki atau wanita. Moralnya di sini, berhati-hatilah ketika memandu.

Sekian buat masa ini.
Salam

Rabu, 13 April 2011

Kepenatan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Photobucket

Tidak tahu kenapa, tetapi 2,3 hari ini memang saya terasa kepenatan yang amat sangat. Setiap kali datang kerja, mesti tidak dapat menahan rasa mengantuk yang sentiasa menghantui diri. Sudah beberapa kali tertidur ketika kerja. Nasib baik belum dijumpai oleh bos, kalau tidak, memang kena ceramah percuma laa nampaknya.

Bila ada penyakit, mestilah kita kena tahu puncanya. Adakah sebab tidak cukup tidur? Memang sejak kebelakangan ini saya sentiasa tidur malam pukul 12.30 malam. Tapi, ini memang jadual tidur saya sehari-hari. Jadi, kenapa baru sekarang? Kepenatan sebab berjalan kaki ke pejabat? Saya memang perlukan senaman setiap hari. Lagipun, ia tidaklah terlalu jauh. Hanya sekadar 10 minit perjalanan daripada stesen komuter. Jadi, ia pun sepatutnya tidak menjadi masalah.

Photobucket

Tapi, apa-apa pun.. sebelum benda yang sama berlaku esok, kena la ubatinya segera. Dan, cara yang paling senang adalah dengan tidur awal. Hmm, banyak lagi benda dalam rumah ini belum dikemas.. tapi, esok pagi masih ada...

Sekian sahaja buat masa ini.
Salam

Khamis, 7 April 2011

Kisah di pagi hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Hidup bekerjaya sekarang ini sudah memasuki hampir minggu ke-3. Dalam tempoh ini, sudah ada satu rutin harian yang tetap, dan bergantung kepada seseorang, ia boleh menjadi menyeronokkan dan adakalanya membosankan. Setiap pagi, perlu bangun seawal 5.30 am untuk bersiap-siap, 7.30 am untuk sarapan, 8.00 am sudah bertolak untuk ke stesen KTM Komuter. Dan seperti kebiasaan, inilah waktu paling membosankan... menunggu Komuter yang amat terkenal tidak menepati masa.

Photobucket

Tapi, ada sedikit kelainan pagi ini. Selalunya, seawal jam 8 am, stesen Komuter sudah penuh dengan pengguna-pengguna pengangkutan awam yang menunggu untuk ke tempat kerja. Tapi, pagi ini, keadaan di stesen adalah lengang. Kemudian, komuter datang TEPAT pada masa! Keadaan dalam komuter walaupun ramai, tetapi boleh dikatakan banyak ruang dan selesa. Kadang-kadang terfikir juga, kalau lah setiap pagi begini, alangkah bahagianya hidup~~

Cubalah bayangkan, keadaan di sekitar Lembah Klang sekarang ini, sudah amat-amat bergantung kepada ketepatan masa. Sedikit lewat dalam urusan kita di awal hari, ia akan menyebabkan urusan lain di hari tersebut juga akan lewat. Dan faktor-faktor seperti kesesakan lalu lintas dan kelambatan komuter sememangnya boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna. Entah bila masalah ini boleh diselesaikan walaupun KTM Komuter adalah perkhidmatan paling menguntungkan pihak Keretapi Tanah Melayu.

Sedikit lewat dari jadual, akan menyebabkan pengguna komuter semakin ramai menunggu. Bila makin ramai menunggu, keadaan dalam komuter akan menjadi semakin sesak. Dan ini boleh menjadi masalah kepada orang ramai yang terpaksa menanggung kesengsaraan akibatnya.

Adalah besar harapan kepada pihak KTM Komuter (entah buat berapa kesekian kalinya) agar boleh menambahbaikkan perkhidmatan komuter ini di masa hadapan. Sampai bila hendak guna lokomotif 3-gerabak? Patutnya sudah ditambah menjadi 6-gerabak. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya bolehlah menambahkan ketepatan masa perkhidmatannya.

Dari dulu sampai sekarang di Malaysia ini, jika berjanji pukul 8.00, maka, pukul 8.15 lah baru nampak muka.. haih~~~

Sekian sahaja buat masa ini.
Salam.




Sabtu, 2 April 2011

Didicazli - Rela Setia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Setiap orang pasti ada muzik yang mereka minat, betul kan? Klassik, Hindie, Moden & Kotemporari, Irama tradisional, Nasyid dan lain-lain lagi. Jadi, persoalan ini keluar tadi ketika tengah berborak dengan kawan di telefon. Tiba-tiba, keluar muzik lagi kuat dari suara orang yang bercakap. Dah seperti mendengar radio. Sebenarnya, dia sedang berjalan di kompleks membeli-belah.

Jadi, dalam gurauan selepas itu, kawan saya pun menggelarkan saya..
"Mat Jiwang"

Haha.. tapi kalau difikirkan balik pun, memang ghalit setiap kali dengar lagu-lagu bergenre balada ni. Jadi, selalunya bila sedang memandu, saya akan tutup radio. Kenapa? Kalau la tiba-tiba keluar lagu-lagu jiwang..... hahaha.. gerenti berkhayal punya lah..


Didicazli - Rela Setia

Jumaat, 1 April 2011

Biarkan.. pasti ada balasan..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Akhirnya, diam tak diam, kita sudah pun memasuki ke dalam bulan April, bulan yang keempat di dalam sistem kalendar masihi. Selepas seminggu, mood untuk menulis datang semula. Biasalah, menulis di blog ini kebanyakannya adalah untuk melepaskan masa lapang. Jadi, jika masa lapang itu penuh, atau pun dipenuhi dengan agenda lain.. seperti malas.. memang tidak bersentuh la laman sesawang ini.

Dua tiga hari ini juga, saya dikejutkan dengan berita daripada junior saya di Universiti. Biliknya di universiti dimasuki pencuri! Habis duit dan telefon bimbitnya dicuri, sementara rakan sebiliknya pula kehilangan laptop! Cubalah bayangkan, dalam keadaan test dan pembentangan tajuk Projek Sarjana Muda hanya tinggal beberapa hari lagi, perkara tersebut berlaku. Bertambah marah sebab, saya juga pernah mengalami benda yang sama ketika di hari terakhir di Universiti!

Photobucket

Apa-apa pun, perkara dah berlaku. Biarlah apa mereka nak buat dengan handphone saya tu. Yang penting, di Padang Mahsyar nanti, saya akan minta SEMUA pahala yang dia ada sebagai GANTI!!

Sekian saja untuk kali ini,
Salam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails