Selamat Datang Semua
Berbagai-bagai peristiwa berlaku pada minggu ini. Terlalu memenatkan sampai ada satu tahap saya hampir putus asa dan mahu terus berhenti kerja dan pulang ke Johor Bahru. Padahal, belum pun sampai satu bulan kerja. Keputusan yang tergesa-gesa itu memang amat memeranjatkan semua pihak. Malah, ibubapa saya sendiri pun membantah tindakan saya itu. Apatah lagi, apa yang berlaku itu adalah sesuatu yang ayah saya sendiri katakan sebagai 'Cabaran hidup'. Kerenah rakan pejabat dan Gaji rendah adalah satu alasan picisan bagi mereka.
Gaji rendah, sesiapa yang bekerja mahukan gaji yang tinggi, betul? Itulah sebab kita bekerja, mahu menyara sendiri kehidupan. Tapi, bagaimana kehidupan kita jika pendapatan bulanan hanya sekitar RM1000 dan hidup di kawasan seperti di Lembah Klang? Ya, itu yang saya maksudkan. Memang menyebabkan moral saya turun mendadak. Ramai juga kawan-kawan yang menggesa agar tukar pekerjaan secepat mungkin. Tapi, beberapa kenalan rapat seperti ibubapa, sepupu dan juga bekas rakan sebilik menggesa agar mencari dulu pengalaman kerja di tempat sekarang. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang, amat susah untuk mendapatkan kerja.
Dan berkenaan dengan kerenah rakan sekerja, ini pun memang di luar kawalan kita. Kita kena cuba untuk suaikan diri walaupun kadang-kadang mereka cukup membuatkan kesabaran kita tercabar. Bukan kita seorang sahaja yang duduk di dunia ni. Perangai setiap orang juga berbeza. Ini juga perkara kecil. Semakin besar syarikat tempat kita bekerja, semakin banyaklah kerenah manusia yang perlu kita layan. Ini semua lumrah kehidupan. Dan, tentang masalah kewangan pula, kenalah cuba membuat perancangan kewangan yang berkesan untuk mengawal perbelanjaan. (Contohnya, macam mana nak cari RM2000 daripada RM1000??)
Sekian saja untuk kali ini.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan