Ahad, 9 September 2012

Apa dah jadi?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.

Pertama sekali Selamat Hari Kemerdekaan diucapkan kepada semua. Memang tak sempat langsung nak melayari laman sesawang sepanjang minggu yang lepas. Kesibukan kerja menghalang ku untuk mengemaskini blog sehingga ianya bersawang buat sekian lama. (Ok, itu mungkin alasan.. faktor utama adalah malas..hehe). Maklumlah, di Bakun ini tidak semua tempat disediakan kemudahan internet. Takkanlah setiap hari nak memanjat bukit semata-mata hendak melayari laman sesawang untuk 1 jam? Penat kot...


Ok, pada hari ini aku nak ceritakan apa yang dah berlaku 2,3 minggu ni. Ini ada kaitan dengan apa yang berlaku di tempat kerja aku. Aku dah berada di Bakun ni hampir selama 3 bulan sejak bulan Jun yang lepas. Mungkin 3 bulan bagi kebanyakan orang adalah satu tempoh yang panjang. Tetapi untuk tempoh itu sahaja, 2 orang Jurutera Projek sudah berganti. Seorang ditukarkan ke Tanah Melayu, seorang lagi menghilangkan diri. Aku pun tak tahu apa yang dah berlaku, tetapi perkara ini memang biasa berlaku di kawasan-kawasan Projek macam ni. Ditukarkan tu aku tak kisah sangat, tapi yang menghilangkan diri ni memang aku kisah. Sebab menyebabkan kerja aku jadi kucar-kacir. Memang down sekejap moral aku nak teruskan kerja ni, tetapi aku cuba jugalah untuk kuatkan semangat.

Memang di Bakun ni banyak cabarannya. Perumpamaannya begini..

"Mereka yang berada di Sabah & Sarawak, mungkin boleh bertahan jika tinggal di Tanah Melayu. Tetapi mereka yang berada di Tanah Melayu, belum tentu boleh bertahan tinggal di Sabah & Sarawak"

Sebab ada seorang kawan aku di syarikat Client menyatakan yang, ketika mereka sampai di Bakun dahulu, dia bersama-sama dengan 10 orang rakan. Tetapi sekarang, cuma 4 sahaja yang bertahan. Jadi, aku tak rasa pelik (walaupun terkejut beruk) bila benda tu berlaku depan mata aku.

Sekian sahaja luahan hatiku buat masa ini
Salam.

Jumaat, 24 Ogos 2012

Hari raya pertama

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Pertama sekali memang aku nak ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan syarikat tempat aku bekerja sebab memberikan cuti selama 7 hari sempena hari raya ini, termasuk juga tambang pergi balik dari Sarawak ke Johor. Bukan satu benda yang mudah sebab masa awal-awal masing-masing mengambil sikap berdiam diri bila ditanya tentang cuti raya. Tetapi bila tiba masanya, semuanya berjalan lancar dan berakhir dengan kegembiraan.


Sekarang ni di setiap kali Hari Raya pertama, aku dan keluarga meraikan di kampung sebelah ibu. Sebab datuk dan nya'i di sebelah ayah sudah lama meninggal dunia. Jadi giliran balik ke kampung memang mudah, hari pertama di sebelah ibu, hari kedua di sebelah ayah. Tambah pula dekat jer, kekadang aku memang beruntung sebab sejak aku kecil sampai sekarang, keluarga memang tiada masalah tentang giliran pulang ke kampung.

Jadi mungkin sekarang aku dah kena fikir-fikirkan masalah pulang ke kampung terutamanya apabila aku sudah bekeluarga kelak. (Wah.. awal tu fikir. Calon pun takder lagi. hehehe...). Yerla, penting tu. Boleh jadi bergaduh jika kita tidak berlaku adil akan giliran pulang ke kampung ni. Tapi apa pun, benda itu lama lagi. Hehe..

Kepada semua umat Islam di luar sana terutamanya di Malaysia,

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Khamis, 23 Ogos 2012

Kisah tentang dodol

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.

Selamat hari raya aidilfitri kepada semua. Bagaimana rasanya anda semua menyambut Hari Raya untuk tahun ini? Bagi mereka yang dapat kembali ke pangkuan keluarga, gunakan masa anda sebaiknya bersama ibu dan bapa. Memang sesuatu yang bermakna jika kita dapat meluangkan masa di samping keluarga tersayang di hari pertama hari raya. Sementara bagi mereka yang tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga di hari raya ini, bukan bermaksud anda tidak dapat kembali lagi di masa akan datang. Jika diizinkan Allah, pasti akan kembali juga ke pangkuan keluarga.

Ok, bagaimana pula dengan pengalaman pertama menyambut hari raya. Bagi aku lah kan, tiada yang lebih bermakna daripada pengalaman pertama bergotong-royong mengacau dodol. (Tak pernah aku kacau dodol sebelum ni.. huhu). Rupa-rupanya ni tahun kedua orang perjiranan aku ni gotong-royong menyiapkan dodol. Lebih kurang 8 jam masa dihabiskan untuk menyiapkan dodol tu. Masa sampai giliran aku mengacau dodol, dodol tu dah keras, liat dan likat.. jadi memang mengucap gak lah nak mengacaunya.


Tapi semua itu berbaloi apabila aku merasa dodol hasil penat lelah sendiri mengacau dodol. (okay, bukan aku sorang... ni kerja gotong-royong.. hehe). Orang kata terkurang santan.. ada yang kata terlebih manis.. tapi bagi aku, ia just nice.. hehe.

Sekian sahaja buat masa ni.
Salam.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Menjelangnya Syawal

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Sejahtera semua


Aku kembali sudah ke Semenanjung buat pertama kalinya selepas aku memulakan kerjaya di Sarawak. Semua sudah berkira-kira, akan berapa lama cuti yang akan diterima. Dan sebagai seorang seorang di Management Level, aku sudah tentulah tidak dibenarkan untuk cuti lama. Sementara di pihak atasan pula, masing-masing dapat cuti lebih daripada seminggu. (Tapi dapat cuti ni pun, aku dah kira bersyukur sangat dah.) Dan tanggal 16hb Ogos, aku menaiki penerbangan pulang ke Johor Bahru. Puasa tahun ni memang banyak perbezaan daripada Ramadhan yang sebelumnya sebab pertama kali berpuasa di perantauan.

Puasa di Sarawak memang amat mencabar kerana suasana yang amat berlainan. Di kawasan pedalaman Sarawak, pemandangan biasa seperti bazar Ramadhan memang tiada. Tetapi, komuniti kecil orang Islam Semenanjung di sini cukup untuk membawa kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sama-sama bergotong-royong menyiapkan juadah untuk berbuka dan bersahur. Makanan memang bukan masalah pada waktu ini. Sentiasa ada. Aku juga berkesempatan untuk melihat suasana bulan Ramadhan di bandar Bintulu. Agak meriah juga. Cuma kemeriahan tersebut diuji dengan serangan penyakit taun. Jadi, di separuh akhir Ramadhan, bazaar sudah pun ditutup.

Kesabaran juga sentiasa diuji sepanjang Ramadhan yang lepas. Semua alatan elektronik yang telah lama aku gunakan seperti Jam Tangan, Laptop dan Handphone, semuanya rosak betul-betul di minggu terakhir sebelum cuti. Memang menyedihkan, tetapi ketika di penerbangan, aku menerima satu nasihat yang bermakna menyatakan kepadaku bahawa setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Dan setiap yang berlaku adalah yang terbaik buat kita. Jadi, jika orang kata bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk menguji kesabaran, memang betul. Kesabaranku cukup teruji di Ramadhan kali ini.

Tapi, semua itu sudah pun berlalu. Selamat menyambut hari kemenangan di 1 Syawal.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Sabtu, 28 Julai 2012

Sesudah seminggu puasa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Akhirnya, diam tak diam kita sudah pun melalui tempoh seminggu berpuasa. Dengan lain perkataan, 7 hari berpuasa. Bagaimana dengan puasa kita pada tahun ini? Adakah semakin baik atau sebaliknya? Semoga kita dapat mengecapi nikmat berpuasa di bulan Ramadhan dan sama-sama menegakkan salah satu daripada Rukun Islam. Pengalaman aku berpuasa pada tahun ini, memang boleh dikatakan agak mencabar. Kenapa? Sebab berpuasa di negeri orang, kemudian aku antara segelintir kecil yang berpuasa dan juadah buka dan bersahur aku sediakan sendiri.


Ok, berpuasa di Sarawak ni sama jer sebenarnya dengan berpuasa di negeri sendiri. Tapi, banyak perbezaan sebab aku kena suaikan diri dengan keadaan di sini. Di kawasan pedalaman Sarawak, Kristian adalah agama yang dominan. Sebenarnya kira bertuah juga sebab kebanyakan mereka ini terbuka dan menghormati orang yang beragama lain. Kadangkala ada juga mereka cuba nak berpuasa sekali. Tetapi, ada yang tak tahan. Tidak mengapa aku kata kalau mereka nak makan, aku tak kisah pun.

Dan yang paling penting sekali, selalunya di puasa-puasa sebelum ini juadah berbuka aku beli ataupun disediakan oleh ibu aku di rumah. Namun, jauh di negeri orang.. kemudian jauh tersorok di pedalaman sememangnya satu halangan bagi aku untuk membeli juadah berbuka dan juga bersahur. Jadi, satu cara yang paling mudah adalah dengan 'masak sendiri'. Jadi, buat pertama kalinya aku rasa bersungguh-sungguh belajar resipi memasak. Maklumlah, kalau tak belajar maksudnya sampai bila-bilalah aku tak boleh nak makan.

Di samping puasa mengajar kita untuk mengawal nafsu makan, ia juga bulan di mana semua ganjaran amalan kita digandakan. Dan jangan lupa juga akan amalan Solat Tarawikh yang ada hanya di bulan Ramadhan ini. Begitu juga dengan satu malam yang pahala beribadat di malam itu diganjarkan lebih daripada amalan dalam seribu bulan.

Sama-samalah kita beramal. Sekian sahaja buat masa ini. ^^
Salam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails