Sabtu, 28 Julai 2012

Sesudah seminggu puasa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Akhirnya, diam tak diam kita sudah pun melalui tempoh seminggu berpuasa. Dengan lain perkataan, 7 hari berpuasa. Bagaimana dengan puasa kita pada tahun ini? Adakah semakin baik atau sebaliknya? Semoga kita dapat mengecapi nikmat berpuasa di bulan Ramadhan dan sama-sama menegakkan salah satu daripada Rukun Islam. Pengalaman aku berpuasa pada tahun ini, memang boleh dikatakan agak mencabar. Kenapa? Sebab berpuasa di negeri orang, kemudian aku antara segelintir kecil yang berpuasa dan juadah buka dan bersahur aku sediakan sendiri.


Ok, berpuasa di Sarawak ni sama jer sebenarnya dengan berpuasa di negeri sendiri. Tapi, banyak perbezaan sebab aku kena suaikan diri dengan keadaan di sini. Di kawasan pedalaman Sarawak, Kristian adalah agama yang dominan. Sebenarnya kira bertuah juga sebab kebanyakan mereka ini terbuka dan menghormati orang yang beragama lain. Kadangkala ada juga mereka cuba nak berpuasa sekali. Tetapi, ada yang tak tahan. Tidak mengapa aku kata kalau mereka nak makan, aku tak kisah pun.

Dan yang paling penting sekali, selalunya di puasa-puasa sebelum ini juadah berbuka aku beli ataupun disediakan oleh ibu aku di rumah. Namun, jauh di negeri orang.. kemudian jauh tersorok di pedalaman sememangnya satu halangan bagi aku untuk membeli juadah berbuka dan juga bersahur. Jadi, satu cara yang paling mudah adalah dengan 'masak sendiri'. Jadi, buat pertama kalinya aku rasa bersungguh-sungguh belajar resipi memasak. Maklumlah, kalau tak belajar maksudnya sampai bila-bilalah aku tak boleh nak makan.

Di samping puasa mengajar kita untuk mengawal nafsu makan, ia juga bulan di mana semua ganjaran amalan kita digandakan. Dan jangan lupa juga akan amalan Solat Tarawikh yang ada hanya di bulan Ramadhan ini. Begitu juga dengan satu malam yang pahala beribadat di malam itu diganjarkan lebih daripada amalan dalam seribu bulan.

Sama-samalah kita beramal. Sekian sahaja buat masa ini. ^^
Salam.

Selasa, 24 Julai 2012

Kisah tentang Rumah Panjang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Nun dengah? Deng ka Jan puasa anih hari? Hehe.. cuba-cuba untuk belajar bercakap Kayan kali ini. Maksudnya, "Apa khabar? Puasa ke tak hari ni?". Kalau ada salah tatabahasa harap diperbetulkan yer? ^^ Hari ini aku akan sentuh sikit akan pengalaman / cerita menarik aku sepanjang berada di Bumi Kenyalang ni. Di Malaysia ini, Rumah Panjang adalah satu keunikan yang hanya ada di Sabah dan Sarawak. Sepanjang kajian aku tentang rumah panjang ini, ianya tidak terdapat di Tanah Melayu. Apa yang menarik tentang Rumah Panjang? Aku akan kisahkan apa yang berlaku di Site Office minggu lepas.

Tung!! Tang!! Tung!! Prenggg!!!

Itulah bunyi beberapa orang pekerja kami ketika proses pengubahsuaian pejabat beberapa minggu yang lepas. Memang mengganggu, tapi nak buat macam mana? Kami kekurangan tempat untuk dijadikan stor simpanan barang. Semua barang masuk dalam pejabat, sampai dah sempit yang amat. Lepas tu pulak, masing-masing 'pinjam' (ambil) barang macam barang tu diorang yang punya. Tengah bising-bising tu, seorang kerani kami yang berasal daripada etnik Kayan menjerit dengan nada gurauan.

"Oii, jangan buat rumah. Takder orang nak kahwin lagi!"

Katanya sambil diakhiri dengan gelakan. Aku memang pelik la. Terus aku tanya,

"Apa kaitan orang nak kahwin dengan buat rumah?"

Ok, jawapan dia mudah sahaja. Suasana bising di pejabat itu sama ketika proses pengubahsuaian rumah di Rumah Panjang setiap kali ada majlis perkahwinan.

Di Sarawak, mereka yang daripada kaum Dayak (Iban, Bidayuh) dan juga Orang Hulu (Kayan, Kenyah) misalnya, mereka semua tinggal di rumah panjang. Jika di Tanah Melayu, setiap penduduk tinggal di unit-unit rumah yang berasingan dan selalunya akan membentuk sebuah perkampungan jika mereka mempunyai hubungan kekeluargaan. Namun, tidak di Rumah Panjang. Kesemua mereka ini tinggal di satu unit rumah dan semua di dalam rumah itu adalah keluarga-keluarga rapat yang mempunyai hubungan darah. (Pakcik, Makcik, Ibu, Ayah, Datuk, Sepupu, Anak Saudara... dan lain-lain). Yang membezakan setiap keluarga adalah unit kediaman di rumah tersebut. Tiada had untuk bilangan ahli di rumah tersebut, mungkin boleh mencecah sehingga 1,000 ahli.

Jika di kawasan Sungai Asap misalnya, terdapat 15 unit Rumah Panjang semuanya yang dipindahkan (yang mahu berpindah) ketika Empangan Bakun mula mengempang dan membanjiri kawasan sekitar rumah-rumah ini. Boleh dikatakan jika di Tanah Melayu, mereka ini daripada 15 perkampungan.

Jadi berbalik kepada kisah kahwin tadi, apabila ada ahli yang berkahwin (selalunya dengan anggota rumah yang sama.. orang sebelah pintu misalnya), akan ada proses penambahan unit kediaman di rumah tersebut. Jadi, rumah tersebut akan bertambah panjang. Sebab itulah dipanggil rumah panjang. Memang panjang~~


Itu rupanya kaitannya.. hehe. Setakat itu sahaja perkongsian di kali ini. ^^
Salam.

Sabtu, 21 Julai 2012

Selamat Berpuasa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua


Pertama sekali diucapkan Selamat Berpuasa kepada semua. Hari ini adalah hari pertama Bulan Ramadhan 1433H. Ibadah puasa sekali lagi datang menziarahi kita. Sungguh cepat masa berlalu, ibaratnya baru semalam aku berpuasa di tahun 1432H. Sekarang ini dah datang semula. Antara tahun ini dan tahun lepas, memang ada satu perubahan yang besar. Masakan tidak, tahun lepas aku berpuasa di Semenanjung, tetapi kali ini dah berpindah lokasi berada di Bumi Kenyalang. Memang besar bezanya, bukan sekadar geografinya malah masanya. Imsak di Semenanjung dalam lingkungan 5.40 pagi, tapi di sini 4.58 pagi!

Masih tidak dapat diterima difikiranku yang habis sahur pukul 5.00 pagi. Hehe..

Apa-apa pun, berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, tetapi juga adalah untuk menjaga seluruh anggota badan daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, dan juga adalah menahan dan mendidik nafsu supaya ianya tidak terus liar.

Sekian sahaja untuk kali ini.
Salam

Sabtu, 14 Julai 2012

Belajar Bahasa Sarawak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua


Akhirnya, dapat juga aku kembali ber'blogging' selepas beberapa lama tidak dapat melayari laman sesawang. Antara sebab juga aku tidak dapat ber'blogging' ini adalah disebabkan aku terlalu sibuk dengan urusan kerja yang semakin lama semakin merunsingkan walaupun pada dasarnya projek masih pun belum bermula. Jadi, di masa-masa ini aku selalunya akan meluangkan masa dengan mempelajari Bahasa Melayu Sarawak. ^^

Memang sejak daripada dulu lagi dua mata pelajaran kesukaan aku adalah Bahasa Melayu dan Sejarah. Hehe..

Tapi di sini kebanyakannya berbahasa dalam Bahasa Melayu standard. Jadi kadang-kala amat sukar untuk belajar loghat Sarawak. Tapi ada beberapa frasa kata yang aku dah boleh kuasai dengan baik contohnya..

Apa polah tek?
(Kamu buat apa?)

Kamik sik tauk apa di madah nya.
(saya tidak tahu apa yang dia katakan)

Sikboh tunggah nya, bising nya nanti
(Jangan panggil dia, dia bising nanti)

Antara frasa yang dapat aku ingat dengan baik. Namun, pelajaran aku untuk mempelajari Bahasa Melayu Sarawak juga dihiasi dengan pelajaran Bahasa-bahasa Bumiputera Sarawak seperti Iban, Kayan dan Kenyah. Jadi bayangkanlah, dalam sebuah negeri yang penduduknya lebih dan kurang 3 juta orang, tapi ada berbagai bahasa dan dialek.. sampai pening kepala aku nak belajar mana satu. Tapi ada beberapa yang aku dapat kuasai juga.. contohnya..

(Kayan)
Avinun anih fotostat? Kertas meran lebak kalen.
(Kenapa fotostat ni? Kertas banyak sangat sangkut).

Tak tau lah betul ke tak.. sebab bahasa kayan ni aku susah sikit nak kuasai. Huhu..

(Iban)
Adui.. Nadai guna ii.. Parai kitai.
(Adui.. tiada guna lagi.. mati aku.)

Yang ni aku belajar masa diorang tengah tension kerja. Perkataan iban pertama aku belajar adalah "Parai Kitai". Haha.. marah Projek Manager aku.. benda tak baik yang aku belajar dulu.

Itulah sedikit sebanyak hiburan aku di tapak pembinaan di Bumi Kenyalang ini.
Akhir kata, mari kelakar Sarawak. ^^

Ahad, 1 Julai 2012

Peta Sarawak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Akhirnya, dapat juga aku mendapatkan satu salinan peta negeri Sarawak. Kawan aku sampai bising, kenapa sibuk sangat nak peta Sarawak sedangkan dah berada di negeri Sarawak? Sebabnya satu sahaja. Sebab aku ni minat Geografi. Di Semenanjung, aku dah masak sangat dengan bentuk muka bumi dan sempadan 11 negeri. Walaupun aku tak pandai sangat, dan kalau berjalan pun masih ada potensi untuk sesat, tapi bila aku dah nampak peta.. kira aku bolehlah lihat sekali imbas akan bentuk muka bumi negeri tersebut.

Dan sejak dari awal lagi aku memang dah dalam keadaan pening dengan keadaan geografi negeri Sarawak ini. Namun, segala persoalan aku terjawab selepas aku mengkaji peta negeri. Kira kalau aku sesat, aku tahu la mana nak tuju. ^^

P.S :: Bahagian Bintulu (Bintulu Division) kecil sedikit sahaja dari negeri Johor.


Sarawak sekarang terbahagi kepada 11 Bahagian (Division) :-

1. Kuching
2. Samarahan
3. Sri Aman
4. Sarikei
5. Betong
6. Mukah
7. Sibu
8. Bintulu
9. Miri
10. Kapit
11. Limbang

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails