Isnin, 19 Mac 2012

Bunohan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua.

Pada asalnya filem BUNOHAN ini bukanlah pilihan pertama ketika mahu menonton wayang beberapa hari yang lalu. Secara jujur, ini adalah yang ketiga dalam senarai. Memandangkan 2 filem pilihan sebelumnya sudah penuh, filem ini menjadi pilihan di petang hari. Rasanya ramai dah mengetahui akan filem ini, yang telah ditahan penayangannya selama 2 tahun sebelum dilepaskan untuk tayangan di layar perak pada tahun ini.

Jadi apakah BUNOHAN ini? Kalau anda rasa yang BUNOHAN ini diambil disebabkan adegan-adegan bunuh-bunuhan di dalamnya, maka anda sudah silap besar. (walaupun ada adegan bunuh-bunuhan di dalam filem ini..). Bunohan ni sebenarnya nama tempat.


SINOPSIS

Sinopsis cerita ini belatar belakangkan 3 orang watak utama dalam cerita ini iaitu Adil (Zahiril Adzim), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Ilham (Faizal Hussein, Pelakon Sokongan Terbaik Anugerah Skrin 2003). Mereka bertiga ini adalah adik-beradik. Dan cerita Bunohan ini merupaan kisah tragik ketiga beradik ini dalam pergelutan mereka dalam merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, yang kemudiannya bertukar ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan.

Jadi siapakah sebenarnya mereka ini?

Adil :-

Adil merupakan seorang peninju Tomoi. Di dalam gelanggang, dia dikenali sebagai "Bunga Lalang". Sudah lama meninggalkan rumah. Dia bertanding jauh di kawasan pedalaman di Selatan Thailand. Kisah bermula apabila Adil hampir maut di dalam sebuah perlawanan, dan berjaya diselamatkan oleh teman rapatnya. Pertandingan yang disertainya bukan perlawanan biasa, tetapi mempertaruhkan wang, maruah dan nyawa. Disebabkan mereka melarikan diri, mereka menjadi buruan pihak penganjur tersebut. Pada waktu itu, Adil pulang semula ke kampung halamannya di Kampung Bunohan.

Ilham :-

Ilham merupakan pembunuh upahan. Dia telah ditugaskan untuk memburu dan membunuh Adil. Dalam pencariannya itu, dia mengetahui yang Adil telah berada di Kampung Bunohan. Kampung tersebut juga merupakan kampung halamannya yang telah lama ditinggalkan, tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya hampir mati. Adil juga sebenarnya merupakan adik kandungnya.

Bakar :-

Bakar adalah seorang Usahawan yang bercita-cita tinggi. Saudara kandung kepada Ilham dan juga Adil. Secara penampilan, dia adalah yang paling 'soleh'. Namun, penampilannya itu tidak dapat menutup kejahatan dalamannya yang sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai cita-citanya, termasuk mengorbankan ahli keluarganya sendiri. Dia kembali ke Kampung Bunohan kononnya untuk menjaga bapanya yang sedang uzur.

Dan di Kampung Bunohan inilah takdir mereka menunggu dan segala keperitan bermula.


Apa yang saya suka tentang cerita ini?
  1. Kesadisan pengakhiran cerita ini. Walaupun adik beradik, namun itu semua bukan penghalang untuk ketiga beradik ini bermusuhan dan berbunuhan di antara satu sama lain. (sedih woo.. tengok adik beradik berbunuhan antara satu sama lain.)
  2. Seni penggambaran latar belakang. Sama seperti temanya yang merupakan cerita tragik, penggambaran banyak berlatar belakangkan cuaca mendung, hujan dan kegelapan.
  3. Penggunaan 95% dialog dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan. (banyak jugak aku belajar perkataan kelantan.. huhu..)
  4. Unsur-unsur mistik yang menghiasi perjalanan cerita. Ibaratnya di jalan cerita ini, walaupun sekadar pemain wayang kulit, namun pastinya bapa mereka ini ada mempunyai saka.
Sekian sahaja untuk segmen movie review untuk kali ini. Berjumpa di ruangan lain.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails