Selasa, 31 Disember 2013

Hari terakhir 2013

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Memandangkan aku dah berada di Johor, senanglah aku nak meng-update blog aku ni. Tadi paklong aku telefon, memesan kepada ku yang kalau dah sampai ke Johor tu bagitaulah. Jangan senyap jer. Orang tak tahu kalau kau senyap-senyap. Tapi itu satu keistimewaan yang aku ada. Selalunya aku akan buat sesuatu senyap-senyap, dan orang hanya akan perasan bila aku dah mencapai sesuatu.

Kalau aku buat jahat lagilah.. bila dorang sedar memang dah terlambat nak buat apa-apa. Huhu

Pengalaman aku berada dalam penerbangan ketika 29hb memang aku tak dapat nak lupakan. Waktu aku sampai ke Bintulu, cuaca cerah. Aku memang tak sangka apa-apa peristiwa buruk akan berlaku. Tapi pada hari aku berlepas, bermula pagi tu memang hujan turun selebat-lebatnya. Sampai lah ke waktu aku nak berlepas memang hujan masih lagi lebat. Sehinggalah aku terima pengumuman yang penerbangan ke Kuala Lumpur delay.

Hujan memang lebat giler masa aku dapat tahu yang penerbangan delay.

Bagi pesawat ringan seperti Maswing, memang dah batalkan penerbangan untuk hari tu. 


Aku dah terfikir kalau-kalau aku kena tunggu hari lain nak balik.

Tapi segalanya dipermudahkan. Dan aku sampai ke Kuala Lumpur seperti yang dirancang, walaupun agak lambat. Dan ketika di LCCT juga, sekali lagi penerbangan ke Johor Bahru delay. Tapi aku tak kisah pun, sebab Biar Lambat Asal Selamat. 


Kapal terbang kot.. kalau apa-apa jadi, tak ke nahas?

Ketika aku di penerbangan AK6048 dari Bintulu ke KL, barulah aku sedar bahawa hanya Ketua Pramugara sahaja yang rakyat Malaysia. Kesemua pramugara dan pramugari yang ada adalah campuran dari Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Namun memang tak sedar sampai ke akhir penerbangan. Dan sewaktu itu juga aku terdengar perbualan mereka yang pada waktu itu, mereka sudah berpusing di ruang udara Bintulu selama 40 minit dan hampir diarahkan mendarat di Miri.

Namun Juruterbang pada waktu itu cuba untuk mendarat juga di Bintulu. Dan tindakannya itu sememangnya membuatkan kami rasa terharu. Sebab dapat juga meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Terima Kasih abang pilot.

Apa-apa pun, itu antara pengalaman menarik aku di akhir tahun 2013. Tapi apa-apa pun, bila aku dah sampai ke JB, aku dapat berita yang... Bintulu banjir!



Isnin, 30 Disember 2013

Ngabang di Sungai Asap

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Pada 25 Disember yang lepas, aku dan beberapa orang rakan telah pun dijemput untuk datang ke rumah panjang sempena majlis keramaian sambutan hari natal. Di Sarawak, perayaan Hari natal merupakan sambutan yang besar dan meriah terutama bagi Orang Ulu yang majoriti terdiri daripada kaum Kayan dan Kenyah. Kalau macam di semenanjung, apabila ada satu perayaan, kita akan berziarah ke rumah saudara mara betul? Sama juga di Sarawak, cuma istilah yang digunakan bukanlah ziarah, tetapi adalah Ngabang. Maksud tetap sama iaitu Ziarah/Berkunjung.

Aku pergi ngabang ke dua rumah panjang iaitu Uma Juman dan Uma Balui Ikap di Sungai Asap. Kedua-duanya adalah atas jemputan rakan sekerja aku di Bakun. Pergi pun dah lewat, dalam pukul 2 petang kami bertolak sebab pada waktu pagi mereka masih lagi berada di gereja untuk aktiviti keagamaan. Sambutan perayaan mula meriah pada waktu petang.


Tapi bagi kami, kesempatan pergi ke Sungai Asap digunakan untuk menjamah Roti Canai terlebih dulu.

Almaklumlah, dekat Bakun mana lah ada roti canai... huhu..

Apabila kami sampai ke Sungai Asap, kami terus ke Uma Juman. Ramai juga kawan-kawan dari Sarawak Hidro juga turut ngabang di sini. Tapi aku tak sempat ke banyak rumah sebab tak cukup masa. Apa yang penting ketika ngabang di rumah panjang ini adalah kesempatan untuk mencuba pakaian tradisi lelaki Kayan.



 Bila pakai memang lah terasa macam nak jadi pahlawan kayan. Heh..

Dan selepas itu, kami sempat juga pergi ngabang ke beberapa buah rumah lagi di rumah panjang. Oh ye.. satu lagi ciri menarik di rumah panjang ini adalah ia adalah satu rumah yang amat besar, kemudian terbahagi kepada bilik-bilik untuk kediaman satu unit keluarga, kemudian dibahagi-bahagikan untuk ruangan peribadi pemilik rumah. Nama rumah panjang adalah berdasarkan nama Tuai Rumah. Satu keistimewaan rumah panjang adalah satu ruang lapang di hadapannya yang dinamakan Ruai.  


Ruai adalah satu ruang lapang yang berada di hadapan rumah panjang yang menghubungkan setiap unit kediaman di rumah panjang tersebut. Kalau budak-budak ada, memang puas dorang bergegai-gegai betegar ruai.. huhu

Kalau tiada ruai, rumah panjang ini ibarat rumah teres jer...

Dan satu lagi apabila datang ke rumah panjang, anda dinasihatkan agar menghormati adat resam dan tradisi di rumah panjang. Generasi muda sekarang walaupun ramai beragama kristian, mereka amat menghormati penganut agama lain khasnya penganut Islam dan juga mereka tidak akan menghidangkan arak. Namun, perlu diingat supaya anda jangan mencabar toleransi mereka dengan meminta pula arak.

Sebab, salah satu adat di rumah panjang adalah, apabila anda meminta arak, dan tuan rumah menghidangkannya, si peminta itu wajib minum. Dan adalah dikira sebagai menghina jika anda tidak minum arak yang dihidangkan. 

Mungkin anda rasa anda boleh terlepas. Tapi di rumah panjang, terdapat satu adat atau pantang larang jika anda melanggar adat. Sama seperti konsep Melayu, iaitu siapa yang menderhaka kepada Sultan akan dikenakan Tulah, konsep yang sama juga ada bagi masyarakat Orang Ulu @ Dayak Sarawak di mana melanggar adat mereka akan dikenakan tulah juga, tetapi istilahnya bukan Tulah, tetapi adalah Punik.

 memang aku ada nampak depan mata konsep Punik ni.  

Sebab itulah kebiasaanya, rakan-rakan yang datang ngabang (terutama Islam) akan membawa seorang dua yang boleh meminum arak sebagai 'wakil' untuk minum arak yang dihidangkan (jika ada).

Jadi tolonglah.. janganlah mintak...

Ahad, 8 Disember 2013

Azhael (AF10) - Hentian Terakhir (berserta lirik)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Segmen muzik kembali semula di blog ini selepas lama menyepi. Untuk segmen kali ini, RBE akan memaparkan lagu yang mendapat tempat kedua di pentas Akademi Fantasia 10 iaitu Hentian Terakhir yang dipersembahkan oleh duo Azhael.


Lirik Hentian Terakhir

Hentian terakhir
Hentian terakhir buat kita
Sampai sini saja

Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir

Muala manisnya perjalanan kita indah nya
Pemandangan kau dan aku bersama-sama
Landasan kita kukuh kasih kita utuh
Gelap kita sama
Sekarang rasa terhuyung hayang
Di dalam terowong panjang tiada hujung nya
Ku rasa loya kau senyap saja bila di tanya

Aku perlukan kamu berterus terang
Ada kita tak biasa ku seorang
Aku boleh terima penjelasan apa jua
Ada jalan selesai kan

Aku perlukan kamu berterus terang
Ada kita tak biasa ku seorang
Aku boleh terima penjelasan apa jua
Ada jalan selesai kan

Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir

oh sayang seribu sayang nya dulu kau ku sayang
Sekarang hanya sekadar kawan
Dulu bukanya sekarang

Aku perlukan kamu berterus terang
Ada kita tak biasa ku seorang
Aku boleh terima penjelasan apa jua
Ada jalan selesai kan

Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir
Hentian terakhir Cinta yang akhir

Aku perlukan kamu berterus terang
Ada kita tak biasa ku seorang
Aku boleh terima penjelasan apa jua
Ada jalan selesai kan

Sabtu, 7 Disember 2013

Juara Akademi Fantasia 10

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.

Mungkin agak terlewat sikit aku pos kan pasal Akademi Fantasia 10 dalam bulan Disember ni. Mula-mula aku agak skeptikal masa pihak Astro mengumumkan untuk menyambung semula Akademi Fantasia ini. Tapi aku merasakan mungkin ini disebabkan mereka mahukan kesinambungan bakat-bakat muda terus menyinari industri hiburan di Malaysia ini. Walaupun aku dapat merasakan yang AF10 ini masih seperti AF-AF sebelum ini. Tiada apa yang berubah. Bagi aku AF1, AF2 dan AF3 tetap yang terbaik.


Tahniah kepada Faizul apabila dinobatkan sebagai juara AF10. Jejaka kelahiran Sabah ini berjaya dalam tugasannya menjadi seorang penghibur. Sememangnya tidak dinafikan yang rakyat Sabah dan Sarawak sememangnya mempunyai bakat semulajadi sebagai seorang penghibur. Selepas hampir 2 tahun aku tinggal di Sarawak, bakat yang mereka ada ini bukan hanya sekadar bermulut manis. Tapi memang betul-betul.


Tapi apa-apa pun, aku bukan peminat Faizul. Undi aku adalah milik Azhael. Sebab bagi aku, mereka berdua mempunyai pesona dan persembahan mereka di final AF10 merupakan satu-satunya persembahan yang membuatkan aku teruja.

Isnin, 4 November 2013

Selamat Awal Muharram 1435H

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Pertama sekali, diucapkan selamat menyambut Awal Muharram 1435H kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam. Pastikan walau di mana pun anda berada, pastikan anda tidak melupai untuk menggunakan tahun Hijrah. Kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan amalan kita sebagai seorang yang beragama Islam. Contoh yang paling jelas adalah umur. Dalam Islam, umur kita adalah diukur menggunakan tahun Hijrah dan bukannya tahun Masihi.

Aku kalau ikut tahun Masihi dah 26 tahun. Kalau tahun Hijrah aku baru 27 tahun.. ^^

 Apa yang paling penting adalah, terdapat satu amalan yang digalakkan diamalkan pada permulaan tahun Hijrah ini. Ia adalah pembacaan doa akhir tahun, dan juga pembacaan doa awal tahun. Doa akhir tahun adalah seperti di bawah ini. (Dibaca selepas waktu Asar)


Sementara doa awal tahun adalah seperti di bawah ini. (Dibaca selepas Maghrib)


Selamat menyambut Awal Muharram 1435H kepada semua.

Ahad, 3 November 2013

Projek Ikan Laga II

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Sejahtera Semua

Aku kembali ke Bintulu bersempena untuk cuti Maal Hijrah pada hari Selasa. Dan selepas 2 kali gagal, barulah percubaan kali ke-3 menemui kejayaan. Anak ikan berjaya menetas dan selamat membesar. Sekarang ada proses paling mencabar iaitu untuk menjaga dan membesarkan anak ikan iaitu selama 2 bulan. Sekarang ini ianya baru masuk minggu ke-2 dan perkembangannya masih lagi positif setakat ini.


Selepas menetas, anak ikan perlu diletak bersama dengan ikan jantan (bapa induk) untuk dijaga selama dalam seminggu. Dan perlu diingat mereka tidak boleh diletak bersama dengan ikan betina, sebab ikan betina ini akan memakan anak-anak ikan ini. Selepas proses penetasan berjaya, peringkat penjagaan anak-anak ikan ini perlukan proses yang teliti dan boleh ku katakan rumit.



Sebuah akuarium khas untuk anak-anak ikan perlu disediakan dan untuk membantu perkembangan mereka juga digalakkan untuk letak pokok kiambang. Makanan untuk anak-anak ikan pada waktu ini adalah micro-worm. Aku pun tak tahu apa, sebab kawan aku cop yang uruskan anak-anak ikan laga ni. Aku ada tengok juga beberapa ikan laga yang aku lihat ada potensi untuk membiak. Namun, cop kata dia kepenatan nak uruskan.

Jadi buat masa ini aku rasa baik aku biarkan dulu baka pertama ini membesar dengan baik. Lagi dua bulan.

Ahad, 27 Oktober 2013

Final Liga Malaysia ; TRW dan Tok Gajah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada Skuad Bola Sepak Negeri Kelantan, The Red Warrior dan Pasukan bola sepak Negeri Pahang, Tok Gajah atas kejayaan melayakkan diri ke Pusingan Akhir Piala Malaysia. Aku dan melihat kedua perlawanan malam tadi dan malam sebelumnya, memang satu perlawanan yang mengujakan.


Pasukan yang aku rasa mempunyai kelebihan di pusingan akhir ini dah tentulah The Red Warrior. Bagi aku, di antara 2 pasukan ini, Kelantan memang lengkap dan mempunyai barisan kesebelasan pemain utama yang mantap. Bagi Pahang pula, kemampuan untuk menafikan peluang Sarawak ke pusingan akhir memang tidak boleh dipertikaikan. Terutama sekali dengan peningkatan Sarawak yang mendadak sejak akhir-akhir ini.


Walaupun aku sedikit terkilan kerana Sarawak tidak ke final, tetapi 2 pasukan ini telah membuktikan yang sememangnya mereka layak untuk kedudukan mereka tersebut. Sama-sama kita saksikan kesudahan pertarungan mereka di final nanti.

Ahad, 13 Oktober 2013

Mari belajar Bahasa Kayan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Kita semua tahu yang negara kita ini adalah negara yang berbilang kaum dan bangsa. Dengan setiap kaum mempunyai identiti masing-masing, tidak terkecuali juga dengan bahasa. Aku sekarang sudah cuba untuk mempelajari bahasa-bahasa yang ada di Sarawak ini semampu aku. Apatah lagi ini pengalaman berharga yang datang sekali dalam hidup. Aku sekarang mempelajari Bahasa melayu sarawak, bahasa melanau vaie, bahasa iban, bahasa kayan dan juga bahasa kenyah. (Banyak jugak aku belajar... huhu.. ).

 Aku ingin kongsikan sikit akan bahasa kayan. Perlu diingat bahawa bahasa kayan ini tersangat banyak variasi. Yang aku kongsikan di sini adalah bahasa kayan balui.

Kata ganti diri pertama :

Saya - Akui
Awak - Ikak
Kami - Itam
Mereka - Dahak
Dia - Hiyak

Contoh :-

I) Ke mana kamu pergi
    Hinok ikak tey?

II) Saya hendak balik rumah.
     Akui ikem uli huma

III) Hari hujan, sejuk sangat
       Usan do, hengem meran

Insya Allah dikesempatan akan datang kita akan mempelajari lagi akan bahasa kayan ini.

Ahad, 6 Oktober 2013

Malam kekecewaan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Tiada apa yang boleh ku katakan pada malam tadi kecuali penuh dengan kekecewaan. Masakah tidak, harapan menggunung untuk melihat pasukan kesayangan ku iaitu Johor Darul Takzim (JDT) beraksi di suku akhir tidak kesampaian. Itu dah satu hal, ditambah lagi dengan keperitan melihat Skuad The Read Warriors berpesta gol sehingga 6 - 1 pada tamat perlawanan memang aku tak dapat nak terima. Tidak cukup dengan itu, gelagat pemain import Kelantan yang beraksi menunjukkan skil ketika beraksi di tengah padang memang meloyakan. Ibarat memperkecilkan dan menghina pasukan lawan. Diharap insiden seperti ini tidak berulang lagi selepas ini.

Adakah dengan ketiadaan penjaga gol pasukan JDT, Al-Hafiz Hamzah meninggalkan lohong yang cukup besar di barisan pertahanan? Memang tiada apa yang kita dapat untuk menghalang takdir Allah apabila maut datang menjemput anak tunggal kepada Penjaga Gol JDT, Adam Farish yang kembali ke rahmatullah pada pagi sebelum JDT beraksi. Oleh itu, beliau terpaksa pulang untuk menguruskan jenazah anaknya. Al-Fatihah kepada rohnya. Semoga syurgalah tempatnya kelak.

Tidak tahu sama ada ia cuma ayat penyedap hati atau tidak, namun The Red Warriors selayaknya menang. Barisan yang diketengahkan cukup mantap dan mempunyai banyak pemain-pemain berkaliber. Sementara di tempat JDT pula, biarlah kegagalan pada malam tadi menjadi kunci kepada banyak kemenangan di masa akan datang. Tidak ada kejayaan yang akan datang kepada kita tanpa kita mengalami detik perit kepayahan sebuah kegagalan. Dalam kehidupan kita, kita pasti akan jatuh, namun apa yang penting adalah kita bangkit semula selepas jatuh tersebut.

Bagi kes JDT, sememangnya tidak dapat dinafikan sekiranya kekalahan besar ini berpunca kerana JDT banyak menumpukan dan melaburkan ke arah kesebelasan pemain utama, namun kurang perhatian diberikan kepada pemain simpanan. Diharap kelopongan di barisan pertahanan diberikan perhatian yang serius daripada pihak pengurusan JDT.

Luaskan Kuasamu Johor.

Sabtu, 28 September 2013

Projek Ikan Laga

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Sejak akhir-akhir ini, boleh dikatakan yang aku sudah ada hobi baru, menternak haiwan peliharaan. Minat aku ini mungkin bermula dari kecil di atas pengaruh ayah aku sendiri yang minat pada haiwan peliharaan. Kucing dan Ikan adalah 2 haiwan peliharaan yang ayah aku minat. Aku pun tak ingat berapa banyak Ikan Flower Horn dah ayah aku beli yang semuanya berakhir dengan kematian. Tapi kemudian, dia memilih untuk membela ikan laga dan ikan gapi, 2 spesis ikan yang paling mudah dan murah untuk dijaga di samping kepuasan yang maksima.

Aku pun bermula dengan 2 haiwan ini. Sekarang aku sudah ada seekor kucing baka Parsi yang diberi nama Nemo dan juga sekumpulan ikan-ikan laga, jantan dan betina. Kos permulaan untuk hobi aku ini dianggarkan dalam RM1,000. Kebanyakan dihabiskan untuk kucing aku itu. Tempat tidur, makanan, ubat, mainan dan tempat berak.


Dalam keadaan Nemo mudah untuk dijaga, Projek Ikan Laga ini nampaknya lagi susah dari yang disangka. Aku dan kawan aku, cop, membeli 10 ekor ikan laga pada awalnya. Namun dari 10 ekor yang pertama ini, hanya seekor yang hidup. Jadi, aku namakan ikan itu King. Disebabkan oleh ketahanannya untuk hidup. Kemudian, cop pula menaja 10 lagi ikan laga jantan bersama 5 betina.

Masa awalnya, aku pun tak berani nak mencuba untuk membiakkan baka-baka laga ini. Sebab ayah aku dah cuba, dan gagal. Namun cop mencuba dengan baka pertama dan berjaya! Aku pun terkejut pada awalnya melihat jumlah telur yang berjaya ditetaskan. Namun, semua baka pertama ini mati dan 2 ekor betina mati disebabkan terlebih bertelur.


Tadi aku dah mencuba untuk membiakkan lagi ikan-ikan yang ada. Namun, buat masa ini belum ada perkembangan positif.

Sekian saja untuk kali ini.
salam.

Sabtu, 31 Ogos 2013

Hayati Semangat Kemerdekaan 2013

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Sekali lagi pada tahun ini kita telah menyambut kemerdekaan negara kita daripada belenggu penjajahan. Mungkin makna kemerdekaan tidak begitu bererti kepada kita generasi baru pada hari ini disebabkan oleh masing-masing telah dilahirkan selepas zaman penjajahan. Tiada lagi pembunuhan seperti di zaman komunis, tiada lagi ketidakcukupan makanan seperti di zaman Jepun. Tiada lagi pengasingan kelas ekonomi seperti di zaman British. Semuanya bebas dan masing-masing bebas mengamalkan cara hidup masing-masing. Kalau aku fikirkan balik, aku masih lagi sempat merasai kesusahan datuk nenek aku dahulu walaupun hanya sekejap dalam melayari hidup mereka. Namun, sejauh mana kita di hari ini menghargai kemerdekaan ini?

Rasanya kalau aku ajak korang semua fikir pasal sejarah Malaysia ini sejak dari Tanah Melayu, British, Komunis semua ni mesti masing-masing bosan. Maklumlah, masing-masing Sejarah fail. (Hehe.. berapa ramai betul-betul minat subjek Sejarah sila angkat tangan?? Haa.. kan?? Aku sorang jak.. ). Tapi bila diingat kembali, sewaktu aku antara seorang dari 2 orang Pelajar SMT Batu Pahat yang dapat A dalam subjek Sejarah memang guru Sejarah aku sanggup turun kereta bila nampak aku untuk ucap tahniah. Memang aku pun tak sangka.

Ok, berbalik pada pengertian merdeka tadi, mari kita berfikir sejenak akan hidup kita sekarang ini. Sejauh mana kita menghayati konsep kemerdekaan ini. Sebenarnya aku semakin lama semakin kecewa kerana selepas lebih 50 tahun merdeka, kita masih berdebat akan pengertian kemerdekaan. Masing-masing mahu menjadi jaguh kemerdekaan walaupun tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Contohnya tarikh kemerdekaan negara kita. Adakah 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963?

Mungkin disebabkan oleh keputusan kerajaan mahu menggunakan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh rasmi kemerdekaan Malaysia menyebabkan ramai tidak berpuas hati. Jadi, aku ada membuat kajian tentang tarikh kemerdekaan ini dan kita di Malaysia ada 3 tarikh Kemerdekaan mengikut wilayah yang membentuk Malaysia pada hari ini.

31 Ogos 1957 - Tarikh Negeri-Negeri Tanah Melayu mencapai kemerdekaan melalui Persekutuan Tanah Melayu.
22 Julai 1963 - Tarikh Negeri Sarawak mencapai kemerdekaan.
16 September 1963 - Tarikh Negeri Sabah mencapai kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia.

Jadi, di antara tarikh ini, tarikh yang mana perlu diambil sempena perlu diambil untuk memperingati tarikh negara kita mencapai kemerdekaan? Tarikh 31 Ogos diambil disebabkan tarikh ini merupakan tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Tarikh asal penubuhan Malaysia. Dan nama rasminya bukan Sambutan Hari Kemerdekaan tetapi adalah Hari Kebangsaan, hari di mana Malaysia menyambut tarikh kemerdekaan Negeri-negeri di dalam Malaysia itu secara keseluruhan. Sementara pada Hari Malaysia iaitu 16 September 1963 adalah tarikh di mana Penubuhan Malaysia diiktiraf secara rasmi.

Rasanya tidak banyak yang perlu dipertikaikan kerana Kerajaan Negeri Sarawak juga dalam sambutan kemerdekaan pada tahun ini menggunakan tema "Sarawak Merdeka 50 tahun di dalam Malaysia". Bagi aku, tindakan itu sangat bijak memandangkan Sarawak dan Sabah sudah bersetuju untuk mengambil 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan disambut (dan bukannya 22 Julai atau 16 September). Jika di Kuala Lumpur pada 31 Ogos berkumandangan Malaysia 56 tahun merdeka, memang benarlah Sarawak itu 50 tahun merdeka di dalam Malaysia. Sabah juga boleh menggunakan tema yang sama seperti Sarawak jika tidak mahu menggunakan nombor 56 tahun merdeka itu.

Namun, di sebalik semua itu, bukan nombor yang menjadi ukuran. Apa yang menjadi ukuran adalah sama ada kita menghayati dan menghargai kemerdekaan yang sudah kita miliki? Semua kita ini adalah dahulunya Tanah Jajahan British, sekiranya dahulu kita duduk di bawah telunjuk Empayar British, mahukah kita di zaman moden ini jatuh terduduk sekali lagi di tangan kuasa asing? Banyak hak-hak yang sudah kita miliki sekarang ini, jangan biarkan ia jatuh ke tangan orang lain sekali lagi.

Isnin, 12 Ogos 2013

Beraya sambil melancong

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua


Raya pada kali ini ibarat pakej pelancongan bagi aku. Pada asalnya, aku cuma mahu balik ke Semenanjung untuk beraya. Seperti kebiasaan setiap tahun, aku akan pulang ke kampung, pergi beraya ke rumah-rumah saudara, kemudian pulang ke kampung. Tapi tahun ini, dengan tiba-tiba seorang sepupu aku dipanggil untuk membuat sesi penggambaran di Mersing bersama-sama dengan adikku. Jadi memandangkan aku pun tiada urusan lain, pergi sajalah. Dan, kalau tidak pasti aku tidak akan dapat menjejakkan kaki aku ke Air Papan. (Nama jer orang Johor, tapi Air Papan pun tak pernah pergi. Huhu..).


Melihat kecantikan keindahan alam memang antara hobi aku. Aku pun kadang-kadang tak sangka yang keindahan alam begini masih lagi wujud di Tanah Melayu. Dan bercakap tentang keindahan alam, aku pun berpeluang untuk melihat sungai di kampung aku di sebelah bapa kembali menjadi jernih. Semenjak aku lahir lagi, memang tak pernah aku lihat Sungai Sembrong ini sejernih ini. (Terkejut jugak aku. hehe..). Tapi apa-apa pun, memang aku kepenatan selepas balik ke kampung. Rasa sedih pula nak pulang ke Sarawak. Apa-apa pun, untuk kerjaya dan masa depan aku juga, kenalah kuatkan semangat. Sekian saja buat masa ini.

Salam.

Ahad, 11 Ogos 2013

Tiny Monster

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua.


Aku semenjak 20 hari yang lepas dah semakin ketagih dengan permainan Tiny Monster. Game yang menjadikan pemain sebagai pembela monster-monster kecil yang comel. Hehe. Aku minat dengan game ni sebab fungsinya yang membolehkan pemain mengacukkan monster-monster biasa menjadi yang baru. Semakin aku menaiki level tinggi, semakin banyak monster-monster baru yang keluar.


Anda bermula dengan sebuah puncak gunung dan akan mula karier anda dengan membela monster api yang berupa singa. Kemudian Ais, Tumbuhan, Batu, Elektrik, Air, Cahaya dan Bayang. Bagi aku, aku hanya mengikut misi yang disediakan sehingga aku berjumpa dengan misi 'Misi Melahirkan Frozenflame'. Masakan tidak, secara elemen, ais dan api tidak serasi. Huhu.. payah betul. Sesiapa yang ada bermain tiny monster, silalah add di radin87.

Salam

Jumaat, 9 Ogos 2013

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Hari raya akhirnya tiba lagi untuk tahun ini. Hari di mana kita meraikan kemenangan selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Menyeronokkan tapi penat, itulah yang dapat aku simpulkan di hari pertama hari raya. Seperti di tahun lepas, aku menyambut hari raya di kampung sebelah ibu sebab sistem giliran balik raya bagi keluarga aku dah dimansuhkan selepas kedua datuk dan nenek ku di sebelah ayah meninggal dunia.

Pada tahun ini, aku tidak berseorang pulang ke kampung kerana seorang kawan aku di Sarawak juga turut serta untuk mengalami sendiri pengalaman beraya di Semenanjung. Pengalaman balik kampung memang menyeronokkan sebab aku sekeluarga memang akan berpusing seluruh negeri Johor untuk berjumpa dengan ahli keluarga yang lain. Terdapat juga pengalaman luar biasa yang aku alami tahun ini. Tapi susah aku nak jelaskan fenomena metafizik dan supernatural. Jadi aku akan jelaskan pada waktu yang akan datang sajer.


Akhir kata, selamat menyambut hari raya aidilfitri kepada semua. Pada tahun ini, ada sedikit pengalaman menyeronokkan sebab aku dapat peluang memperagakan Baju Melayu Sarawak. Huhu.. sekian untuk masa ini.

Salam

Selasa, 6 Ogos 2013

Berbuka di perantauan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua


Aku sekarang selamat tiba di rumahku di Johor Bahru selepas berjalan sehari suntuk. Dalam perjalanan aku pulang ke Johor, bermacam-macam kenderaan aku naiki. Bot, bas, belon (kapal terbang dalam bahasa melayu sarawak) dan juga kereta. Dalam perjalanan aku dari Miri ke Johor, masa perjalanan aku adalah dari waktu 5.40 sehingga 7.40 pm. Mungkin anda nampak takder masalah apa-apa, tapi anda pasti ingat yang terdapat perbezaan masa berbuka di Sarawak dan di Johor.

Masa berbuka di Johor : 7.17pm
Masa berbuka di Bintulu : 6.42 pm

Maksudnya masa perjalanan aku di dalam flight adalah melalui waktu berbuka, tetapi waktu berbuka mana yang perlu aku ikut? Bagus juga aku kongsi benda ini sama-sama.

Jadi awal-awal lagi aku ada bertanya benda ini kepada ustaz yang bertugas di Bakun.

radin87 : Ustaz, kamek ada soalan mauk tanya.. Mun dalam flight, waktu buka ney yang kamek kenak ikut?

Ustaz : Mun dalam flight, kitak ikut waktu tempat kitak berlepas.

Ok, itu sikit-sikit dialog aku dalam bahasa melayu sarawak. Hehe. Itu antara beberapa benda yang aku kena atau mungkin wajib belajar bila berada di Sarawak. Sebab ramai rata-rata orang Sarawak ini bila lihat aku jer mereka akan terus kelakar Sarawak.. Itu ok lagi, ada sekali tu ada yang ngumbai iban dengan aku. Huhu.. Camney ya?

Ok, berbalik pada soalan tadi. Bila kita berada di dalam penerbangan yang menyebabkan kita berubah perjalanan zon waktu. Maka kita harus ikut tempat kita berlepas. Namun, jika kita tiba di tempat destinasi, maka kita perlu ikut waktu tersebut.

Itu antara pengalaman aku berpuasa di perantauan. Sekian sahaja untuk kali ini.
Salam.




Isnin, 5 Ogos 2013

Balik Raya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.


"Balik kampung.. hoo..oo.. balik kampung." Detik hati kecilku tatkala aku sampai di Bandaraya Miri tengah hari tadi. Aku memang dah lama tak sabar nak balik ke rumahku di Johor. Almaklumlah, berada di perantauan memang mencabar diri aku terutamanya cuba berpuasa dengan suasana baru. Ini adalah tahun kedua aku berpuasa di Bakun, Sarawak. Dan, berbeza pada tahun lepas, suasana pada tahun ini lebih meriah, lebih bermakna dan lebih bersemangat disebabkan dengan pertambahan jumlah staf-staf Sarawak Hidro yang beragama Islam. Aku antara yang terawal balik. Ada perasaan gembira bercampur duka selepas mengucapkan salam kemaafan atas dosa-dosa dahulu.

Satu pengalaman baru yang aku rasai dalam berpuasa tahun ini adalah sifat toleransi antara kaum dan juga persefahaman walaupun berbeza fahaman agama. Rata-rata kaum Orang Ulu di Sarawak ini adalah beragama Kristian. Walaupun tiada halangan untuk mereka makan di hadapan orang puasa, tetapi mereka tetap bertanya ketika mereka mahu makan. Di minggu terakhir ramadhan, aku sempat menyelesaikan beberapa kerja terakhirku sebelum bercuti. Terpaksa bha, kalau tak memang berdering-deringlah telefon aku setiap hari dari Supervisor aku yang banyak masalah tu. Ketika hari pertama aku balik pun, berdering-dering telefon aku berbunyi daripada dia. (memang suka cari salah orang pun dia ni..)

Apa-apa pun aku selamat tiba di Johor Bahru tanpa banyak masalah. Banyak sebenarnya urusan yang perlu aku selesaikan, tapi apa-apa pun, kita rehat dulu!!


Ahad, 21 Julai 2013

Bulan Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua


Akhirnya sekali lagi bulan Ramadhan sudah tiba lagi. Secara peribadi, ini adalah puasa aku yang kedua di Sarawak. Diam tak diam, sudah pun 10 Ramadhan sudah pun berlalu. Kita sudah memasuki ke peringkat 10 hari kedua di bulan Ramadhan. Pengalaman berpuasa di Sarawak ini memang menyeronokkan. Kenapa? Sebab di tempat aku bekerja, iaitu di Empangan Bakun, ia dipenuhi dengan masyarakat yang berbilang kaum dan budaya. Baik daripada semenanjung mahupun Sarawak ataupun Sabah, tak dilupakan juga Indonesia. Berbuka setiap hari dipenuhi dengan aneka juadah dari seluruh Malaysia. Bermula dengan bubur pedas di Sarawak sehinggalah ke Nasi Dagang di Terengganu, semuanya ada. Kadang-kadang memang tidak terasa aku berada di Sarawak. Itu adalah satu keseronokan ketika berpuasa, iaitu ketika berbuka. Kita berpuasa atas perintah Allah dan kita berbuka dengan rezeki daripada Allah.

Dan, tadi pagi sampai mesej daripada Project Manager aku menyatakan yang kami sudah masuk kerja secara rasmi di dalam empangan pada hari Isnin ini. Arahan mogok daripada pihak Main Cont. sudah tamat secara rasmi. Tapi, memang secara teorinya kami kena mogok, tapi secara praktikalnya mana boleh seorang Engineer mogok? Banyak lagi kertas kerja yang kena buat apatah lagi memandangkan yang Jurutera ini bergaji bulan dan bukannya bergaji hari.

Ku padahkan kau, nak makan gaji buta ka? Sik baik polah kedak ya...

Satu lagi yang melegakan hati aku adalah, tiket penerbangan aku ke Semenanjung sudah diluluskan. Boleh juga aku balik raya tahun ini. Huhu.. Memang ku turutkan hati, kepala aku dah terbayang-bayang nak balik saja ni. Tapi tak mengapa, aku datang sini untuk kerja, jadi habiskan kerja itu sebelum pulang. Berusaha sehabis baik. Bak kata orang Iban...

Agi idup agi ngelaban..

Sekian saja untuk kali ini
Salam.

Ahad, 30 Jun 2013

Di Akhir Jun

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Sejahtera semua


Apa khabar kepada semua pengunjung-pengunjung RBE. Didoakan agar semua sihat-sihat sejahtera hendaknya di samping menjalani kehidupan seharian di dunia yang serba mencabar ini. Pada asalnya, aku bercadang mahu menulis pada minggu lepas lagi bersempena dengan Nisfu Syaaban, satu peristiwa penting di dalam Islam di mana bertukarnya qiblat umat Islam daripada Baitul Maqdis kepada Kaabah di Masjidil Haram, Mekah. Namun, disebabkan aku hanya dibenarkan untuk keluar ke Bintulu sekurang-kurangnya 2 minggu sekali, terpaksalah aku menulis pada minggu ini.

Masjid Al-Aqsa, Qiblat pertama umat Islam. Malah di sini juga tempat Nabi Muhammad di-mi'rajkan ke langit dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj

Masjidil Haram, qiblat kedua Umat Islam. Ditukar selepas turunnya perintah Allah pada tahun kedua Hijrah

Untuk peringatan kepada semua, kita sudah pun berada di hujung Syaaban. Seminggu saja lagi, bulan Ramadhan akan kembali. Sudahkah anda-anda semua mengganti semua puasa-puasa yang tertinggal di tahun lepas? Sudah?? Alhamdulillah. Jangan dikumpul puasa-puasa itu, tak larat untuk kita membayarnya kelak apabila ia sudah jadi markah terkumpul. Masakan tidak, daripada mengganti puasa, ia akan bertambah kepada mengganti puasa + membayar fidyah. Banyak tu nak kena ganti.

Di samping itu juga, aku sebenarnya sedang mengalami kekecewaan yang amat sangat selepas pasukan bola sepak kesayangan kami rakyat Johor, iaitu Johor DT tewas di tangan Kelantan di Final Piala FA. Sedih siot... apa-apa pun, kami sentiasa menyokong Johor DT sama ada di waktu susah mahupun senang. Luaskan Kuasamu Johor!!


Sekian sahaja nukilan aku di waktu ini. Bersambung di ruangan akan datang.
Salam


Ahad, 16 Jun 2013

1, 2, bertukar..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.

Sekelip mata jer dah pertengahan bulan Jun! Cepat sungguh masa berlalu. Sungguh tak disangka-sangka yang aku merasakan baru semalam masuk ke bulan 6. Aku keluar lagi ke Bintulu buat kali kedua untuk bulan ni. Menyebabkan Logistic Officer aku di Site Bakun ni membising sebab kitorang keluar. Tapi memandangkan Fuku-Taicho kitorang ni ada, takla teruk sangat dia membising (dah memang hobi dia membebel.. nak wat camner.. ). Macam mana kitorang tak keluar, minggu lepas 1 minggu talian telefon di Bakun ada masalah.

Memang merasa la kejap kembali ke zaman 90-an tanpa ada sebarang talian telefon bimbit. Jadi keluar sekejap untuk kembali ke ketamadunan. Huhu. Dan di Bintulu juga aku menumpukan masa aku kepada blog aku. Sempat juga aku mengemaskini profil aku ni. Dan hasilnya.. ta-dah.. agak menarik, tertarik dan memang da-bomp! Heh.. Bertukar tema sekali sekala supaya korang semua tak bosan.

Sekian saja untuk kali ini.

Selasa, 4 Jun 2013

Bercuti ke Miri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

4 hari, itulah hari cuti umum aku yang paling panjang pernah aku terima setakat ini. Bersempena dengan hari gawai yang disambut di Sarawak ini, aku dan rakan-rakan sekerja aku termasuk seorang Fuku-taicho di Site Bakun yang aku gelarkan di sini sebagai PM mengikuti kami semua ke Miri. Cuti hari gawai ini sebenarnya memang aku dapat banyak jemputan untuk melawat ke rumah-rumah panjang Iban. Tetapi melihatkan kepada prospek di mana anda pastinya susah untuk mengelak daripada meminum arak yang dihidangkan, adalah lebih baik kami tidak melawat langsung. Tapi apa-apa pun, kepada semua daripada Kaum Dayak, Garu Guru Gerai Nyamai untuk sambutan Hari Gawai di tahun 2013 ini.


Sedikit sebanyak yang boleh aku katakan tentang Bandaraya Miri ini adalah, ia merupakan kota peranginan bagi Negeri Sarawak. Pelancong-pelancong, terutamanya daripada Brunei Darussalam akan memenuhi seluruh pelosok kota ini pada hari-hari minggu. Sedikit daripada sejarah Bandaraya Miri ini :-
  1. Miri berasal daripada perkataan Melanau, Miriek yang membawa maksud Kuda Laut. Jika anda datang ke Miri, anda akan lihat kota ini dipenuhi dengan perhiasan dan ukiran yang menyerupai kuda laut.
  2. Bandaraya Miri merupakan pusat pentadbiran bagi Bahagian Miri iaitu bahagian kedua besar di Negeri Sarawak selepas Bahagian Kapit.
Dalam masa 4 hari ini, sudah hampir seluruh pelosok Miri telah aku jelajahi sehingga menghampiri ke Kuala Baram. Iaitu sempadan Malaysia dan Brunei yang hanya dipisahkan oleh Sungai Baram. Satu perkara yang aku agak annoyed adalah seorang rakan aku daripada Pantai Timur Semenanjung tidak sudah-sudah menyebut Kuala Berang... Kuala Berang.. bila dia mahu menyebut Kuala Baram.. Haiyoo.. jauh kot beza.

Apa yang aku mahu katakan, keadaan di Miri tidak jauh bezanya dengan di Bintulu. Huhu.. Apa-apa pun, aku mengambil keputusan mengupdate blog aku sepuas-puasnya sebelum pulang untuk bekerja di Bakun esok.


Ahad, 2 Jun 2013

Setahun berkerja di Sarawak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Aku sekarang ini berada di Miri ketika aku mengemaskini blog aku ini. Kenapa aku berada di Miri? Sekarang ini aku dan rakan-rakan sekerja aku sedang menikmati cuti bersempena Hari Gawai dan juga Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong daripada 1 sehingga 4 Jun. 4 hari cuti umum, memang satu yang amat menggembirakan. Walaupun aku berkerja di site, aku tak dapat nak tuntut bayaran kerja lebih masa, kecuali cuti ganti. Apa-apa pun, baik aku manfaatkan cuti aku daripada memeningkan kepala memikirkan soal kerja yang masih tidak berkesudahan.

Aku sedang melihat dan membelek-belek kalendar, aku sebenarnya terkejut dan hampir tidak percaya disebabkan yang aku sudah pun genap setahun berada di Sarawak ini. Pengalaman bekerja di Sarawak ini memang amat beharga dan takkan aku lupakan. Sejak dulu lagi jika aku lihat sejarah keluarga aku, memang kami sentiasa merantau demi bekerja untuk menyara hidup kami. Aku masih ingat lagi ketika aku bertanya dan meminta nasihat daripada ahli keluarga aku untuk bekerja di Sarawak. Masing-masing bersetuju menyatakan yang aku masih muda dan perlu banyak menimba pengalaman. Apatah lagi bidang aku ini, iaitu Bidang Kejuruteraan Elektrik adalah bidang yang sudah tepu dan amat sukar untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya kepada mereka yang masih lagi fresh-graduate. 


Namun, semuanya sekarang sudah menjadi sejarah. Aku sudah mendapat rentak kehidupan di alam pekerjaan. Tapi aku memang mengakui, semakin lama aku kerja, semakin banyak yang aku tak tahu. Aku tak pernah tahu yang bidang elektrik serumit dan sekompleks ini, walaupun aku akui, kerjanya memang seronok. (sebab tak payah duduk kat pejabat.. huhu). Lagi-lagi apabila melihat yang apa yang kita kerjakan selama ini sudah mula membuahkan hasil seperti dalam gambar di atas.

Dan target aku sekarang adalah, mengejar gelaran Professional Engineer (Ir.) ataupun setidak-tidaknya mendapat gelaran Engineer (Engr.) di pangkal nama hadapan. Heh.. Yakin Boleh.

Ahad, 26 Mei 2013

Kisah asam garam kehidupan

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Selamat datang semua

Kehidupan kita sehari sudah tentulah banyak kisah yang terjadi. Terutama bila sudah lama berjauhan dengan ahli keluarga, sudah pastilah banyak yang hendak diceritakan. Itulah yang terjadi selama berada ku berada di kampung. Tak habis-habis soalan ditanya terutamanya dengan makcik dan pakcik. Dan, dalam hidup kita juga, kita akan diuji akan apa yang kita ucapkan selama ini.

"Sampai hati kau tak bergambar ngan aku akim." Kata sepupu aku selepas majlis perkahwinannya tamat. Jadi apa yang aku jawab, ibu aku lebih utama. Dah lah cuma dapat jumpa 2 kali setahun, jika ada apa-apa jadi mestilah ibu perlu diutamakan. Apa yang aku perkatakan di hari ibu dahulu kembali kepada menguji aku. Tapi, segalanya berjalan lancar tanpa banyak masalah.

Macam - macam cerita yang aku dengar apabila aku pulang. Ada yang gembira, ada yang sedih. Tapi apa yang penting adalah kita ambil semua kesilapan sebagai pengajaran dan lupakan yang sudah berlaku. Aku melihat ke kalendar, ini hari terakhir cuti aku. Aku dah kena pulang ke Sarawak esok. Sedih pula rasanya...

Sabtu, 25 Mei 2013

Walimatul urus

Assalamualaikum dan Salam sejahtera
Selamat sejahtera semua

Aku selamat sampai di Batu Pahat selepas menaiki tiket terakhir dari TBS ke Batu Pahat. Disebabkan cuti umum Hari Wesak, terminal bas penuh sesak dengan kesemua tiket ke destinasi selatan habis dijual. Alhamdulillah sebab aku dapat tiket terakhir tu. Kalau tak, alamat tidur kat TBS la aku. Memang aku tak sangka, sepupu aku yang aku selalu panggil dia Adik Wa bertemu juga jodohnya. Dan perkahwinannya walaupun sederhana, tetap meriah dengan kehadiran kesemua ahli keluarga kami kecuali yang sedang belajar di luar negara. Ibarat hari raya. 


Walimatul urus kali ini agak berbeza dengan yang lain sebab subjek penceraian juga keluar menjadi topik hangat. Memang banyak komplikasi apabila bercerai terutama jika pasangan tersebut sudah mempunyai anak. Hak penjagaan anak sudah tentulah jatuh ke pihak sebelah ibu. Hanya apabila sudah berumur 12 tahjn baru anak itu boleh memilih untuk tinggal dengan ibu atau ayahnya. Banyak faktor penceraian sebenarnya. Tapi memilih pasangan yang baik adalah faktor yang penting.

Dengan selamatnya majlis Walimatul urus ni, soalan cepu emas mula ditembak bertalu-talu kepadaku. "Bila nak kahwin?"

Khamis, 23 Mei 2013

Bintulu, Kuala Lumpur dan Air Asia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

"Disabled! Disabled! I cannot counter attack". Heh.. itu adalah apa yang aku dengar ketika aku berada di dalam penerbangan Air Asia dari Bintulu ke Kuala Lumpur. Jam dah menunjukkan pukul 11 pagi. Aku tak tahu apa yang budak belakang aku ni main, tapi perjalanan pagi tadi memang lancar tanpa ada masalah. Ketika aku mula-mula naik, aku pun memang risau nak naik Air Asia sebab kes ketidakberperikemanusiaan Air Asia akan isu penumpang Malaysia yang tidak dibenarkan menaiki pesawat di Vietnam. Tapi memang tidak adil menghukum kesemua crew-crew AA akan kes yang berlaku di Vietnam. Jadi aku mengambil keputusan untuk melihat akan perubahan layanan AA.

Secara keseluruhan, aku berpuas hati dengan layanan AA sepanjang perjalanan tadi. Ada nampak kesungguhan mereka untuk mempamerkan servis terbaik. Cuma aku belum dengar ucapan minta maaf jika mereka ada tersilap layanan. Tapi buat masa ini aku rasa ok jer. Sebaik saja aku sampai ke LCCT, aku terus mengambil tiket ERL express untuk ke TBS. Owh yer, kepada sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana hendak menuju ke TBS jika dari LCCT, boleh ikut penunjuk di bawah :-

  1. Dari LCCT, ambil tiket bas transit ERL bewarna ungu untuk menuju ke Stesen Salak Selatan.
  2. Sebaik sahaja tiba ke Salak Selatan, ambil ERL ke TBS iaitu Stesen Bandar Tasik Selatan.
  3. terbalik kan arah di atas jika anda dari arah sebaliknya.
Memandangkan aku masih ada masa sebelum tiket aku menuju ke Johor, baik aku round-round KL dulu. Huhu..

Ahad, 12 Mei 2013

Selamat Hari Ibu 2013

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Selamat hari ibu diucapkan kepada semua ibu-ibu di luar sana. Dan kepada siapa yang lupa, adalah diingatkan seula yang Hari Ibu disambut setiap 12 Mei. Ini merupakan hari di mana kita meraikan jasa seorang ibu. Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu, taatilah ibu anda ketika hayatnya. Besar pengorbanan seorang ibu ini, malah kata pepatah juga menyebut, "syurga terletak di bawah tapak kaki ibu".


Di dalam ajaran Islam juga menuntut kita mentaati ibu kita. Di mana keredhaan ibu itu terletaknya keredhaan Allah dan di mana kemurkaan ibu itu terletaknya kemurkaan Allah. Tidak akan cium bau syurga mereka yang derhaka kepada kedua ibu bapanya walaupun haruman syurga itu boleh dihidu dari beratus tahun jaraknya. Malah, tidak terbalas kita atas semua jasa ibu ini. Jika kita mendukung ibu kita selama sebulan untuknya menjalani ibadah haji sekalipun, masih tidak terbalas dengan setitik susu ibu yang kita minum.

Oleh itu, taatilah mereka dan jangan menderhaka kepada mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kerana, sepanjang usia kita di dunia ini, kita hanya ada seorang ibu.

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU
SELAMAT NYAMBUT ARI INGDAI

Rabu, 8 Mei 2013

Perpaduan Melayu? Apa yang susah?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.

Pilihanraya Umum ke-13 sudah pun berakhir. Dan seperti kebiasaan, mood pilihanraya masih lagi panas membara. Juga pada kali ini, semua orang terkejut dengan peningkatan jumlah kerusi yang dimiliki oleh DAP. Dan seperti biasa, ramai orang mula mencanangkan isus-isu berbaur perkauman. Masa inilah masing-masing nak jadi juara bangsa Melayu. (bila waktu biasa takder pulak.. Huhu..). Masing-masing pun berkata, wahai UMNO dan PAS, bersatulah atas nama perpaduan Melayu.

Sebenarnya penyelesaiannya sangat mudah. Tetapi ianya dirumitkan oleh dua faktor. Pertama sebab ahli politik itu sendiri yang menambah burukkan keadaan tersebut.. (menangguk di air yang keruh la orang kata..). Dan satu lagi adalah faktor sikap orang Melayu itu sendiri yang akan menjatuhkan lawan sendiri sehingga tersungkur sampai 7 keturunan kalau boleh tanpa memikirkan yang dia adalah saudara seagama mahupun serumpun bangsa. Dalam kes ini, UMNO tak boleh terima PAS, PAS juga tak boleh terima UMNO.

Ok, dalam hal ini.. Mungkin ada faktor lain seperti isu rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain. Tapi saya akan tumpukan pada tanggungjawab kita sebagai pengundi Melayu. Jika anda betul-betul mahukan perpaduan Melayu.. Pertama sekali anda kena terima kedua-dua UMNO dan PAS. Terima baik dan buruk kedua-dua parti ini. Sebab bagi aku lah kan, tak kiamat la kalau kita tukar-tukar undi.

Yang kedua, apabila dalam pilihanraya, sama ada anda sokong PR atau BN, utamakan ahli-ahli dari parti-parti ini, ataupun anda sebagai pengundi Islam, utamakan calon yang Islam. Dalam kes UMNO vs PAS atau MCA vs DAP, terserah pada anda nak undi siapa.. Tetapi jika dalam kes... UMNO vs DAP atau PAS vs MCA??

Ya betul... Anda faham kan apa yang saya maksudkan kan? Undi itu adalah rahsia, sekadar perkongsian saja. Sekian.

Jumaat, 3 Mei 2013

Marilah Mari.. Pergi Mengundi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Apa khabar anda semua. Di bulan Mei ini, tiada berita yang lebih besar melainkan daripada Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei 2013 ini. Dengan tempoh berkempen 15 hari hanya berbaki 1 hari sahaja lagi, sudah tiba masanya kita bersedia dengan pilihan di tangan masing-masing siapakah yang akan kita pilih untuk mentadbir negara kita yang tercinta ini. RBE juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkempen secara ringkas.

Cuba anda lihat tanda biru putih di bawah. Apakah maksudnya?


Tanda biru putih bermaksud WAJIB. Di dalam tanda di atas ia menunjukkan kenderaan anda WAJIB mengikut tanda yang ditunjuk. Cuba anda lihat simbol parti di bawah.


Ya, tanda Barisan Nasional adalah Dacing Putih berlatar belakangkan warna biru. Apakah maksudnya? Maksudnya WAJIB undi BN. Hehe..

Tapi ada juga tanda di bawah ini. Apakah maksudnya?


Tanda Putih berlatar belakangkan Hijau bermaksud SELAMAT. Di dalam tanda di atas, arah yang ditunjukkan adalah menunjukkan ke arah laluan yang SELAMAT. Cuba anda lihat tanda di bawah.


Ya. tanda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah tanda Putih berlatar belakangkan Hijau. Apakah maksudnya? Maksudnya, jika anda hendak SELAMAT, undilah PAS. Hehe..

Apa yang penting, buatlah keputusan yang terbaik untuk diri anda dan negara anda secara keseluruhannya. Sekian saja buat masa ini.

Salam.

Ahad, 21 April 2013

Empangan Bakun dan The Three Gorges Dam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Sejahtera semua

Beradanya saya di sini untuk berkongsi satu fakta menarik dengan anda semua. Pasti kita sudah mengetahui akan Empangan terbesar di Malaysia bukan? Ya, benar.. tak lain dan tak bukan ianya adalah Empangan Bakun. Ianya memecahkan rekod dari segi kebesaran saiz tasik di mana ianya lebih besar dari Negara Singapura. Sementara daripada segi kapasiti tenaga yang dijana juga, ianya terdiri daripada 8 turbin yang setiap satu mampu menjana sehingga 300 MW. Sehingga ke hari ini, Empangan Bakun masih lagi beroperasi separuh kapasiti iaitu sebanyak 4 turbin, sementara lagi 4 turbin masih dalam proses pembinaan. (Salah satu syarikat yang bertanggungjawab membina bahagian unit-unit yang berbaki ini adalah syarikat tempat aku bekerja..). 

Setelah lama mencari, berjaya juga aku mendapatkan gambar Empangan terbesar di Malaysia ini. Walaupun masih belum siap, ianya dikatakan sudah membekalkan hampir 40% kepada tenaga elektrik di Negeri Sarawak.


Ini adalah empangan terbesar di Asia Tenggara. Namun, dari segi kemampuan, ianya ditenggelamkan dan ditinggalkan jauh oleh empangan terbesar di dunia iaitu The Three Gorges Dam di Republik Rakyat China. Jika di bakun ianya hanya 8x300MW, di empangan di China ini adalah 32x700MW! Cubalah bayangkan betapa besar beza di antara kedua empangan ini. Dan menurut daripada beberapa kakitangan Sarawak Hidro Sdn Bhd yang sudah melakukan lawatan ke sana, teknologi yang dilaksanakan di sana jauh meninggalkan kita di Malaysia ini.


Begitu jauh teknologi yang ditinggalkan di antara dua empangan ini. Jadi ini yang menyebabkan aku tertanya-tanya, apa sebenarnya yang kita kurang? Empangan the Three Gorges Dam ini sudah hampir siap proses pembinaannya. Tapi Empangan Bakun ini masih tak siap-siap... Huhu..

Antara yang ada di empangan Three Gorges Dam ini.

i) 32 turbin berkapasiti 700MW. Di mana di bakun hanya 8 x 300MW
ii) Laluan terusan bertingkat untuk kemudahan kapal berlayar. Di bakun tiada kemudahan ini. Penambang dari Belaga yang mahu meneruskan perjalanan ke hulu perlu berhenti di waf di bawah Empangan dan melalui jalan darat ke waf di atas tasik.

Di sini saya hanya menyatakan beberapa sahaja. Semoga ini menjadi satu pemangkin kepada kita untuk memperbaiki lagi diri kita di masa akan datang.

Ahad, 7 April 2013

The Da Vinci Code

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Aku memang dah jarang tengok cerita ataupun movie sekarang ni. Mungkin disebabkan kedudukan aku jauh di pedalaman menghalang aku dari pergi ke bandar dan menonton movie-movie yang menarik di luar sana. Aku pun dah jauh sangat daripada perkembangan berita-berita semasa. Tapi, walau jauh di pedalaman sekalipun, tetap akan ada tempat untuk kita membeli cerita-cerita popular di luar sana. Dan sempat juga aku membeli satu cerita yang dah lama aku cari. The Da Vinci Code.


Jadi apa sebenarnya cerita tentang The Da Vinci Code ini? Seperti yang anda sudah maklum, Da Vinci ini adalah ahli seni yang terkemuka di zamannya. Dan hasil kerja dan karyanya sememangnya amat popular. Tetapi ia juga dikatakan menyimpan 1001 maksud dan simbol. Sama ada ia kebenaran atau sebaliknya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ia sememangnya mempunyai maksud tersirat terutamanya dengan fahaman Agama Kristian. Di mana dalam kisah ini, berlaku pertempuran dan peperangan di antara Priory of Sion dan Opus Dei. Ia adalah peperangan bagi pihak gereja menutup satu misteri yang sudah ditutup untuk sekalian lamanya iaitu menurut cerita ini, Jesus Christ sudah berkahwin dan isterinya mengandung sewaktu dia disalib. Misteri ini terbongkar selepas Chrusader berjaya menawan Palestin ketika Perang Salib daripada tangan pihak Islam.

Menurut cerita ini juga, Holy Grail yang menjadi tanda suci bagi Agama Kristian bukanlah benda/barangan tetapi adalah yang dikatakan sebagai 'Sacred Femininity', iaitu Kesucian seorang wanita. Dan menjadi tanggungjawab Priory of Sion untuk melindungi keturunan Jesus Christ ini daripada dibunuh, iaitu untuk membuktikan bahawa Jesus Christ bukanlah seorang anak tuhan tetapi sebaliknya hanyalah manusia biasa. Dan adalah menjadi tanggungjawab keturunan Jesus Christ ini jugalah untuk 'memperbaharui' agama Kristian dan menukarnya daripada penipuan kepada kebenaran.

Komentar

Aku tak cukup masa nak huraikan semua fakta dalam cerita ini, tetapi memang cerita fakta sejarah seperti ini memang aku minat dan berbaloi masa aku tengok daripada kisah-kisah cinta. Bagi aku, aku bagi cerita ini 4 bintang. Memang susah nak buat satu cerita yang padat dengan fakta dan pada masa yang sama padat dengan aksi yang mengelakkan orang daripada bosan melihat. Tapi bagi aku, kisah akan Jesus Christ ataupun Nabi Isa ini sudah berkahwin dan mempunyai anak aku memang tidak terima. Sebab, dalam ajaran Islam memang sudah dinyatakan bahawa Nabi Isa ini bujang. Dan baginda juga adalah manusia paling miskin dalam sejarah manusia, tiada manusia yang semiskin Nabi Isa sebelum ataupun sesudah zamannya. Dan baginda juga sepanjang hayatnya mendapat tentangan hebat daripada Kaumnya. Masakan baginda mempunyai masa untuk berkahwin dan bekeluarga. Satu fakta yang aku terima dalam cerita ini adalah..

"Jesus Christ is a mortal. Not a son of god. Not even his nephew twice removed."

Lagi satu, pembaharuan agama Kristian akan dilakukan oleh baginda sendiri selepas baginda diturunkan dari langit satu hari nanti. Kerana baginda tidak disalib tetapi dimikrajkan ke langit dan tempatnya diganti oleh orang yang serupa dengannya.


Jumaat, 29 Mac 2013

Bina Badan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Akhirnya dapat juga aku kembali mengemaskini blog selepas agak lama aku tidak ke udara. Bulan 3 ini sememangnya padat dengan aktiviti-aktiviti kerja yang amat mengambil kesemua masa lapang aku. Jadi memang aku tidak dapat langsung untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang aku minat. Namun, di sebalik kekangan masa, adalah amat perlu kepada kita semua (terutamanya aku..) untuk menjaga bentuk rupa badan yang berat yang ideal. Baru-baru ini, memang pengambilan makanan aku bertambah dengan banyaknya. Pagi sarapan, lepas tu tengah makan, kemudian minum petang, lepas tu makan malam... tak termasuk jika ada minum di tengah malam. Memang makan..makan..makan.. Memang aku perasan yang berat badan aku makin bertambah dari hari ke hari.

Jadi aku rasa memang perlu jika aku mulakan semula program kecergasan badan aku yang dah lama aku tinggalkan, dan juga berlatih semula untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik.


Dulu di universiti memang aku ada masa setiap petang nak angkat dumbell ni semua. Tapi bila dah kerja ni, manalah ada masa. Memang agak pelik jika aku fikirkan balik, waktu aku kerja di Kuala Lumpur takderlah berat badan aku naik. Bila kerja kat Bakun (di tengah-tengah hutan..), boleh pulak badan aku naik. Huhu..

Sekian sahaja untuk kali ini
Salam.

Isnin, 4 Mac 2013

Berdoalah untuk Sabah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Pertama sekali, kita kena sentiasa beringat bahawa apa yang kita ada sekarang ini adalah bersifat sementara. Anugerah nikmat keamanan yang kita kecapi pada hari ini juga pasti akan ditarik oleh Yang Maha Kuasa bila-bila masa sahaja. Seperti juga dugaan yang menimpa di Negeri Sabah sekarang ini apabila berlaku pertempuran di antara Anggota Keselamatan Negara dan juga puak penceroboh yang secara membabi buta mengikut arahan seorang yang mengaku sebagai Sultan Sulu di Lahad Datu dan Semporna. Secara peribadi, disebabkan oleh tragedi ini saya secara peribadi tidak akan mengiktiraf tuntutan Jamalul Kiram III dan semua keturunannya sebagai Sultan Sulu dan juga ke atas Negeri Sabah. Mereka menyatakan mereka akan berjuang sehingga mati, jadi biarlah mereka mati.


Marilah kita sama-sama berdoa ke atas keselamatan dan kesejahteraan Negeri Sabah, Negeri di bawah bayu. Biarlah semua musuh-musuhnya hancur binasa.

Salam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails