Selamat Datang Semua
Sekali lagi pada tahun ini kita telah menyambut kemerdekaan negara kita daripada belenggu penjajahan. Mungkin makna kemerdekaan tidak begitu bererti kepada kita generasi baru pada hari ini disebabkan oleh masing-masing telah dilahirkan selepas zaman penjajahan. Tiada lagi pembunuhan seperti di zaman komunis, tiada lagi ketidakcukupan makanan seperti di zaman Jepun. Tiada lagi pengasingan kelas ekonomi seperti di zaman British. Semuanya bebas dan masing-masing bebas mengamalkan cara hidup masing-masing. Kalau aku fikirkan balik, aku masih lagi sempat merasai kesusahan datuk nenek aku dahulu walaupun hanya sekejap dalam melayari hidup mereka. Namun, sejauh mana kita di hari ini menghargai kemerdekaan ini?
Rasanya kalau aku ajak korang semua fikir pasal sejarah Malaysia ini sejak dari Tanah Melayu, British, Komunis semua ni mesti masing-masing bosan. Maklumlah, masing-masing Sejarah fail. (Hehe.. berapa ramai betul-betul minat subjek Sejarah sila angkat tangan?? Haa.. kan?? Aku sorang jak.. ). Tapi bila diingat kembali, sewaktu aku antara seorang dari 2 orang Pelajar SMT Batu Pahat yang dapat A dalam subjek Sejarah memang guru Sejarah aku sanggup turun kereta bila nampak aku untuk ucap tahniah. Memang aku pun tak sangka.
Ok, berbalik pada pengertian merdeka tadi, mari kita berfikir sejenak akan hidup kita sekarang ini. Sejauh mana kita menghayati konsep kemerdekaan ini. Sebenarnya aku semakin lama semakin kecewa kerana selepas lebih 50 tahun merdeka, kita masih berdebat akan pengertian kemerdekaan. Masing-masing mahu menjadi jaguh kemerdekaan walaupun tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Contohnya tarikh kemerdekaan negara kita. Adakah 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963?
Mungkin disebabkan oleh keputusan kerajaan mahu menggunakan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh rasmi kemerdekaan Malaysia menyebabkan ramai tidak berpuas hati. Jadi, aku ada membuat kajian tentang tarikh kemerdekaan ini dan kita di Malaysia ada 3 tarikh Kemerdekaan mengikut wilayah yang membentuk Malaysia pada hari ini.
31 Ogos 1957 - Tarikh Negeri-Negeri Tanah Melayu mencapai kemerdekaan melalui Persekutuan Tanah Melayu.
22 Julai 1963 - Tarikh Negeri Sarawak mencapai kemerdekaan.
16 September 1963 - Tarikh Negeri Sabah mencapai kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia.
Jadi, di antara tarikh ini, tarikh yang mana perlu diambil sempena perlu diambil untuk memperingati tarikh negara kita mencapai kemerdekaan? Tarikh 31 Ogos diambil disebabkan tarikh ini merupakan tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Tarikh asal penubuhan Malaysia. Dan nama rasminya bukan Sambutan Hari Kemerdekaan tetapi adalah Hari Kebangsaan, hari di mana Malaysia menyambut tarikh kemerdekaan Negeri-negeri di dalam Malaysia itu secara keseluruhan. Sementara pada Hari Malaysia iaitu 16 September 1963 adalah tarikh di mana Penubuhan Malaysia diiktiraf secara rasmi.
Rasanya tidak banyak yang perlu dipertikaikan kerana Kerajaan Negeri Sarawak juga dalam sambutan kemerdekaan pada tahun ini menggunakan tema "Sarawak Merdeka 50 tahun di dalam Malaysia". Bagi aku, tindakan itu sangat bijak memandangkan Sarawak dan Sabah sudah bersetuju untuk mengambil 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan disambut (dan bukannya 22 Julai atau 16 September). Jika di Kuala Lumpur pada 31 Ogos berkumandangan Malaysia 56 tahun merdeka, memang benarlah Sarawak itu 50 tahun merdeka di dalam Malaysia. Sabah juga boleh menggunakan tema yang sama seperti Sarawak jika tidak mahu menggunakan nombor 56 tahun merdeka itu.
Namun, di sebalik semua itu, bukan nombor yang menjadi ukuran. Apa yang menjadi ukuran adalah sama ada kita menghayati dan menghargai kemerdekaan yang sudah kita miliki? Semua kita ini adalah dahulunya Tanah Jajahan British, sekiranya dahulu kita duduk di bawah telunjuk Empayar British, mahukah kita di zaman moden ini jatuh terduduk sekali lagi di tangan kuasa asing? Banyak hak-hak yang sudah kita miliki sekarang ini, jangan biarkan ia jatuh ke tangan orang lain sekali lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan