Selamat Datang Semua
Bermula dari bulan ini, segmen baru di Radin’s Blog Entertainment akan menjengah memberikan informasi kepada para pengunjung. Segmen baru ini adalah segmen Novel Review. Segmen perkongsian di mana novel yang telah saya baca sebelum ini akan saya huraikan secara ringkas di laman web ini. Untuk segmen pertama ini, novel yang akan diketengahkan adalah novel karangan Philippa Gregory yang bertajuk "The Red Queen".
Permaisuri Ros Merah, Margaret Beauforts
Buku ini secara ringkas menerangkan akan kisah hidup seorang Puteri berketurunan raja bernama Margaret Beaufort. Beliau bukanlah seorang Puteri Raja dan bukanlah seorang Ratu yang memerintah sebuah negara dan bukan juga seorang Permaisuri kepada seorang Raja Pemerintah. Tetapi baginda merupakan ibu kepada bakal raja, yang akan menyatukan dua buah Keluarga Diraja, Dinasti Lancaster dan Dinasti York menjadi sebuah Dinasti baru bernama Dinasti Tudor.
Baginda merupakan ibu kepada Raja England, Henry VII dan juga nenda kepada Raja England, Henry VIII. Baginda dilahirkan dalam keluarga Beaufort, iaitu keluarga cabang kepada Dinasti Lancaster yang memerintah England pada ketika itu. Pemerintahan Dinasti Lancaster pula dicabar oleh musuh tradisinya iaitu Dinasti York.
Hidup Margaret Beaufort secara ringkas :-
- Pewaris tunggal Keluarga Beaufort. Disebabkan dilahirkan sebagai wanita, beliau dianggap tidak bernilai. Beliau dikahwinkan dengan pewaris Dinasti Lancaster iaitu Edmund Tudor seawal umur 12 tahun. Tugas pertama beliau bermula untuk melahirkan pewaris tahta England bermula.
- Setahun selepas perkahwinan, beliau melahirkan anaknya yang pertama dengan susah payah dan hampir kehilangan nyawanya. Anak sulungnya dinamakan Henry Tudor.
- Namun, di awal usia itu juga, beliau kehilangan suaminya iaitu Edmund Tudor yang mati dalam peperangan. Keluarga Beaufort kemudian mengahwinkan Margaret dengan keluarga bangsawan berada iaitu Keluarga Stafford untuk tugas yang sama, melahirkan zuriat.
- Berbeza dengan Edmund Tudor yang menganggapnya sebagai ‘kilang memproses anak’, suami barunya iaitu Lord Stafford melayannya umpama anaknya sendiri dengan perhatian dan kasih sayang. Margaret Beaufort banyak mempelajari ilmu di rumah Stafford. Tetapi, beliau sangat hampa dengan suaminya, yang tidak mahu berperang.
- Margaret Beaufort, sekarang ini bergelar Margaret Stafford bertekad mahukan anaknya Henry Tudor, menjadi Raja England. Beliau tidak mahu susah payah melahirkan anak tunggalnya itu sehingga hampir maut menjadi sia-sia. Beliau lebih bertekad apabila memahami hakikat yang dia sudah mandul akibat melahirkan anak di usia yang amat muda.
- Selepas kematian Lord Stafford, Margaret berkahwin dengan Lord Stanley, dan pada kali ini dengan pilihannya sendiri. Lord Stanley adalah seorang yang amat licik dan sentiasa hanya setia kepada pihak yang akan menang dalam peperangan. Seseorang seperti Stanley yang licik dan tidak setia kepada satu-satu pihak adalah calon yang sesuai untuk perancangannya membantu anaknya kembali ke tahta England.
- Henry Tudor dan bapa saudaranya, Jasper Tudor sekarang hidup dalam buangan di Dukedom Brittany. Cuba untuk mengumpulkan kekuatan untuk merampas kembali tahta yang kini dipegang oleh Dinasti York.
- Untuk melengkapkan perancangan menjamin kedudukan anaknya dan keturunannya sebagai Raja England, Margaret Beaufort yang sekarang ini bergelar Margaret Stanley mengaturkan perkahwinan antara anaknya, Henry Tudor dan Puteri Elizabeth dari York, iaitu anak kepada Elizabeth Woodville, yang dahulunya adalah Permaisuri Dinasti York, musuh tradisinya. Penyatuan 2 keluarga diraja itu adalah satu-satunya cara untuk memastikan hanya satu keluarga diraja sahaja mempunyai hak atas tahta England.
- Pertarungan terakhir antara Henry Tudor dan Raja England, Richard bermula.
Mampukah kebahagian yang berpanjangan menjadi milik Margaret Beufort? Dikahwinkan dalam usia muda, hampir kehilangan nyawa kerana melahirkan anak, dipisahkan dari anaknya hanya untuk dikahwinkan ke keluarga lain, melihat kehancuran Dinasti Lancaster kepada Dinasti York, menjadi dayang kepada seorang permaisuri yang berasal dari rakyat biasa, dan bermacam-macam lagi keseksaan di dalam kehidupan wanita ini mewarnai jalan cerita novel ini.
Sekian buat masa ini,
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan