Jumaat, 23 Mac 2012

Keputusan SPM ; Tahniah kepada semua

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Debaran yang dinanti-nantikan sudah pun terjawab. Semua usaha yang telah dicurahkan untuk belajar selama 11 tahun akhirnya terjawab dengan hanya sehelai kertas. Sehelai kertas yang menentukan ke mana arah hidup dan tujuan seseorang dalam kehidupannya yang akan mendatang. Ya, keputusan SPM. Ada yang dapat keputusan cemerlang, ada juga yang biasa-biasa. Tapi apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada semua yang dapat keputusan yang baik. Ucapan tahniah ini ditujukan khas kepada 2 orang sepupu saya yang mengambil SPM pada tahun lepas.


Seriously, aku tak kisah berapa korang dapat. Yang penting korang dah usaha yang terbaik, dan tak gagal itu dah mencukupi. Tapi, apa-apa pun tahniah juga sebab salah seorang dapat 11A.

Bermakna sangatkah dapat A dalam SPM? Soalan yang hanya boleh dijawab kepada mereka yang dah dapat slip peperiksaan masing-masing. Apa yang pasti, memang pengalaman yang pasti akan korang ingat sampai bila-bila ketika mendapat slip SPM. Dan pada waktu itu, pertama kali bila slip itu saya dapat daripada guru kelas, benda pertama yang saya kira adalah kira berapa banyak A ada. Dan saya dapat 6A. Tak tahu apa yang saya fikir, tapi apa yang penting, Sejarah dan Bahasa Melayu adalah penyumbang A masa SPM. (mata pelajaran favourite aku.. hehe).

Tapi apa yang pasti, ini bukan penamat. Gagal SPM bukan bermakna gagal selamanya. Ia bukan soalan dalam kubur, gagal jawab terus susah selamanya. Percaya atau tidak, SPM ini hanya sekadar kertas yang menentukan tempat anda di hadapan atau di belakang ketika di kehidupan anda yang baru selepas SPM. Selepas ini, semuanya bergantung kepada usaha masing-masing. Dan apa yang pasti, ramai orang tak pass SPM pun, masih mampu jadi orang. Dan ramai juga yang cemerlang SPM, tak mampu jadi orang.

Teruskan kehidupan anda. ^^

Rabu, 21 Mac 2012

Senarai Peserta Mentor 6

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua


Rancangan realiti Mentor kembali semua menemui peminat untuk musim yang ke-6 pada tahun ini. Rancangan realiti yang memaparkan di mana peserta akan mendapat tunjuk ajar dan didikan daripada artis-artis tanah air yang tersohor. Untuk musim kali ini, barisan artis yang menjadi mentor adalah terdiri daripada :-


Adam AF, Faizal Tahir, Ferhad, Ramlah Ram, Fauziah Ahmad Daud dan Ella.


SENARAI PROTEGE

Protege kepada Adam AF
Abdul Kadir (KJ), 24 tahun, Sabah


Protege kepada Ella
Puteri Caroline (Caroline), 20 tahun, Kelantan


Protege kepada Faizal Tahir
Anas, 23 tahun, Perak


Protege kepada Ferhad
Salwani (Wanie), 18 tahun, WP Labuan


Protege kepada Fauziah Ahmad Daud
Noor Nazatul Farahin (Zatul), 23 tahun, Kedah


Protege kepada Ramlah Ram
Ana Syuhada, 21 tahun, Selangor

Selasa, 20 Mac 2012

Novel Review 02 ; The White Queen

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Sebelum ini, saya ada menceritakan akan novel karangan Philippa Gregory yang bertajuk "the Red Queen". Tapi sebenarnya cerita tersebut adalah kesinambungan kepada cerita sebelumnya. Satu perkara yang menarik tentang penulis ini adalah, beliau menceritakan semula kisah sejarah Kerabat Diraja England ketika di akhir zaman pemerintahan Dinasti Plantagenet. Bukan satu perkara yang mudah, namun setiap satu mampu diceritakan dengan sebahagian olahan fakta sejarah. Untuk segmen kedua ini, saya akan mengetengahkan novel "the White Queen".


Permaisuri Ros Putih, Elizabeth Woodville


Pasti anda tertanya-tanya, apakah perbezaan antara Ros Merah dan Ros Putih? Pertama sekali, bunga Ros adalah lambang keluarga diraja England ketika zaman Dinasti Plantagenet dan Dinasti Tudor. Selepas kematian ahli terakhir keluarga utama Plantagenet, keluarga ini terpecah kepada dua iaitu Dinasti Lancaster (Ros Merah) dan Dinasti York (Ros Putih). Seperti namanya, buku kali ini menceritakan akan perjuangan seorang wanita yang berkahwin dengan ahli Dinasti York sementara buku the Red Queen pula berkisar akan seorang wanita yang menjadi ahli keluarga Dinasti Lancaster. Watak utama dalam buku ini secara ringkas terdiri daripada :-

Elizabeth Woodville : Wanita ini secara umumnya lahir sebagai rakyat biasa walaupun mempunyai darah bangsawan di sebelah ibunya. Dia merupakan wanita yang tercantik pada zamannya, dan kecantikannya itu telah menarik minat Putera Edward dari York untuk mengahwininya. Sekaligus, mencetuskan kontroversi apabila menjadi rakyat biasa yang pertama dalam sejarah menjadi Permaisuri England, dan juga yang pertama berkahwin kerana cinta. Adalah suatu kesalahan pada masa itu untuk berkahwin kerana cinta. Keluarga Grey terkenal kerana wanita-wanita dari keturunan ini semuanya subur, dan Elizabeth menjalankan tanggungjawabnya melahirkan 6 orang Puteri dan 3 orang Putera England, di mana 2 daripadanya mangkat di usia muda. Dia juga mempunyai 2 orang anak lelaki daripada mendiang suami pertamanya.

Kebahagiaannya hilang sedikit demi sedikit selepas kemangkatan Raja Edward IV, di mana anak-anaknya menjadi pelarian, diisytiharkan anak haram, dibuang daripada istana, tidak layak mewarisi tahta dan salah seorang daripadanya hilang.. dipercayai dibunuh oleh pakciknya sendiri, Raja Richard. Di akhir cerita, Elizabeth Woodville cuba untuk menyelamatkan anak lelakinya dan menjadikannya sebagai Raja England dengan bersekutu dengan Margaret Beaufort. Namun, keadaan tidak memihak kepadanya.

Edward IV : Putera Edward merupakan salah seorang daripada waris Dinasti York. Dia dan 2 orang adiknya, George dan Richard digelar sebagai 3 matahari keluarga York. Perkahwinannya dengan Elizabeth Woodville mencetuskan kontroversi di seluruh negara, malah seluruh Eropah kerana Permaisurinya daripada kalangan rakyat biasa. Namun, ianya diketepikan apabila Edward dan Elizabeth berjaya melahirkan putera-puteri dan mendidik mereka menjadi antara kerabat diraja paling cantik dan paling menarik di Eropah. Dia berjaya menjatuhkan Dinasti Lancaster dengan membunuh kesemua waris lelaki Lancaster. Namun, segalanya berubah selepas itu, apabila ketiga-tiga mereka mula berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan tahta.

Elizabeth of York : Puteri Elizabeth dari York ini adalah anak sulung Raja Edward IV bersama Elizabeth Woodville. Mewarisi kecantikan ibunya, namun tidak seperti ibunya, dia lebih suka tinggal di luar istana dan tidak mahu melibatkan diri dalam politik negara yang sentiasa dilanda peperangan kerana merebutkan tahta. Dia antara yang menjadi mangsa keadaan selepas kematian ayahnya iaitu diisytihar sebagai anak haram dan dia kehilangan segala statusnya sebagai seorang puteri raja.

Walaupun begitu, dia taat kepada perancangan ibunya untuk mengahwinkannya dengan Henry Tudor, iaitu anak lelaki tunggal kepada Margaret Beaufort. Satu perancangan yang akhirnya menjadikannya Permaisuri England di masa hadapan.

Lady Jacquetta of Luxembourg : Lady Jacquetta adalah waris bangsawan Luxembourg dan merupakan ibu kepada Elizabeth Woodville, nenek kepada Elizabeth of York. Dialah perancang utama yang menyebabkan Edward IV jatuh cinta kepada anaknya, dikatakan mahir dalam menggunakan ilmu hitam yang diwarisi turun temurun dari keluarganya.


Jadi secara ringkasnya, Elizabeth Woodville sama seperti wanita lain yang tidak mementingkan darjat dan harta. Namun, semuanya berubah apabila dia menjadi Permaisuri dan tinggal di istana. Di samping juga dia mempunyai anak-anak lelaki untuk mewarisi tahta kerajaan. Dia sentiasa mencari jalan untuk mengembalikan mereka ke tahta England dengan apa cara sekalipun. Namun, takdir menentukan yang Dinasti Plantagenet akhirnya tamat. Penamatan mereka adalah amat tragis. Bukan berakhir kerana dibunuh oleh orang luar, tetapi berakhir kerana berbunuhan sesama sendiri.

Isnin, 19 Mac 2012

Bunohan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua.

Pada asalnya filem BUNOHAN ini bukanlah pilihan pertama ketika mahu menonton wayang beberapa hari yang lalu. Secara jujur, ini adalah yang ketiga dalam senarai. Memandangkan 2 filem pilihan sebelumnya sudah penuh, filem ini menjadi pilihan di petang hari. Rasanya ramai dah mengetahui akan filem ini, yang telah ditahan penayangannya selama 2 tahun sebelum dilepaskan untuk tayangan di layar perak pada tahun ini.

Jadi apakah BUNOHAN ini? Kalau anda rasa yang BUNOHAN ini diambil disebabkan adegan-adegan bunuh-bunuhan di dalamnya, maka anda sudah silap besar. (walaupun ada adegan bunuh-bunuhan di dalam filem ini..). Bunohan ni sebenarnya nama tempat.


SINOPSIS

Sinopsis cerita ini belatar belakangkan 3 orang watak utama dalam cerita ini iaitu Adil (Zahiril Adzim), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Ilham (Faizal Hussein, Pelakon Sokongan Terbaik Anugerah Skrin 2003). Mereka bertiga ini adalah adik-beradik. Dan cerita Bunohan ini merupaan kisah tragik ketiga beradik ini dalam pergelutan mereka dalam merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, yang kemudiannya bertukar ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan.

Jadi siapakah sebenarnya mereka ini?

Adil :-

Adil merupakan seorang peninju Tomoi. Di dalam gelanggang, dia dikenali sebagai "Bunga Lalang". Sudah lama meninggalkan rumah. Dia bertanding jauh di kawasan pedalaman di Selatan Thailand. Kisah bermula apabila Adil hampir maut di dalam sebuah perlawanan, dan berjaya diselamatkan oleh teman rapatnya. Pertandingan yang disertainya bukan perlawanan biasa, tetapi mempertaruhkan wang, maruah dan nyawa. Disebabkan mereka melarikan diri, mereka menjadi buruan pihak penganjur tersebut. Pada waktu itu, Adil pulang semula ke kampung halamannya di Kampung Bunohan.

Ilham :-

Ilham merupakan pembunuh upahan. Dia telah ditugaskan untuk memburu dan membunuh Adil. Dalam pencariannya itu, dia mengetahui yang Adil telah berada di Kampung Bunohan. Kampung tersebut juga merupakan kampung halamannya yang telah lama ditinggalkan, tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya hampir mati. Adil juga sebenarnya merupakan adik kandungnya.

Bakar :-

Bakar adalah seorang Usahawan yang bercita-cita tinggi. Saudara kandung kepada Ilham dan juga Adil. Secara penampilan, dia adalah yang paling 'soleh'. Namun, penampilannya itu tidak dapat menutup kejahatan dalamannya yang sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai cita-citanya, termasuk mengorbankan ahli keluarganya sendiri. Dia kembali ke Kampung Bunohan kononnya untuk menjaga bapanya yang sedang uzur.

Dan di Kampung Bunohan inilah takdir mereka menunggu dan segala keperitan bermula.


Apa yang saya suka tentang cerita ini?
  1. Kesadisan pengakhiran cerita ini. Walaupun adik beradik, namun itu semua bukan penghalang untuk ketiga beradik ini bermusuhan dan berbunuhan di antara satu sama lain. (sedih woo.. tengok adik beradik berbunuhan antara satu sama lain.)
  2. Seni penggambaran latar belakang. Sama seperti temanya yang merupakan cerita tragik, penggambaran banyak berlatar belakangkan cuaca mendung, hujan dan kegelapan.
  3. Penggunaan 95% dialog dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan. (banyak jugak aku belajar perkataan kelantan.. huhu..)
  4. Unsur-unsur mistik yang menghiasi perjalanan cerita. Ibaratnya di jalan cerita ini, walaupun sekadar pemain wayang kulit, namun pastinya bapa mereka ini ada mempunyai saka.
Sekian sahaja untuk segmen movie review untuk kali ini. Berjumpa di ruangan lain.

Sabtu, 17 Mac 2012

Main Pangkah-pangkah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Ok, pertama sekali pangkah-pangkah di atas ini tiada kaitan dengan pilihanraya. Sebab ramai orang di sekeliling saya ni dah sibuk dengan pilihanraya. Mentang-mentanglah dah tahun 2012, asyik fikir pasal pilihanraya saja yer? Huhu.. Ok, berbalik pada main pangkah-pangkah tadi.. mesti ada di antara kita di sini masih ingat koyak buku kertas matematik sampai nipis semata-mata nak main permainan ni. Kan? Kan?


Amacam? masih ingat lagi? hehe..
Terutamanya sekali lepas periksa akhir tahun, masing-masing tak tahu nak buat apa. Apa lagi, perlawanan pangkah-memangkah pun bermula. Apa yang pasti, kalau lalai sikit saja, maka berbulat-bulat besarlah pangkahan anda ditawan oleh pihak musuh. Hehe..

Siapa main lagi game ni sila angkat tangan~~~ ^^

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails