Khamis, 3 November 2011

Musim Hujan..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Sejahtera semua

Tidak tahu kenapa, tetapi saya sungguh mengantuk di malam Jumaat ini. Namun, saya gagahi juga untuk mengemaskini blog. Suasana sejuk dan hening malam ini, bersesuaian dengan keadaan kebiasaan di bulan November, iaitu bulan bermulanya musim tengkujuh.

Photobucket

Secara peribadi, ini adalah bulan yang amat saya sukai. Kenapa saya suka?
  • Nyaman dan sejuk - Sebagai seorang yang bermetabolisme tinggi, saya amat mudah berpeluh. Walaupun baru berjalan sekejap ataupun terdedah sekejap kepada sinaran mentari, saya sudah berpeluh. Di musim hujan, suasana kebanyakannya adalah redup. Berpeluh bukan satu masalah
  • Aktif - Ketika di musim inilah, saya tidak akan melengah-lengah untuk membuat kerja. Setiap kerja akan dapat dilakukan dengan pantas walaupun di waktu hujan lebat. Tidak tahu kenapa, tetapi saya suka berjalan di tengah hujan (dengan memakai payung.)

Photobucket

Agak pelik kan? Tetapi itulah hakikatnya. Namun, seperti kata perpatah :-

Sediakan payung sebelum hujan, sediakan perahu sebelum bah

Musim ini juga adalah musim bencana, di mana taburan hujan yang berlebihan boleh menyebabkan banjir. Di samping itu, hujan juga akan menyebabkan ketahanan badan dan tahap kesihatan menurun. Jadi, diharap kita semua akan bersiap-siaga untuk menghadapi dugaan-dugaan yang akan mendatang.

Sekian
Salam

Rabu, 2 November 2011

3 suara - Beribu Sesalan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Segmen muzik kembali lagi tepat pada masanya. Pastinya tidak perlu dikenalkan lagi akan lagu yang dinyanyikan oleh 3 Suara ini. Ketiga-tiga penyanyi bersuara merdu ini berjaya membawa lagu ini ke pentas kegemilangan dan pernah menjadi Juara Carta Muzik-Muzik 26 pada bulan 8 yang lepas. 3 penyanyi Beribu Sesalan ini adalah Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Hamzah. Bagi saya, mereka ini adalah Voice of the Forest, Voice of the Ocean dan Voice of the Wind versi Malaysia.

Perlu saya akui, rangkap-rangkap awal dalam lagu ini pernah menjadi dugaan hidup saya sebelum ini. Namun, apa yang saya syukuri ianya tidak ke tahap di dalam lagu ini. ^^

Semoga terhibur.


Selasa, 1 November 2011

Perancangan 2012

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Photobucket
berfikir sejenak

Sekejap sahaja rasanya masa berlalu dan sekarang hari pertama bulan November telah tiba menjelma. Bila difikirkan semula, banyak juga perancangan saya pada tahun ini yang masih lagi belum tercapai. Setelah lama berfikir, saya memutuskan yang saya perlu juga untuk merancang untuk tahun yang akan datang iaitu 2012.
  • Kerjaya - Tahun 2011 merupakan tahun di mana kerjaya saya bermula. Tetapi, untuk menambahbaikkan taraf kehidupan di masa yang mendatang, perlulah apalah kiranya untuk mencari tempat kerja yang baru. Tapi, mahu memohon di mana?

    Photobucket

  • Hobi - Saya sudah beberapa kali membuat azam untuk kembali ke bidang penulisan dan menghabiskan novel pertama saya. Tetapi sehingga sekarang tidak berhasil. Kenapa susah betul mahu istiqamah melakukan sesuatu perkara?

    Photobucket

  • Harta Peribadi - Sejak dua menjak ini, saya semakin cenderung untuk mendapatkan maklumat akan kereta murah, rumah murah dan lain-lain. Rasanya tahun 2012 adalah permulaan paling baik untuk mula berdikari. Cuma, mampu ke?

    Photobucket

Apa yang pasti, perancangan tidak perlu terlalu rijik. Cuma, pastikan semua perancangan itu dilaksanakan apabila tiba masanya. Tahun 2011 hanya tinggal 2 bulan sahaja, dan saya perlu lakukan yang terbaik untuk menjadikan 2 bulan ini sebagai batu loncatan untuk menggapai matlamat saya pada tahun 2012.

Semoga semuanya dipermudahkan dan menjadi kenyataan.
Salam.

Isnin, 31 Oktober 2011

Nilapura

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Photobucket

Sebuah drama baru bermula di dalam slot "Aksi" di TV3 pada hari ini, yang akan disiarkan setiap hari Isnin dari pukul 9 sehingga 10 malam. Nilapura, sebuah drama fantasi sejarah melayu yang menyusuli Super Mak sebelum ini terbitan KL Motion Pictures dan diarahkan oleh Wan Hasliza Wan Zanudin.


SINOPSIS

Kisah dan Latar tempat cerita Nilapura bertempat di sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Kerajaan Melayu Tengah. Latar masanya pula bertempat di zaman pertempuran dua buah kerajaan di tanah tersebut iaitu Kerajaan Nilapura di utara dan Kerajaan Bimasakti di selatan.

Kerajaan Bimasakti adalah sebuah kerajaan yang kuat dan besar. Menurut rakyat Nilapura, kekuatan dan saiz kerajaan Bimasakti adalah 3 kali ganda lebih kuat daripada Nilapura.

Photobucket
Istana Bimasakti

Diperintah oleh Raja Zainal. Dan selepas kematian Putera Murtaza, pewaris tahta seterusnya adalah Putera Rangga.

Photobucket
Tuanku Zainal dari Bimasakti

Photobucket
Putera Rangga dari Bimasakti


Kerajaan Nilapura pula adalah sebuah kerajaan yang kecil, namun memiliki keberanian dan kesetiaan yang kuat.

Photobucket
Istana Nilapura

Mereka enggan menerima penjajahan daripada Negara Luar, malah, Raja Bimasakti juga tidak percayakan warga Nilapura yang seringkali akan membelot apabila tiba masanya. Selepas Raja Nilapura ditangkap, Permaisuri Anita memegang tampuk pemerintahan. Selain daripada peperangan, wabak penyakit demam hitam antara masalah dalaman kerajaan Nilapura.

Photobucket
Permaisuri Anita dari Nilapura


SENARAI EPISOD

Episod 1 (31 Oktober 2011) :
Peperangan di antara Kerajaan Bimasakti dan Nilapura semakin sengit. Kedua-dua negara terpaksa mengerahkan sepenuh tenaga ketenteraan masing-masing sehingga Kerabat Diraja kedua-dua negara turun ke medan perang. Di medan perang, Kerajaan Bimasakti kehilangan pewaris tahtanya iaitu Putera Murtaza. Sementara Nilapura pula kehilangan hampir kesemua hulubalang, Laksamana dan Pembesar-pembesar negara. Malah Sultan Nilapura sendiri menjadi tebusan Bimasakti. Nilapura akhirnya ditakluk oleh Bimasakti dan kesemua kerabat diraja Nilapura ditangkap ke Bimasakti. Sementara itu di Bimasakti, Tuanku Zainal dari Bimasakti risau akan anak lelaki kedua yang akan mewarisi tahtanya iaitu Putera Rangga.

Episod 2 (7 November 2011) :
Putera Rangga ditangkap apabila berkhalwat dengan isteri kepada Pembesar Sata. Namun, Tuanku Zainal dari Bimasakti melepaskan sahaja anaknya itu. Pada masa yang sama, Tuanku Zainal dari Bimasakti berunding dengan Raja Bumida dari Nilapura untuk mengahwini Putera Rangga dengan Puteri Ratna Mas dari Nilapura, tawaran yang dipersetujui oleh Raja Bumida untuk menyelamatkan nyawa keluarga dan Nilapura walaupun akan kehilangan kuasa dan tahta. Dalam perjalanan ke Bimasakti, Permaisuri Anita jatuh gering dan mangkat di pertengahan jalan.

Episod 3 (14 November 2011) :
Dindra, orang suruhan kepada Puteri Ratna Mas berjaya sampai ke Kota Bimasakti. Ketika itu juga, takdir menemukannya dengan seorang pemuda mabuk di tengah-tengah jalan di kota Bimasakti. Setelah cuba membantu, Dindra menyedari bahawa pemuda mabuk itu adalah Putera Rangga, sekarang ini bergelar Raja Muda. Dengan itu, Dindra telah berjaya menyelinap masuk ke istana dan berjumpa dengan Puteri Ratna Mas. Pertemuan itu menyedarkan Dindra akan keputusan Ratna untuk berkahwin dengan Putera Rangga. Puteri Ratna Mas bertekad memilih tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat Nilapura daripada perasaan cintanya kepada Dindra.

Episod 4 (28 November 2011) :
Perkahwinan antara Raja Muda Rangga dan Puteri Ratna Mas berlangsung. Sejurus selepas perkahwinan, Raja Muda Rangga diisytihar sebagai Raja Nilapura sementara Puteri Ratna Mas pula diisytihar Permaisuri Nilapura. Rangga enggan berangkat ke Nilapura, menyebabkan Permaisuri Ratna Mas terpaksa mengambil tempat sebagai Pemerintah Nilapura. Satu tindakan yang tidak dipersetujui oleh ramai pembesar Nilapura, menyatakan Raja Bumida adalah seorang pemerintah yang zalim, apatah lagi warisnya. Berbalik di Bimasakti, Rangga patah hati apabila mengetahui kekasih gelapnya, Ulia mengaku tidak mencintainya dan menduakannya. Ia sekaligus menyebabkan Rangga bersama orang suruhannya, Waris berangkat untuk tinggal di Nilapura.

Ahad, 30 Oktober 2011

Pilih Kasih 3 - Aeon Bukit Tinggi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Photobucket

Rancangan realiti Pilih Kasih kembali lagi untuk musim yang ketiga, satu-satunya rancangan realiti di Malaysia yang berorientasikan untuk mencari bakat pelakon. Pada 29 dan 30 Oktober ini, ujibakat bertempat di Aeon Bukit Tinggi, Klang. Turut serta? Oh, tidak.. saya cuma datang ke Aeon untuk menemani rakan, Iez yang menyertai ujibakat kali ini.

Photobucket

Ramai yang turut serta dalam ujibakat untuk semalam sahaja. Dan, lama juga masa yang diambil untuk menunggu giliran. Kami tiba dalam 12.30 tengah hari, dan ujibakat Iez bermula pada pukul 6.10 petang. Bayangkan betapa ramainya peserta yang hadirkan diri untuk diujibakat. Dan, segala penat lelah menunggu berbalas apabila Iez terpilih untuk ke pusingan seterusnya. Jadi, kami menunggu lagi sehingga 10.00 malam untuk Iez ditemuduga sendiri oleh Rosyam Nor, (segmen baru untuk Pilih Kasih 3) sebelum pulang.

Selama hampir 10 jam berada di Aeon Bukit Tinggi, terdapat macam-macam ragam peserta yang boleh dilihat. Ada yang hebat, ada yang berbakat, mencuba nasib, dan ada juga yang datang hanya sekadar untuk berseronok-seronok di atas pentas. Saya rasa, kalau datang sekadar untuk berseronok dan tidak serius, lebih baik tidak perlu turut serta. (membazir masa sahaja). Barulah faham bagaimana kepenatan yang dialami oleh barisan panel iaitu En. Hamzah dan Nanu Baharudin yang terpaksa menelan semua 1001 macam kerenah peserta-peserta ujibakat.

Baiklah, kepada mereka yang berminat untuk menyertai Pilih Kasih 3, di bawah ini adalah jadual dan lokasi ujibakat selepas ini.

12 & 13 November 2011 - Central Square, Sungai Petani, Kedah
19 & 20 November 2011 - TBC
26 & 27 November 2011 - Centre Point, Sabah
3 & 4 Disember 2011 - The Spring, Sarawak
10 & 11 Disember 2011 - KL Sentral, Kuala Lumpur


P.S :: Dekat 10 jam di lokasi ujibakat, aku boleh tak teringat langsung nak ambik gambar!

Sekian buat masa ini,
Salam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails