Selamat Datang Semua.
Kepenatan pulang dari kerja masih lagi terasa. Tapi, perasaan mahu menulis sesuatu di blog tidak dapat ditahan lagi. Walaupun sudah beberapa hari berlalu, namun isu Tsunami di Jepun masih lagi menjadi topik yang hangat diperkatakan di pejabat. Klip video, berita, gambar dan sebagainya seringkali diulang tayang. Memang ia sesuatu yang amat dahsyat dan sukar digambarkan. Gempa Bumi Sendai berlaku pada 11 Mac 2011 sekuat 9.0 skala Ritcher. Ia cukup kuat untuk menghasilkan Tsunami yang melanda sekitar perairan Lautan Pasifik.
Air memadamkan api, tetapi lihat gambar di atas.. api menyala marak di atas runtuhan bangunan yang dihanyutkan ombak
Gempa Bumi Sendai, 2011
Jika kita lihat gambar di bawah, gempa bumi tersebut berpusat 130km dari perairan Semenanjung Oshika, Tohoku dengan kedalaman 32km. Ini adalah antara Gempa Bumi paling kuat pernah direkodkan di Jepun setakat ini. Selepas berlakunya gempa tersebut, beberapa gegaran susulan dapat dirasai.
Gempa tersebut menyebabkan kemunculan gelombang laut setinggi 10m. Ketika ia menghempas ke pantai Jepun, ia membadai sehingga ke kawasan sejauh 10km dari laut. Selain dari Perairan Jepun, perairan sekitar kawasan lautan Pasifik juga menerima tempiasnya. Walaupun kebanyakan kawasan tidak mengalami sebarang bencana, ada juga kawasan yang paras air naik cukup tinggi untuk menyebabkan kerosakan.
Jika kita lihat gambar di atas, kita cukup bertuah kerana perairan kita terlindung daripada kesan langsung daripada tsunami tersebut.
Bencana Nuklear
Selepas beberapa kawasan musnah akibat gempa bumi dan tsunami, Jepun dikejutkan lagi dengan beberapa letupan daripada beberapa loji janakuasa nuklear. Contohnya seperti di Fukushima, Onagawa dan Tokai. Fukushima misalnya, antara yang paling teruk menerima kesan apabila 2 reaktor nuklearnya meletup dan mengakibatkan ancaman sinaran radioaktif. Ia menyebabkan Kerajaan Jepun mengisytiharkan darurat dan memindahkan penduduknya yang hampir dengan kawasan bencana ke tempat yang lebih selamat.
Ia juga antara beberapa punca mengapa Kerajaan Jepun menolak secara baik tawaran negara-negara lain untuk menghantar pasukan sukarelawan. Ia disebabkan, Kerajaan Jepun sendiri tidak pasti yang mereka dapat menjamin keselamatan sukarelawan-sukarelawan tersebut daripada ancaman radiasi.
Terdapat juga amaran palsu yang datang di Malaysia seperti, 'Jangan terdedah kepada hujan, nanti kulit melecur sebab itu hujan asid daripada kesan letupan nuklear...'. Buat masa ini, silalah jadi warga yang bertanggungjawab.
Jika tidak tahu, cakap tidak tahu. Jangan nak pura-pura tahu.
Kalau tak pandai, cakap tak pandai. Jangan nak memandai-mandai...
Pengajaran
Sebagai seorang yang beriman, setiap bencana yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Oleh itu, kita janganlah menghukum sebaliknya berdoalah kepada mereka yang tidak bernasib baik. Malah, tradegi yang menimpa di Jepun ini juga ada keistimewaannya yang tersendiri. Warga Amerika dan Eropah juga pernah meluahkan pandangan mereka tentang ini,
'Jika berlaku bencana yang sama kepada kita, adakah kita juga boleh menunjukkan sikap seperti warga Jepun yang melalui semua dugaan yang menimpa dengan tabah dan tenang, tanpa huru-hara dan tunjuk perasaan?'
Setiap bencana yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya..
Sekian sahaja untuk kali ini,
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan