Sabtu, 31 Ogos 2013

Hayati Semangat Kemerdekaan 2013

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Sekali lagi pada tahun ini kita telah menyambut kemerdekaan negara kita daripada belenggu penjajahan. Mungkin makna kemerdekaan tidak begitu bererti kepada kita generasi baru pada hari ini disebabkan oleh masing-masing telah dilahirkan selepas zaman penjajahan. Tiada lagi pembunuhan seperti di zaman komunis, tiada lagi ketidakcukupan makanan seperti di zaman Jepun. Tiada lagi pengasingan kelas ekonomi seperti di zaman British. Semuanya bebas dan masing-masing bebas mengamalkan cara hidup masing-masing. Kalau aku fikirkan balik, aku masih lagi sempat merasai kesusahan datuk nenek aku dahulu walaupun hanya sekejap dalam melayari hidup mereka. Namun, sejauh mana kita di hari ini menghargai kemerdekaan ini?

Rasanya kalau aku ajak korang semua fikir pasal sejarah Malaysia ini sejak dari Tanah Melayu, British, Komunis semua ni mesti masing-masing bosan. Maklumlah, masing-masing Sejarah fail. (Hehe.. berapa ramai betul-betul minat subjek Sejarah sila angkat tangan?? Haa.. kan?? Aku sorang jak.. ). Tapi bila diingat kembali, sewaktu aku antara seorang dari 2 orang Pelajar SMT Batu Pahat yang dapat A dalam subjek Sejarah memang guru Sejarah aku sanggup turun kereta bila nampak aku untuk ucap tahniah. Memang aku pun tak sangka.

Ok, berbalik pada pengertian merdeka tadi, mari kita berfikir sejenak akan hidup kita sekarang ini. Sejauh mana kita menghayati konsep kemerdekaan ini. Sebenarnya aku semakin lama semakin kecewa kerana selepas lebih 50 tahun merdeka, kita masih berdebat akan pengertian kemerdekaan. Masing-masing mahu menjadi jaguh kemerdekaan walaupun tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Contohnya tarikh kemerdekaan negara kita. Adakah 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963?

Mungkin disebabkan oleh keputusan kerajaan mahu menggunakan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh rasmi kemerdekaan Malaysia menyebabkan ramai tidak berpuas hati. Jadi, aku ada membuat kajian tentang tarikh kemerdekaan ini dan kita di Malaysia ada 3 tarikh Kemerdekaan mengikut wilayah yang membentuk Malaysia pada hari ini.

31 Ogos 1957 - Tarikh Negeri-Negeri Tanah Melayu mencapai kemerdekaan melalui Persekutuan Tanah Melayu.
22 Julai 1963 - Tarikh Negeri Sarawak mencapai kemerdekaan.
16 September 1963 - Tarikh Negeri Sabah mencapai kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia.

Jadi, di antara tarikh ini, tarikh yang mana perlu diambil sempena perlu diambil untuk memperingati tarikh negara kita mencapai kemerdekaan? Tarikh 31 Ogos diambil disebabkan tarikh ini merupakan tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Tarikh asal penubuhan Malaysia. Dan nama rasminya bukan Sambutan Hari Kemerdekaan tetapi adalah Hari Kebangsaan, hari di mana Malaysia menyambut tarikh kemerdekaan Negeri-negeri di dalam Malaysia itu secara keseluruhan. Sementara pada Hari Malaysia iaitu 16 September 1963 adalah tarikh di mana Penubuhan Malaysia diiktiraf secara rasmi.

Rasanya tidak banyak yang perlu dipertikaikan kerana Kerajaan Negeri Sarawak juga dalam sambutan kemerdekaan pada tahun ini menggunakan tema "Sarawak Merdeka 50 tahun di dalam Malaysia". Bagi aku, tindakan itu sangat bijak memandangkan Sarawak dan Sabah sudah bersetuju untuk mengambil 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan disambut (dan bukannya 22 Julai atau 16 September). Jika di Kuala Lumpur pada 31 Ogos berkumandangan Malaysia 56 tahun merdeka, memang benarlah Sarawak itu 50 tahun merdeka di dalam Malaysia. Sabah juga boleh menggunakan tema yang sama seperti Sarawak jika tidak mahu menggunakan nombor 56 tahun merdeka itu.

Namun, di sebalik semua itu, bukan nombor yang menjadi ukuran. Apa yang menjadi ukuran adalah sama ada kita menghayati dan menghargai kemerdekaan yang sudah kita miliki? Semua kita ini adalah dahulunya Tanah Jajahan British, sekiranya dahulu kita duduk di bawah telunjuk Empayar British, mahukah kita di zaman moden ini jatuh terduduk sekali lagi di tangan kuasa asing? Banyak hak-hak yang sudah kita miliki sekarang ini, jangan biarkan ia jatuh ke tangan orang lain sekali lagi.

Isnin, 12 Ogos 2013

Beraya sambil melancong

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua


Raya pada kali ini ibarat pakej pelancongan bagi aku. Pada asalnya, aku cuma mahu balik ke Semenanjung untuk beraya. Seperti kebiasaan setiap tahun, aku akan pulang ke kampung, pergi beraya ke rumah-rumah saudara, kemudian pulang ke kampung. Tapi tahun ini, dengan tiba-tiba seorang sepupu aku dipanggil untuk membuat sesi penggambaran di Mersing bersama-sama dengan adikku. Jadi memandangkan aku pun tiada urusan lain, pergi sajalah. Dan, kalau tidak pasti aku tidak akan dapat menjejakkan kaki aku ke Air Papan. (Nama jer orang Johor, tapi Air Papan pun tak pernah pergi. Huhu..).


Melihat kecantikan keindahan alam memang antara hobi aku. Aku pun kadang-kadang tak sangka yang keindahan alam begini masih lagi wujud di Tanah Melayu. Dan bercakap tentang keindahan alam, aku pun berpeluang untuk melihat sungai di kampung aku di sebelah bapa kembali menjadi jernih. Semenjak aku lahir lagi, memang tak pernah aku lihat Sungai Sembrong ini sejernih ini. (Terkejut jugak aku. hehe..). Tapi apa-apa pun, memang aku kepenatan selepas balik ke kampung. Rasa sedih pula nak pulang ke Sarawak. Apa-apa pun, untuk kerjaya dan masa depan aku juga, kenalah kuatkan semangat. Sekian saja buat masa ini.

Salam.

Ahad, 11 Ogos 2013

Tiny Monster

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua.


Aku semenjak 20 hari yang lepas dah semakin ketagih dengan permainan Tiny Monster. Game yang menjadikan pemain sebagai pembela monster-monster kecil yang comel. Hehe. Aku minat dengan game ni sebab fungsinya yang membolehkan pemain mengacukkan monster-monster biasa menjadi yang baru. Semakin aku menaiki level tinggi, semakin banyak monster-monster baru yang keluar.


Anda bermula dengan sebuah puncak gunung dan akan mula karier anda dengan membela monster api yang berupa singa. Kemudian Ais, Tumbuhan, Batu, Elektrik, Air, Cahaya dan Bayang. Bagi aku, aku hanya mengikut misi yang disediakan sehingga aku berjumpa dengan misi 'Misi Melahirkan Frozenflame'. Masakan tidak, secara elemen, ais dan api tidak serasi. Huhu.. payah betul. Sesiapa yang ada bermain tiny monster, silalah add di radin87.

Salam

Jumaat, 9 Ogos 2013

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Hari raya akhirnya tiba lagi untuk tahun ini. Hari di mana kita meraikan kemenangan selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Menyeronokkan tapi penat, itulah yang dapat aku simpulkan di hari pertama hari raya. Seperti di tahun lepas, aku menyambut hari raya di kampung sebelah ibu sebab sistem giliran balik raya bagi keluarga aku dah dimansuhkan selepas kedua datuk dan nenek ku di sebelah ayah meninggal dunia.

Pada tahun ini, aku tidak berseorang pulang ke kampung kerana seorang kawan aku di Sarawak juga turut serta untuk mengalami sendiri pengalaman beraya di Semenanjung. Pengalaman balik kampung memang menyeronokkan sebab aku sekeluarga memang akan berpusing seluruh negeri Johor untuk berjumpa dengan ahli keluarga yang lain. Terdapat juga pengalaman luar biasa yang aku alami tahun ini. Tapi susah aku nak jelaskan fenomena metafizik dan supernatural. Jadi aku akan jelaskan pada waktu yang akan datang sajer.


Akhir kata, selamat menyambut hari raya aidilfitri kepada semua. Pada tahun ini, ada sedikit pengalaman menyeronokkan sebab aku dapat peluang memperagakan Baju Melayu Sarawak. Huhu.. sekian untuk masa ini.

Salam

Selasa, 6 Ogos 2013

Berbuka di perantauan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua


Aku sekarang selamat tiba di rumahku di Johor Bahru selepas berjalan sehari suntuk. Dalam perjalanan aku pulang ke Johor, bermacam-macam kenderaan aku naiki. Bot, bas, belon (kapal terbang dalam bahasa melayu sarawak) dan juga kereta. Dalam perjalanan aku dari Miri ke Johor, masa perjalanan aku adalah dari waktu 5.40 sehingga 7.40 pm. Mungkin anda nampak takder masalah apa-apa, tapi anda pasti ingat yang terdapat perbezaan masa berbuka di Sarawak dan di Johor.

Masa berbuka di Johor : 7.17pm
Masa berbuka di Bintulu : 6.42 pm

Maksudnya masa perjalanan aku di dalam flight adalah melalui waktu berbuka, tetapi waktu berbuka mana yang perlu aku ikut? Bagus juga aku kongsi benda ini sama-sama.

Jadi awal-awal lagi aku ada bertanya benda ini kepada ustaz yang bertugas di Bakun.

radin87 : Ustaz, kamek ada soalan mauk tanya.. Mun dalam flight, waktu buka ney yang kamek kenak ikut?

Ustaz : Mun dalam flight, kitak ikut waktu tempat kitak berlepas.

Ok, itu sikit-sikit dialog aku dalam bahasa melayu sarawak. Hehe. Itu antara beberapa benda yang aku kena atau mungkin wajib belajar bila berada di Sarawak. Sebab ramai rata-rata orang Sarawak ini bila lihat aku jer mereka akan terus kelakar Sarawak.. Itu ok lagi, ada sekali tu ada yang ngumbai iban dengan aku. Huhu.. Camney ya?

Ok, berbalik pada soalan tadi. Bila kita berada di dalam penerbangan yang menyebabkan kita berubah perjalanan zon waktu. Maka kita harus ikut tempat kita berlepas. Namun, jika kita tiba di tempat destinasi, maka kita perlu ikut waktu tersebut.

Itu antara pengalaman aku berpuasa di perantauan. Sekian sahaja untuk kali ini.
Salam.




Isnin, 5 Ogos 2013

Balik Raya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua.


"Balik kampung.. hoo..oo.. balik kampung." Detik hati kecilku tatkala aku sampai di Bandaraya Miri tengah hari tadi. Aku memang dah lama tak sabar nak balik ke rumahku di Johor. Almaklumlah, berada di perantauan memang mencabar diri aku terutamanya cuba berpuasa dengan suasana baru. Ini adalah tahun kedua aku berpuasa di Bakun, Sarawak. Dan, berbeza pada tahun lepas, suasana pada tahun ini lebih meriah, lebih bermakna dan lebih bersemangat disebabkan dengan pertambahan jumlah staf-staf Sarawak Hidro yang beragama Islam. Aku antara yang terawal balik. Ada perasaan gembira bercampur duka selepas mengucapkan salam kemaafan atas dosa-dosa dahulu.

Satu pengalaman baru yang aku rasai dalam berpuasa tahun ini adalah sifat toleransi antara kaum dan juga persefahaman walaupun berbeza fahaman agama. Rata-rata kaum Orang Ulu di Sarawak ini adalah beragama Kristian. Walaupun tiada halangan untuk mereka makan di hadapan orang puasa, tetapi mereka tetap bertanya ketika mereka mahu makan. Di minggu terakhir ramadhan, aku sempat menyelesaikan beberapa kerja terakhirku sebelum bercuti. Terpaksa bha, kalau tak memang berdering-deringlah telefon aku setiap hari dari Supervisor aku yang banyak masalah tu. Ketika hari pertama aku balik pun, berdering-dering telefon aku berbunyi daripada dia. (memang suka cari salah orang pun dia ni..)

Apa-apa pun aku selamat tiba di Johor Bahru tanpa banyak masalah. Banyak sebenarnya urusan yang perlu aku selesaikan, tapi apa-apa pun, kita rehat dulu!!


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails