Rabu, 23 Mac 2011
Libya ; Sudah Jatuh Ditimpa Tangga
Selamat Datang Semua
Pasti ramai di antara kita semua sudah membaca dan menyaksikan berita-berita yang ditayangkan di media arus perdana akan krisis di Libya, sebuah negara yang berada di pesisir Laut Meditteranean. Krisis politik yang berlarutan di Libya dilihat umpama tiada kesudahannya. Kebangkitan rakyat menentang pemerintahan diktator, kedegilan Muammar Gaddafi untuk melepaskan jawatan, perang saudara yang tercetus di samping tindakan sesetengah pihak yang menangguk di air keruh mewarnai krisis di Libya.
Apakah sebenarnya yang telah melanda di negara yang kaya dengan sumber minyak ini? Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan musababnya. Artikel pada hari ini akan mengupas secara ringkas akan sejarah, pergolakan dan pengajaran yang boleh kita ambil dari krisis di Libya ini.
Sejarah Ringkas
Libya pada asalnya merupakan salah satu wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah. Selepas kejatuhan Khalifah Islam, Libya dijajah oleh Itali. Selepas Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua, Libya diserahkan kepada Pemerintahan Mandat British. Libya mencapai kemerdekaan pada 24 Disember 1951, dan diperintah oleh Raja Idris. Baginda merupakan Raja Libya yang pertama dan terakhir. Pemerintahan baginda berakhir setelah digulingkan pada 1 September 1969 dalam Revolusi Libya.
Jadi siapakah yang bertanggungjawab memimpin Revolusi tersebut? Tak lain dan tak bukan adalah pemerintah Libya sekarang, iaitu Muammar Gaddafi yang pada ketika itu berusia 27 tahun. Maka terhapuslah sistem Pemerintahan Beraja di Libya dan bermulalah era Libya di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi dan Libya dinamakan sebagai Republik Sosialis Rakyat Libya.
Selepas 42 tahun
Selepas berjayanya Revolusi Jasmin di Tunisia dan Demonstrasi di Mesir menggulingkan pemerintahan diktator masing-masing, ia sedikit sebanyak menyemarakkan api semangat juang pada masyarakat Libya untuk bangkit menentang pemerintahan Muammar Gaddafi. Tidak seperti mantan Presiden Tunisi, Zine El Abidin Ben Ali dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang mengundurkan diri selepas mendapat tentangan rakyat, Muammar Gaddafi dengan lantang menyatakan hasrat mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin Revolusi. Malah sanggup untuk 'mati syahid' dan mempertahankan Libya daripada dikuasai oleh kuasa luar.
Pihak-pihak yang anti-gaddafi memulakan demonstrasi dan rusuhan ke atas pemerintahan Gaddafi, malah terdapat juga tentera-tentera yang belot daripada Gaddafi. Mereka telah berjaya menawan beberapa bandar besar di Libya. Mereka juga bercita-cita untuk menawan Tripoli dan menjatuhkan Gaddafi. Pihak ini kemudian mengisytiharkan kerajaan baru, Republik Libya dan menyebabkan Wilayah Libya kini terpecah kepada dua. Republik Sosialis Libya yang pro-Gaddafi dan Republik Libya yang anti-Gaddafi.
Momentum yang dimiliki oleh anti-Gaddafi mula merosot apabila tentera Pro-Gaddafi mula bertindak. Satu demi satu kawasan milik pihak anti-Gaddafi diserang dan ada yang berjaya ditawan semula oleh Gaddafi. Sedang krisis berkecamuk inilah, pihak-pihak luar mula menentang kekerasan yang dilakukan oleh Muammar Gaddafi dan mendesaknya untuk menyerahkan kuasa. Beberapa buah negara telah mengisytiharkan Libya sebagai zon larangan terbang.
Pada 19 Mac 2011, tentera-tentera bersekutu telah menyerang Libya secara rasmi. Tindakan ini adalah sama seperti tindakan-tindakan sebelum ini, iaitu seperti serangan ke atas Afghanistan dan serangan ke atas Iraq. Walaupun dikatakan demi menegakkan keamanan, keamanan jenis apakah yang akan dikecapi di kawasan yang menjadi medan perang?
Pengajaran
Setiap yang berlaku pasti akan ada hikmah di sebaliknya. Ia mengajar kita sesuatu yang penting terutamanya, pasti akan ada pihak yang cuba untuk 'menangguk di air keruh', mengambil kesempatan ke atas sesuatu yang telah berlaku. Di tanah air kita sendiri, banyak pihak yang cuba menggangu gugat kestabilan negara dan cuba menganjurkan demonstrasi seperti di Tunisia dan Mesir tanpa memikirkan kesan disebaliknya.
Apa-apa pun, sejarah akan berulang kembali. Sama ada lambat atau cepat. Yang penting, kita mengambil pengajaran agar ianya tidak berulang kembali.
Sekian untuk masa ini,
Salam.
Isnin, 21 Mac 2011
CCS Episod 1 : Sakura dan Buku Ajaib Misteri
Kinomoto Sakura merupakan seorang pelajar darjah 4 di Sekolah Kebangsaan Tomoeda. Berusia 10 tahun, dia meminati matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Muzik, dan lemah dalam matapelajaran Matematik. Dia tinggal bersama dengan ayahnya, Fujitaka dan abangnya, Touya. Touya amat gemar menyakat Sakura tiap-tiap pagi.
Pada hari tersebut, Sakura menjalani kehidupannya seperti biasa. Bangun pagi, disakat abangnya, kemudian pergi sekolah bersama-sama dengan abang dan rakan abangnya, Yukito. Di sekolah pula, berjumpa dengan teman rapatnya Daidouji Tomoyo, seorang yang minat mengambil gambar dan video… bertemakan Sakura. Namun, segalanya berubah pagi itu apabila dia pulang ke rumah.
Sakura terdengar satu bunyi yang pelik di rumahnya dari bilik kerja ayahnya. Dia mula berasa cemas kerana kedua-dua ayah dan abangnya tiada di rumah pada ketika itu. Sedang dia mencari asal bunyi pelik itu, dia terjumpa dengan sebuah buku, yang kebetulan sama dengan buku yang keluar di mimpinya. Apabila dibuka, Sakura terjumpa dengan sekeping kad bernama ‘The Windy’ (Sang Pawana). Apabila Sakura menyebut nama ‘WINDY’, satu pusaran angin terhasil dan menerbangkan kesemua kad-kad lain ke seluruh Bandar Tomoeda.
Selepas itu, keluarnya satu makhluk aneh berupa seperti patung mainan bernama menggelarkan dirinya sebagai Keroberos. Dia bercakap dalam dialek Osaka kerana selama beberapa puluh tahun buku tersebut berada di Osaka. Keroberos memperkenalkan dirinya sebagai penjaga ‘Clow Card’. Dia kemudian terkejut dengan kehilangan kesemua kad-kad tersebut.
Dalam keadaan risau, Keroberos telah melantik Sakura sebagai Cardcaptor demi mengutip semula kad-kad Clow yang telah hilang. Tugas yang pada asalnya tidak dipersetujui oleh Sakura. Namun, dalam mereka bertengkar, muncul seekor burung besar di ruang udara Bandar Tomoeda. Terdesak dengan keadaan tersebut. Sakura memulakan tugasnya dan menangkap kad yang pertama, ‘The Fly’ (Sang Terbang).
Kad - Kad Dalam Episod 1
Clow Book (Buku Clow)
Ini adalah Buku Clow, tempat simpanan Kad-Kad yang dicipta oleh Clow Reed. Kitab ini dikunci sepanjang masa dan hanya boleh dibuka oleh mereka yang mempunyai potensi kuasa magis. Kinomoto Sakura berjaya membuka kunci kitab ini dengan potensi yang ada padanya.
The Windy (Sang Pawana)
The Windy adalah satu-satunya kad yang ada pada tangan Sakura dan tidak perlu ditangkapnya. Kuasa bagi Windy adalah menghasilkan kuasa angin. Kad ini mempunyai peribadi yang lemah lembut, oleh itu, kuasanya bukan kepada unsur serangan sebaliknya lebih tertumpu kepada unsur penangkapan dan pengurungan.
The Fly (Sang Terbang)
The Fly adalah kad pertama yang ditangkap oleh Sakura. Kad ini berupa seekor burung yang sangat besar. Sakura berjaya menangkap kad ini dengan bantuan Windy. Fly membolehkan penggunanya terbang bebas di udara.