Rabu, 23 Mac 2011

Libya ; Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Pasti ramai di antara kita semua sudah membaca dan menyaksikan berita-berita yang ditayangkan di media arus perdana akan krisis di Libya, sebuah negara yang berada di pesisir Laut Meditteranean. Krisis politik yang berlarutan di Libya dilihat umpama tiada kesudahannya. Kebangkitan rakyat menentang pemerintahan diktator, kedegilan Muammar Gaddafi untuk melepaskan jawatan, perang saudara yang tercetus di samping tindakan sesetengah pihak yang menangguk di air keruh mewarnai krisis di Libya.

Apakah sebenarnya yang telah melanda di negara yang kaya dengan sumber minyak ini? Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan musababnya. Artikel pada hari ini akan mengupas secara ringkas akan sejarah, pergolakan dan pengajaran yang boleh kita ambil dari krisis di Libya ini.


Sejarah Ringkas

Libya pada asalnya merupakan salah satu wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah. Selepas kejatuhan Khalifah Islam, Libya dijajah oleh Itali. Selepas Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua, Libya diserahkan kepada Pemerintahan Mandat British. Libya mencapai kemerdekaan pada 24 Disember 1951, dan diperintah oleh Raja Idris. Baginda merupakan Raja Libya yang pertama dan terakhir. Pemerintahan baginda berakhir setelah digulingkan pada 1 September 1969 dalam Revolusi Libya.

Photobucket
Raja Idris, Raja Libya yang pertama dan terakhir

Jadi siapakah yang bertanggungjawab memimpin Revolusi tersebut? Tak lain dan tak bukan adalah pemerintah Libya sekarang, iaitu Muammar Gaddafi yang pada ketika itu berusia 27 tahun. Maka terhapuslah sistem Pemerintahan Beraja di Libya dan bermulalah era Libya di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi dan Libya dinamakan sebagai Republik Sosialis Rakyat Libya.


Selepas 42 tahun

Photobucket
Muammar Gaddafi

Selepas berjayanya Revolusi Jasmin di Tunisia dan Demonstrasi di Mesir menggulingkan pemerintahan diktator masing-masing, ia sedikit sebanyak menyemarakkan api semangat juang pada masyarakat Libya untuk bangkit menentang pemerintahan Muammar Gaddafi. Tidak seperti mantan Presiden Tunisi, Zine El Abidin Ben Ali dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang mengundurkan diri selepas mendapat tentangan rakyat, Muammar Gaddafi dengan lantang menyatakan hasrat mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin Revolusi. Malah sanggup untuk 'mati syahid' dan mempertahankan Libya daripada dikuasai oleh kuasa luar.

Photobucket
Bendera Gaddafi

Photobucket
Bendera Republik Libya

Pihak-pihak yang anti-gaddafi memulakan demonstrasi dan rusuhan ke atas pemerintahan Gaddafi, malah terdapat juga tentera-tentera yang belot daripada Gaddafi. Mereka telah berjaya menawan beberapa bandar besar di Libya. Mereka juga bercita-cita untuk menawan Tripoli dan menjatuhkan Gaddafi. Pihak ini kemudian mengisytiharkan kerajaan baru, Republik Libya dan menyebabkan Wilayah Libya kini terpecah kepada dua. Republik Sosialis Libya yang pro-Gaddafi dan Republik Libya yang anti-Gaddafi.

Photobucket
Demonstrasi menentang pemerintahan Gaddafi

Momentum yang dimiliki oleh anti-Gaddafi mula merosot apabila tentera Pro-Gaddafi mula bertindak. Satu demi satu kawasan milik pihak anti-Gaddafi diserang dan ada yang berjaya ditawan semula oleh Gaddafi. Sedang krisis berkecamuk inilah, pihak-pihak luar mula menentang kekerasan yang dilakukan oleh Muammar Gaddafi dan mendesaknya untuk menyerahkan kuasa. Beberapa buah negara telah mengisytiharkan Libya sebagai zon larangan terbang.

Pada 19 Mac 2011, tentera-tentera bersekutu telah menyerang Libya secara rasmi. Tindakan ini adalah sama seperti tindakan-tindakan sebelum ini, iaitu seperti serangan ke atas Afghanistan dan serangan ke atas Iraq. Walaupun dikatakan demi menegakkan keamanan, keamanan jenis apakah yang akan dikecapi di kawasan yang menjadi medan perang?

Photobucket


Pengajaran

Setiap yang berlaku pasti akan ada hikmah di sebaliknya. Ia mengajar kita sesuatu yang penting terutamanya, pasti akan ada pihak yang cuba untuk 'menangguk di air keruh', mengambil kesempatan ke atas sesuatu yang telah berlaku. Di tanah air kita sendiri, banyak pihak yang cuba menggangu gugat kestabilan negara dan cuba menganjurkan demonstrasi seperti di Tunisia dan Mesir tanpa memikirkan kesan disebaliknya.

Apa-apa pun, sejarah akan berulang kembali. Sama ada lambat atau cepat. Yang penting, kita mengambil pengajaran agar ianya tidak berulang kembali.

Sekian untuk masa ini,
Salam.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails