Khamis, 19 Januari 2012

KDD (Episod 3)

“Datin?? Datin Ima??”

Satu suara yang dikenali oleh Datin Rahimah mengejutkan dari lamunannya. Rupa-rupanya dia mengelamun mengenangkan peristiwa malam tadi di butik miliknya pada tengah hari itu. Datin Rahimah melihat ke sebelahnya, dan Pembantu Peribadinya, Adriana sedang cuba untuk mendapatkan perhatiannya. Datin Rahimah menyedari yang peristiwa malam tadi masih ligat bermain-main di fikirannya.

“Datin Ima ok?” tanya Adriana kepada Datin Rahimah. Kerut-kerut jelas kelihatan di dahi Datin Rahimah yang sudah pun menjangkau umur lewat 40-an.

Cuba untuk melupakan apa yang sedang difikirkannya, Datin Rahimah pun menjawab, “Ya, saya ok. Cuma ada sedikit perkara peribadi mengganggu fikiran saya.”

“Ada apa-apa ke Ana?” Tanya Datin Rahimah untuk mengetahui jika ada perkara penting yang cuba disampaikan oleh Adriana.

“Datin Anastasia dah datang Datin. Datin ada temujanji dengan Datin Anastasia tengah hari ini.” Jelas Adriana mengingatkan jadual Datin Rahimah pada hari tersebut. Dan pada masa yang sama, Datin Ima mula teringat akan temujanjinya dengan Datin Anastasia yang mahukan khidmatnya untuk mereka baju pengantin anaknya tidak lama lagi.

"Owh yee, Datin Anastasia. Yang tu lagi satu masalah.” Kata Datin Rahimah secara tidak disedarinya.

“Datiiiinnn Imaaa~~~~~” satu suara bernada tinggi memecah kesunyian di butik Datin Ima tersebut. Datin Rahimah dan Adriana agak terperanjat dengan laungan tersebut yang secara jelas dikenali oleh mereka. Mereka berdua menoleh ke arah pintu butik. Mereka melihat susuk tubuh seorang wanita ramping dan bergaya memakai kebaya serba biru. Di tangan kirinya di sandangnya beg jenama birkin dan dipegangnya kipas cina. Sementara itu, rambutnya disanggul kemas dan dipakainya topi biru berbulu pelepah ibarat topi bangsawan wanita eropah.

“Datin Yaya. Lama tak berjumpa” kata Datin Rahimah menyambut kedatangan Datin Anastasia ibarat seorang rakan rapat kepada Datin Anastasia walaupun dia sendiri agak meluat dengan penampilan Datin Anastasia yang diketahuinya suka dengan cara “Over the top”.

“Yer la Datin Ima… oiii~~. Lama kita tak berjumpa kan? I dengar you dapat jemputan Putera Mahkota kan? Eee… untungnyer you..mesti best masuk Istana kan?” tegur Datin Anastasia lagi. Mereka pun berdakapan dan membuat air-kiss seperti kebiasaan.

Cuba untuk mendapatkan rentak semula, Datin Rahimah pun mula menyusun kata-katanya,

“Ya, betul tu Datin. I punya anak kan kawan pada Puteri Mahkota. Jadi I dapatlah jemputan. Sultan dah jemput, jadi I kenalah pergi.. haha..” kata Datin Ima kepada Datin Yaya.

“Bestlah you. Jadi you kenalah tolong I. you kan dah nampak perkahwinan diraja. Jadi I nak la buat tema yang sama dengan anak I tu.” Kata Datin Anastasia lagi. Kipasnya dibuka dan dikipas-kipas ke mukanya ibarat kepanasan walaupun di butik itu berhawa dingin.

“Owh ye, tentang perkahwinan anak you tu yer. I dah siapkan semuanya Datin.” Kata Datin Rahimah sambil duduk di kerusi yang dikhaskan untuk melayan tetamu. “Ana, tolong bawakan baju Datin yaya yer?” arah Datin Rahimah kepada Adriana. Sambil mengangguk, Adriana terus melaksanakan arahan daripada majikannya itu.

“Jemputlah duduk Datin Yaya”. Jemput Datin Rahimah kepada Datin Anastasia.

Datin Anastasia pada waktu itu duduk dengan gayanya sambil melihat ke arah Adriana berlalu pergi. Wanita awal 20-an itu segak bergaya pakaian terkini dengan lengkap dengan tudungnya.

“Pandai you cari pembantu Datin Ima.” Datin Anastasia mula bersuara. “Pembantu I tu langsung tak boleh harap. Melawa pandai, tapi kerja langsung tak pandai. Asyik nak melawan jer.” Sambungnya lagi.

Datin Rahimah sambil melihat ke arah Datin Anastasia lagi hanya mencebikkan bibirnya. Datin Ima hanya bersuara di hatinya. Mana-mana pembantu pun akan memberontak dengan perangai Datin Anastasia itu. Amat sukar untuk memuaskan hati Datin itu.

“Owh yer, kamu ada jumpa tak dengan Datin Ida?” tanya Datin Anastasia tiba-tiba.

“Da.. datin Ida?? Kenapa dengan dia? I takder jumpa dia pun.” Datin Rahimah yang terkejut dengan pertanyaan Datin Anastasia itu cuba berdalih. Seram bulu romanya apabila mendengar nama Datin Zubaidah disebut-sebut.

“Ini, I ada berita hangat ni. Anak dia baru balik lagi luar negeri. Alah, si Arief tu. Dia baru balik dari Yaman, ambil Pengajian Bahasa Arab. Dah kurus dia sekarang tau, kacak, segak dah dia.” Datin Anastasia memulakan ceritanya.

Datin Rahimah memang mengetahui akan sikap Datin Anastasia yang memang berminat dengan gossip walaupun kadang-kala gossip tersebut hanyalah benda-benda yang dia minat seperti jejaka-jejaka muda yang kacak-kacak ataupun duda-duda kaya.

“You ni semua kacak. Bangla tepi jalan pun you kata kacak.” Kata Datin Rahimah lagi yang memang agak masak dengan perangai Datin Anastasia.

“Ish, I cakap betul ni. Kalau tak dia tu jejaka di bawah lindungan kaabah, dah lama I jadikan dia anak ikan I tau. Hahaha…” kata Datin Anastasia lagi sambil ketawa terbahak-bahak.

Datin Rahimah hanya menggeleng-geleng kepala dengan perwatakan Datin Anastasia itu. Sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak ditegur perangai Datin Anastasia itu. Dan jika ditegur pun, dia sudah tahu apakah jawapan yang akan keluar dari mulut Datin Anastasia, ‘Ada aku kisah?’

“Datin, ini dia busana untuk perkahwinan anak Datin Yaya.” Adriana muncul tepat pada masanya dengan contoh pakaian gown pengantin perempuan berwarna putih. Ibarat tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, Datin Anastasia pun bangun sambil mendekati busana pengantin tersebut.

“Ooohh~~~ cantiknya Datin Ima. Pandai you pilih. Bolehlah I tunjuk pada semua yang anak I nanti pun bergaya macam Duchess of Cambridge tu~~. Haha.. Ahaks..” Reaksi gedik dari Datin Anastasia.

“Ya Datin Yaya. I tau sangat pilihan you.” Kata Datin Rahimah cuba untuk mengawal dirinya menerima ‘kegedikan’ Datin Anastasia di depan matanya itu.

“Macam ni Datin Ima, memandangkan You dah tolong I, makan tengah hari ini I belanja.. okay?” tawar Datin Anastasia dengan senyuman lebar sampai ke telinga. Datin Rahimah menerima pelawaan itu dengan hati separuh rela. Begitulah hari-hari yang ditempuhi Datin Rahimah, melayani kerenah pelanggan. Sambil dia melihat ke luar tingkap, suasana Bandaraya Johor Bahru mendung pada hari itu.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails