Selasa, 24 April 2012
Sejenak di Istana Negara Lama
Jumaat, 20 April 2012
Berkaitan dengan dakwah
Selamat datang semua
Di hari Jumaat ini, saya rasa ada perlunya untuk berkongsi satu perkara dengan anda semua yang sudi singgah di blog ini. Seperti tajuk di atas, apa yang saya nak luahkan di sini adalah berkaitan dengan dakwah. Sebagai orang Islam, dan juga sebagai umat Nabi Muhammad, kita ada tugas iaitu dakwah. Apa itu dakwah? Menyebarkan Islam dan juga mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Inilah tugas kenabian yang telah diwariskan kepada kita semua. Dan, pernah ada juga Jemaah Tabligh datang ke masjid tempat saya dan menyatakan bahawa, kita perlu berdakwah sepanjang masa, 24 jam. Jadi, bila kita hendak mengajak kepada kebaikan, mestilah dengan cara yang terpuji. Tapi bagaimana pula dengan "menipu untuk berdakwah"?
Ini yang dialami oleh seorang mahasiswa universiti (kita gelarkan si A..) apabila dia ditipu oleh kenalannya yang merupakan seorang pelajar matrikulasi (kita gelarkan si B..). Jadi apa perasaan anda jika ada orang berdakwah kepada anda, tetapi ianya dimulakan dengan penipuan? Mestilah anda meradang kan? Jadi, Si B ini mengetahui yang "matlamat tidak menghalalkan cara..". Tetapi mungkin sebab usianya yang muda, dengan mudah dia membalas "Nabi pun menipu untuk menewaskan musuh..".
Betulkan saya jika saya salah, tapi sepanjang saya belajar akan dakwah islamiah, belum pernah lagi ada ulama' yang saya jumpa mengajar yang kita dibolehkan menipu untuk berdakwah. Menipu adalah berdosa di sisi Islam. Namun, ada tiga situasi yang Islam membenarkan kita untuk menipu, dan itu adalah untuk :-
- Mendamaikan dua pihak yang sedang bertelagah
- Mendamaikan hubungan suami dan isteri
- Ketika Perang
Jadi, tiada satu pun menyatakan dakwah membolehkan kita untuk menipu. Mungkin Si B ini tersalah faham akan situasi yang membolehkan anda menipu. Sudah tentulah Si A naik berang. Umpamanya Si B menganggapkan dirinya sebagai musuh di masa perang! Secara total ia bukan dakwah.
Apa yang saya belajar akan dakwah, kita lakukannya dengan mengatakan yang benar, dengan sabar dan dengan hikmah. Sama juga akan yang kita dengan dalam surah Al-Asr, "Berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.."
Bila difikirkan semula, saya juga bersetuju akan hal ini, jika ada orang datang kepada saya dengan terus-terang bahawa dia mahu berdakwah, itu lebih saya sukai daripada seseorang yang datang untuk berdakwah, tetapi didahului dengan pembohongan...
Khamis, 19 April 2012
Ibarat Kaduk naik Junjung
Selamat datang semua
Apa khabar anda-anda semua. Semoga baik semuanya di hari Khamis yang berbahagia ini. Pada hari ini saya mahu kongsikan kepada anda semua akan satu peribahasa melayu yang berbunyi, "Ibarat Kaduk Naik Junjung". Seperti namanya, bila kita menyebut Kaduk, pasti anda semua akan teringat akan satu nama popular dalam hikayat melayu lama iaitu Pak Kaduk. Namun, Pak Kaduk adalah seorang yang lurus bendul, jadi apa kaitan dengan peribahasa melayu ini? Tiada kaitan pun sebenarnya, sebab Kaduk di sini bukanlah merujuk kepada Pak Kaduk tapi adalah sebuah pokok bernama Pokok Kaduk.
Pertama sekali, peribahasa di atas bermaksud :-
Orang hina yang dimuliakan atau mendapat keistimewaan sehingga dia lupa diri dan asal usulnya.
Apa kaitan pokok kaduk dengan lupa diri?
Saya yakin yang ramai antara kita tak tahu rupa bentuk Pokok Kaduk ni. Tapi sebenarnya, dia amat serupa dengan 'kembar'nya yang amat popular dalam masyarakat Melayu kita iaitu Pokok Sireh. Serupa tapi tak sama.. lebih kurang macam tu laa... Ini adalah rupa pokok Sireh..
dan beginilah rupa pokok Kaduk.
Perasan kan? Pokok Sireh adalah tumbuhan yang memanjat. Jadi, adalah menjadi kelaziman untuk memasang kayu pancang (junjung) supaya sirih boleh memanjat. Ini adalah sifat semulajadi sireh. Pokok Kaduk pula adalah jenis pokok yang tumbuh melata di atas tanah. Ia bukanlah jenis pokok yang memanjat dan lebih kecil daripada sireh, juga boleh hidup tanpa junjung. Tapi, jika diletak junjung di sebelahnya, ia akan menggunakan junjung tersebut. Selagi adanya junjung, selagi itu ia akan memanjat dan hidup meninggi, melupakan sifatnya yang sebenarnya tumbuh melata di atas tanah. Sehinggalah ke satu tahap, di mana junjung tersebut patah disebabkan batang pokok Kaduk yang semakin besar dan pokok tersebut rebah kerana tidak dapat menampung berat pokok tersebut.
Jadi, atas sebab pemerhatian orang dahulu terhadap pokok kaduk dan sireh inilah, munculnya peribahasa ini yang ditujukan kepada orang yang melupakan asal usulnya. Jadi, sentiasalah ingat asal usul kita walau betapa tinggi pun kita berada. ^^
Sekian untuk kali ini.
Selasa, 17 April 2012
Proton Preve
Selamat Datang semua
Semalam Proton telah pun melancarkan model terbaru keretanya iaitu Proton Preve. Ia dilancarkan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa The Mines, Seri Kembangan. Preve adalah dari perkataan Bahasa Inggeris yang membawa maksud "to proof". Apa yang hendak dibuktikan sebenarnya daripada model ini? Tak tahulah apa yang cuba untuk dibuktikan oleh Proton, mungkin nak membuktikan yang Proton boleh bersaing dengan syarikat gergasi daripada luar dalam menghasilkan kereta bermutu tinggi. Mungkin..
Untuk model Preve ini, ianya akan berada di pasaran dalam julat harga di antara RM62,000 hingga RM72,000. Tapi apa-apa pun, kita tengok perkembangannya bagaimana. Tahniah juga kepada Proton kerana telah sekali lagi menghasilkan model baru untuk keluarannya. (Dekat pusat pameran Proton dekat tempat kerja aku ni pun dah mula kelihatan model ni..)
P.S :: Hmm.. satu jer yang aku pelik, mana pergi model Tuah, Jebat, Kasturi... semua-semua tu yerk? Yang keluar semua model-model Bahasa Omputih. Huhu..
Isnin, 16 April 2012
Isu-isu semasa
Selamat Datang semua
Selamat hari isnin kepada anda-anda semua. Hari yang pastinya amat di'tunggu-tunggu' oleh mereka yang sudah bekerja. Masakan tidak, hari di mana kamu semua perlu keluar dari rumah untuk mencari rezeki. Jarang saya bincangkan akan isu-isu semasa di blog RBE, tapi memandangkan sekarang ini pun tiada benda yang menarik untuk dikongsikan, jadi apa salahnya jika kita bincang satu-dua isu kan? Sudah bersedia? Mari kita mulakan.
Isu pertama : Tarikh Pilihanraya
Ya.. siapa yang tidak suka akan tarikh pilihanraya. Ada terbaca satu artikel akhbar di mana Tun Dr Mahathir ada menyatakan yang masa sekarang juga adalah masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya. Selain daripada sekarang, bulan 6 dan 9 juga dikatakan antara masa yang sesuai untuk pilihanraya. Anda semua sudah pun mendaftar untuk menjadi pengundi? Jika sudah layak, jangan tunggu lama-lama. Mendaftarlah sekarang demi tanggungjawab sebagai warganegara. Jika tidak mendaftar, maka anda sebenarnya tidak layak untuk berbicara akan isu-isu negara yang akan saya huraikan di bawah ini.
Isu kedua : PTPTN
PTPTN ini sebenarnya isu yang lama dah. Sejak dari saya masuk universiti lagi, dan sekarang ini pun sedang dalam proses untuk membayar balik hutang belajar. Ramai orang mahukan PTPTN ini dimansuhkan atas alasan membebankan. Adakah ia membebankan? Mungkin lah ia membebankan. Tapi, jangan lupa wahai Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian, apakah yang anda lakukan dengan wang anda sebaik sahaja RM3,500.00 masuk ke akaun anda setiap awal semester? Beli buku? Wang Makan? Atau berjoli katak?
Ramai junior-junior saya di universiti dan tidak kurang juga rakan-rakan saya yang menggunakan wang tersebut untuk perkara sia-sia. Contohnya macam MLM, melabur saham dan benda-benda yang secara jelas tidak mendatangkan faedah. Seriously guys, did you actually gets the income from it? No, right?
Lagipun, kalau korang rasa PTPTN ni membebankan.. kenapa tak belajar rajin-rajin dan mohon biasiswa Petronas ke.. TNB ke.. takpun biasiswa JPA masa lepas SPM? Kenapa PTPTN juga dicari? kemudian bising-bising minta dimansuhkan? Tahukah anda 95% yuran pengajian anda di IPTA ditanggung oleh kerajaan? Nak minta percuma pula? Pelik la korang ni...
Isu Ketiga : Sifat Biadap ketika di Istana..
Ini lagi satu masalah, biadap ketika berada dalam majlis rasmi di ISTANA. Pertama sekali, bukan semua orang dapat peluang untuk duduk dalam majlis istana. Apatah lagi datang ke Istana. Hanya segelintir sahaja, contohnya macam wakil rakyat. Tapi kalau dalam majlis rasmi pun boleh buat perangai tak sepatutnya.. memang satu benda yang sia-sialah. Baik takyah datang kalau macam tu. Ganti ngan orang yang boleh menghormati majlis rasmi.
Seriously, aku nak tanya la.. kalau anak dia kahwin la katakan.. pastu antara jemputan tu wat kecoh ala-ala dia kat istana masa dalam majlis tu, agak-agak dia marah tak? Huhuhu.. Kemudian ada yang nafikan kata benda itu fitnah...
Ok, yang ni bukan kerana Barisan atau Pakatan. Saya bukan Penganalisa Politik macam Raja Petra Kamaruddin, saya Penulis Blogger Diraja. Jadi, kalau bab-bab politik.. korang nak bertengkar.. berperang sekalipun.. ada aku kisah? Tapi bila mempermainkan majlis diraja.. tak kisahlah Barisan atau Pakatan, saya memang tak setuju.
Sekian sahaja untuk kali ini.
Jumaat, 13 April 2012
Akaun Twitter
Selamat datang semua
Sekali kita bertemu di laman maya ini anda-anda semua. Bagaimana kehidupan anda di hari Jumaat ini? Bertambah baik diharapnya. Hari ini berblogwalking sekejap ke beberapa laman blog. Dah lama tak blogwalking, tapi rasa malas pula nak tinggalkan jejak. Tapi, waktu tengah berjalan-jalan tu terjumpalah satu benda yang menarik di tepi blog tersebut. Bukan 1,2 blog, tapi ramai dah ada. Layout Twitter!!
Tak tahan dengan dugaan tersebut, saya pun terus membuka akaun twitter dan tampal layout menarik itu di laman blog. Dan ini lah hasilnya. Comel kan? ^^
Dari dulu lagi sebenarnya dah rasa nak buka akaun Twitter. Twit~~ Twit~~ Tapi, masa tu tak rasa lagi signifikasinya. Masakah tidak, dah ada akaun facebook, dah ada akaun blogger, rasa macam bukan keperluan untuk ada twitter kan? Tapi rasanya elok juga kalau ada. Kurang-kurang boleh jadi platform untuk meluahkan perasaan atau status yang ringkas. Kalau di blog ini selalunya akan saya kongsikan sesuatu yang lebih panjang tak perlukan huraian.
Ok, itu sahaja untuk kali ini.
Khamis, 12 April 2012
Peristiwa Semalam
Selamat Datang semua
Apa khabar anda-anda semua? Harap semuanya baik-baik belaka. Tidak kira sama ada di Malaysia atau di luar negara, pastinya ceria-ceria selalu. Jika anda di Malaysia, pastinya anda ada melihat peristiwa bersejarah setiap 5 tahun sekali iaitu Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14. Apa yang lebih bersejarah, Yang di-Pertuan Agong kita yang ke-14 ini adalah yang pertama menjawat jawatan tersebut sebanyak 2 kali. Sebelum ini adalah pada 1970 - 1975. Pada ketika itu, Ketua Kerajaan Malaysia adalah Allahyarham Tun Abdul Razak, sementara sekarang ini dengan takdir Allah, jawatan tersebut dipegang oleh anakandanya, Datuk Seri Mohd Najib. Boleh dikatakan, di kalangan Raja-Raja Melayu yang bertahta sekarang ini, bagindalah yang paling berpengalaman. Sudah tentulah, sebab baginda telah naik tahta kerajaan Kedah semenjak tahun 1958 lagi. Lama kan?
Sanggup tu, demi melihat upacara pertabalan saya dah terlekat di hadapan kaca televisyen semenjak dari awal pagi lagi. Kemudian, di waktu petang.. saya keluar berjalan-jalan menikmati hari cuti umum. Dan di petang itu, semua aktiviti berjalan lancar tanpa ada sebarang musibah. Namun, tak sangka sesuatu yang tidak disangka berlaku.
Gempa bumi berskala Ritcher 8.7 magnitud telah melanda Acheh pada pukul 4.38 petang. Ia disusuli dengan hempa 8.5 magnitud pada 6.45 petang. Ia berlaku di perairan Acheh sedalam 33 km di dasar laut. Apa yang lebih dahsyat, walaupun tiada Tsunami yang melanda, amaran Tsunami telah dikeluarkan di lebih 27 negara termasuk Malaysia. Dan di beberapa tempat di Malaysia terutama di utara, gegaran boleh dirasai. Di Lembah Klang pun mereka kata ada, tapi di kawasan saya tiada. Berita ini sedikit sebanyak menenggelamkan berita gembira pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Apa-apa pun, semoga kita semuanya muhasabah diri kita masing-masing di atas bencana yang melanda.
Isnin, 9 April 2012
Aaron Aziz paling popular
Dan dengan slumber-nya Aaron Aziz telah menunjukkan Kad Pengenalannya kepada tatapan umum. Dan pastinya, jika seseorang itu memang sudah sikap mahu mencari kesilapan orang, pasti dia akan nampak saja keburukan orang.
Selepas isu kad pengenalan keluar, isu seterusnya yang menjadi persoalan (Cacian?) orang adalah kuku-nya. Kekadang memang tak faham apa yang tak dipuas-hatikan sangat dengan kuku Aaron Aziz. Kalau kuku dia cantik pun, mesti ada jer yang kutuk kan?
Apa-apa pun, dengan semua dugaan yang melanda.. semuanya berbalas dengan senyuman di pentas Anugerah Bintang Popular. ^^
Sabtu, 7 April 2012
AEON Jusco Station 18
Jumaat, 6 April 2012
Sistem Suria
Selamat datang semua
Segmen Info Menarik datang kembali menemui anda-anda semua. Setiap bulan, saya akan tulis 3 artikel info menarik dan mengikut tema untuk bulan tersebut. Untuk bulan April ini, tema info menarik ini adalah Angkasa Raya. Dan untuk artikel yang pertama ini, mari kita sama-sama mengenali akan ruangan angkasa yang paling hampir dengan bumi yang kita duduki ini iaitu sistem suria.
MATAHARI
Secara amnya, Matahari adalah sebuah bintang, dan merupakan bintang yang paling hampir dengan bumi. Suhu tinggi di pusat Matahari ini menyebabkan berlakunya tindakbalas nuklear fusion yang menukarkan zarah Hidrogen menjadi Helium dan tenaga. Tenaga ini lah yang sampai ke bumi dalam bentuk cahaya. Cahaya matahari ini amat penting untuk perkembangan hidupan di muka bumi. Saiz matahari yang besar dan tarikan gravitinya yang kuat mempengaruhi semua yang berada di sekelilingnya sejauh 1.5 tahun cahaya. 99% daripada jisim Sistem Suria berkumpul di matahari dan selebihnya membentuk planet-planet dan entiti lain yang mengelilingi Matahari.
PLANET - PLANET
Planet-planet ini terhasil daripada 1% zarah-zarah yang tidak membentuk Matahari. Terdapat 8 planet utama yang mengelilingi Matahari. Di dalam segmen ini, nama-nama planet adalah dalam Bahasa Melayu.
Utarid
Utarid adalah planet terkecil dan juga yang paling hampir dengan Matahari. Utarid mempunyai medan magnetik yang lemah dan juga atmosfera yang tipis dan hampir tiada. Bahan asas planet ini terdiri daripada Merkuri menjadikannya yang paling tumpat di antara planet-planet berbatu. Utarid tidak mempunyai satelit semulajadi. Mengambil masa 88 hari untuk membuat satu putaran lengkap mengelilingi Matahari.
Zuhrah / Kejora
Zuhrah / Kejora adalah planet kedua daripada Matahari. Dari segi saiz, planet ini hampir menyerupai bumi dan boleh dikatakan sebagai kembar kepada bumi, juga terdiri daripada bahan batuan yang sama. Planet ini mempunyai atmosfera yang tebal namun tiada medan magnetik. Planet ini merupakan planet paling panas di Sistem Suria, lebih panas daripada permukaan Utarid kerana atmosfera planet ini terdiri daripada 90% Karbon Dioksida yang memerangkap haba. Mengambil masa 224 hari mengelilingi Matahari. Satu-satunya planet yang Matahari terbit dari sebelah barat. Planet ini juga tiada satelit semulajadi.
Bumi
Bumi adalah planet ketiga daripada Matahari. Satu-satunya planet setakat ini yang diketahui mempunyai hidupan. Bumi mempunyai atmosfera tebal yang mengandungi Oksigen dan Nitrogen, iaitu bahan asas untuk menampung hidupan. Ia juga berada di suhu sesuai untuk Wap air berada dalam bentuk cecair. Mempunyai medan magnetik yang melindungi atmosferanya daripada hanyut ke angkasa, mempunyai lapisan ozon yang menapis sinaran radioaktif daripada matahari dan juga mempunyai satelit semulajadi yang cukup besar untuk mengekalkan kestabilan paksinya. Mengambil masa 365 hari untuk mengelilingi Matahari.
Marikh
Marikh adalah planet keempat jauh dari Matahari. Lebih besar sedikit daripada Utarid namun jauh lebih kecil berbanding bumi. Walaupun begitu, ia mempunyai ciri-ciri yang amat hampir seperti di bumi. Mempunyai musim dan kandungan atmosfera yang sama. Namun, medan magnetik dan graviti planet ini yang lemah menyebabkannya hanya mempunyai atmosfera yang nipis. Mengambil masa 668 hari untuk mengelilingi Matahari.
Musytari
Musytari merupakan planet kelima dan terbesar dalam Sistem Suria. Planet ini, berbeza dengan planet batuan kerana ianya tidak mempunyai permukaan dan sepenuhnya dalam keadaan gas. Kandungan utama planet ini adalah Hidrogen, sama seperti Matahari, namun tidak cukup besar untuk menghasilkan tindakbalas fusion untuk menghasilkan cahaya seperti Matahari. Saiznya yang besar menyebabkan planet ini mempunyai medan magnetik dan graviti yang kuat, membolehkannya menampung kehadiran satelit semulajadi yang amat banyak, sehingga 60 buah bulan. Medan magnetiknya cukup kuat, sekiranya ada hidupan menghampiri planet ini, mereka akan mati. Planet ini mempunyai Gegelang yang halus. Planet ini mempunyai sistem cuaca yang paling kompleks di Sistem Suria. Memerlukan 12 tahun untuk membuat satu putaran mengelilingi Matahari.
Zuhal
Zuhal adalah planet keenam dalam Sistem Suria. Ianya kecil sedikit daripada Musytari, namun mempunyai kekuatan medan magnetik dan graviti yang lebih kurang sama. Ia juga merupakan planet tercantik di sistem Suria, mempunyai sistem gegelang planet yang paling jelas di Sistem Suria. Gegelang ini terhasil disebabkan oleh putaran laju planet ini yang menghalang zarah-zarah tersebut bergumpal menjadi planet/bulan. Mempunyai sistem cuaca yang lebih kurang sama dengan Musytari. Planet ini memerlukan masa 29 tahun untuk mengelilingi Matahari.
Uranus
Uranus adalah planet ketujuh dalam Sistem Suria.Walaupun ianya Planet Gas sama seperti Musytari dan Zuhal, namun ianya dikategorikan sebagai Planet Ais Gergasi, kerana suhunya yang sejuk membolehkan semua zarah-zarah berada kekal dalam bentuk Ais. Ianya juga tidak mempunyai sebarang perubahan bentuk dari segi cuaca dan permukaanya amat tenang. Ianya juga mempunyai gegelang, namun, kedudukan planet ini amat pelik iaitu condong 90 darjah dari garis ufuk. Medan magnetnya juga condong 60 darjah dan tidak melalui teras planet tersebut. Planet ini memerlukan masa selama 84 tahun untuk mengelilingi Matahari.
Neptun / Waruna
Neptun atau Waruna adalah planet kelapan dalam Sistem Suria dan yang terakhir dari segi jumlah Planet Utama. Ia dikategorikan sebagai Planet Ais Gergasi, sama seperti Uranus dan kecil sedikit dari Uranus tetapi lebih tumpat. Berbeza daripada Uranus, cuaca di Neptun sangat ganas dan angin yang bertiup di planet ini adalah selaju 2,000 km/j merupakan yang paling kencang di sistem suria. Ia juga mempunyai gegelang planet sama seperti Musytari, Zuhal dan Uranus. Mengambil masa 164 tahun untuk mengelilingi Matahari.
GELANG ASTEROID
Gelang Asteroid merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan jumlah partikel-partikel seperti batu yang besar. Pada asalnya ia adalah bahan yang berpotensi untuk menjadi planet, namun dihalang kerana pengaruh medan graviti daripada Planet Musytari. Entiti terbesar di kawasan ini adalah Asteroid bernama Ceres (disebut sebagai Siris). Kawasan ini terletak di antara orbit Planet Marikh dan Planet Musytari.
LINGKARAN KUIPER
Sama seperti gelang asteroid, kawasan Lingkaran Kuiper ini dihuni oleh objek-objek besar namun tidak cukup dominan untuk dikategorikan sebagai planet, oleh itu ia digelar Planet Kerdil. Pluto termasuk di dalam kategori dan ahli di dalam lingkaran ini. Antara objek Seperti Pluto di kawasan ini adalah Sedna.
AWAN OORT
Di kawasan awan oort ini adalah objek di pinggir sistem suria, di kawasan sejauh 1.5 tahun cahaya daripada Matahari. Di kawasan ini dipenuhi dengan asteroid-asteroid dan komet-komet yang mengelilingi Matahari dalam bentuk sfera.
Khamis, 5 April 2012
BoBoiBoy Artwork
Selamat Datang semua
Apa khabar anda-anda semua di hari khamis ini? Sebenarnya hari ini terlewat bangun, jadi faham-fahamlah bila terlewat bangun. Kelam-kabut jadinya nak siapkan diri untuk pergi ke tempat kerja. Tapi bagus juga sempat sampai tepat pada masanya. Tadi sebelum mula kerja, sempat melayari laman web sekejap, dan terjumpa dengan artwork-artwork menarik untuk siri animasi BoBoiBoy. Memang terbaik!! Giler Cool!!
Ok, ini adalah di antaranya yang saya kongsikan untuk tatapan peminat-peminat Boboiboy sekalian. ^^
Okies, gambar ketika di sekolah..
Perlawanan menentang kejahatan.. hehe
Kuasa Baru..
Sumber-sumber gambar ini adalah daripada ryocutema.deviantart.com ^^