Jumaat, 6 April 2012

Sistem Suria

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Segmen Info Menarik datang kembali menemui anda-anda semua. Setiap bulan, saya akan tulis 3 artikel info menarik dan mengikut tema untuk bulan tersebut. Untuk bulan April ini, tema info menarik ini adalah Angkasa Raya. Dan untuk artikel yang pertama ini, mari kita sama-sama mengenali akan ruangan angkasa yang paling hampir dengan bumi yang kita duduki ini iaitu sistem suria.


MATAHARI


Secara amnya, Matahari adalah sebuah bintang, dan merupakan bintang yang paling hampir dengan bumi. Suhu tinggi di pusat Matahari ini menyebabkan berlakunya tindakbalas nuklear fusion yang menukarkan zarah Hidrogen menjadi Helium dan tenaga. Tenaga ini lah yang sampai ke bumi dalam bentuk cahaya. Cahaya matahari ini amat penting untuk perkembangan hidupan di muka bumi. Saiz matahari yang besar dan tarikan gravitinya yang kuat mempengaruhi semua yang berada di sekelilingnya sejauh 1.5 tahun cahaya. 99% daripada jisim Sistem Suria berkumpul di matahari dan selebihnya membentuk planet-planet dan entiti lain yang mengelilingi Matahari.


PLANET - PLANET

Planet-planet ini terhasil daripada 1% zarah-zarah yang tidak membentuk Matahari. Terdapat 8 planet utama yang mengelilingi Matahari. Di dalam segmen ini, nama-nama planet adalah dalam Bahasa Melayu.

Utarid


Utarid adalah planet terkecil dan juga yang paling hampir dengan Matahari. Utarid mempunyai medan magnetik yang lemah dan juga atmosfera yang tipis dan hampir tiada. Bahan asas planet ini terdiri daripada Merkuri menjadikannya yang paling tumpat di antara planet-planet berbatu. Utarid tidak mempunyai satelit semulajadi. Mengambil masa 88 hari untuk membuat satu putaran lengkap mengelilingi Matahari.

Zuhrah / Kejora


Zuhrah / Kejora adalah planet kedua daripada Matahari. Dari segi saiz, planet ini hampir menyerupai bumi dan boleh dikatakan sebagai kembar kepada bumi, juga terdiri daripada bahan batuan yang sama. Planet ini mempunyai atmosfera yang tebal namun tiada medan magnetik. Planet ini merupakan planet paling panas di Sistem Suria, lebih panas daripada permukaan Utarid kerana atmosfera planet ini terdiri daripada 90% Karbon Dioksida yang memerangkap haba. Mengambil masa 224 hari mengelilingi Matahari. Satu-satunya planet yang Matahari terbit dari sebelah barat. Planet ini juga tiada satelit semulajadi.

Bumi


Bumi adalah planet ketiga daripada Matahari. Satu-satunya planet setakat ini yang diketahui mempunyai hidupan. Bumi mempunyai atmosfera tebal yang mengandungi Oksigen dan Nitrogen, iaitu bahan asas untuk menampung hidupan. Ia juga berada di suhu sesuai untuk Wap air berada dalam bentuk cecair. Mempunyai medan magnetik yang melindungi atmosferanya daripada hanyut ke angkasa, mempunyai lapisan ozon yang menapis sinaran radioaktif daripada matahari dan juga mempunyai satelit semulajadi yang cukup besar untuk mengekalkan kestabilan paksinya. Mengambil masa 365 hari untuk mengelilingi Matahari.

Marikh


Marikh adalah planet keempat jauh dari Matahari. Lebih besar sedikit daripada Utarid namun jauh lebih kecil berbanding bumi. Walaupun begitu, ia mempunyai ciri-ciri yang amat hampir seperti di bumi. Mempunyai musim dan kandungan atmosfera yang sama. Namun, medan magnetik dan graviti planet ini yang lemah menyebabkannya hanya mempunyai atmosfera yang nipis. Mengambil masa 668 hari untuk mengelilingi Matahari.

Musytari


Musytari merupakan planet kelima dan terbesar dalam Sistem Suria. Planet ini, berbeza dengan planet batuan kerana ianya tidak mempunyai permukaan dan sepenuhnya dalam keadaan gas. Kandungan utama planet ini adalah Hidrogen, sama seperti Matahari, namun tidak cukup besar untuk menghasilkan tindakbalas fusion untuk menghasilkan cahaya seperti Matahari. Saiznya yang besar menyebabkan planet ini mempunyai medan magnetik dan graviti yang kuat, membolehkannya menampung kehadiran satelit semulajadi yang amat banyak, sehingga 60 buah bulan. Medan magnetiknya cukup kuat, sekiranya ada hidupan menghampiri planet ini, mereka akan mati. Planet ini mempunyai Gegelang yang halus. Planet ini mempunyai sistem cuaca yang paling kompleks di Sistem Suria. Memerlukan 12 tahun untuk membuat satu putaran mengelilingi Matahari.

Zuhal


Zuhal adalah planet keenam dalam Sistem Suria. Ianya kecil sedikit daripada Musytari, namun mempunyai kekuatan medan magnetik dan graviti yang lebih kurang sama. Ia juga merupakan planet tercantik di sistem Suria, mempunyai sistem gegelang planet yang paling jelas di Sistem Suria. Gegelang ini terhasil disebabkan oleh putaran laju planet ini yang menghalang zarah-zarah tersebut bergumpal menjadi planet/bulan. Mempunyai sistem cuaca yang lebih kurang sama dengan Musytari. Planet ini memerlukan masa 29 tahun untuk mengelilingi Matahari.

Uranus


Uranus adalah planet ketujuh dalam Sistem Suria.Walaupun ianya Planet Gas sama seperti Musytari dan Zuhal, namun ianya dikategorikan sebagai Planet Ais Gergasi, kerana suhunya yang sejuk membolehkan semua zarah-zarah berada kekal dalam bentuk Ais. Ianya juga tidak mempunyai sebarang perubahan bentuk dari segi cuaca dan permukaanya amat tenang. Ianya juga mempunyai gegelang, namun, kedudukan planet ini amat pelik iaitu condong 90 darjah dari garis ufuk. Medan magnetnya juga condong 60 darjah dan tidak melalui teras planet tersebut. Planet ini memerlukan masa selama 84 tahun untuk mengelilingi Matahari.

Neptun / Waruna


Neptun atau Waruna adalah planet kelapan dalam Sistem Suria dan yang terakhir dari segi jumlah Planet Utama. Ia dikategorikan sebagai Planet Ais Gergasi, sama seperti Uranus dan kecil sedikit dari Uranus tetapi lebih tumpat. Berbeza daripada Uranus, cuaca di Neptun sangat ganas dan angin yang bertiup di planet ini adalah selaju 2,000 km/j merupakan yang paling kencang di sistem suria. Ia juga mempunyai gegelang planet sama seperti Musytari, Zuhal dan Uranus. Mengambil masa 164 tahun untuk mengelilingi Matahari.


GELANG ASTEROID


Gelang Asteroid merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan jumlah partikel-partikel seperti batu yang besar. Pada asalnya ia adalah bahan yang berpotensi untuk menjadi planet, namun dihalang kerana pengaruh medan graviti daripada Planet Musytari. Entiti terbesar di kawasan ini adalah Asteroid bernama Ceres (disebut sebagai Siris). Kawasan ini terletak di antara orbit Planet Marikh dan Planet Musytari.


LINGKARAN KUIPER


Sama seperti gelang asteroid, kawasan Lingkaran Kuiper ini dihuni oleh objek-objek besar namun tidak cukup dominan untuk dikategorikan sebagai planet, oleh itu ia digelar Planet Kerdil. Pluto termasuk di dalam kategori dan ahli di dalam lingkaran ini. Antara objek Seperti Pluto di kawasan ini adalah Sedna.


AWAN OORT


Di kawasan awan oort ini adalah objek di pinggir sistem suria, di kawasan sejauh 1.5 tahun cahaya daripada Matahari. Di kawasan ini dipenuhi dengan asteroid-asteroid dan komet-komet yang mengelilingi Matahari dalam bentuk sfera.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails