Khamis, 16 Februari 2012

KDD (Episod 7)

Pagi itu, Sheila bangun awal tidak seperti kebiasaan. Selepas menyiapkan dirinya, dia turun ke tingkat bawah banglo mewah milik ayahnya, Datuk Suhaimi. Dicari-cari ibunya di seluruh rumah, namun tidak berjumpa. Dia berasa hairan kerana ibunya sepatutnya tidak ke butik pada hari Ahad. Ada sesuatu yang perlu dikatakan kepada ibunya sebelum dia pergi bertemu janji dengan Arief pada tengah harinya. Sheila sugul memikirkan kehilangan ibunya itu duduk di atas sofa di ruang tamu. Sambil dia memikirkan tentang ibunya itu, satu suara menegurnya dari belakang.

“Eh, awal bangun hari ini Ila?”

Sheila kemudian memandang ke belakangnya. Ayahnya berada di belakang set sofa yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. “Papa, jangan buat Ila terkejut boleh tak?” kata Sheila yang terkejut dengan pertanyaan ayahnya itu. Sambil ketawa kecil, Datuk Suhaimi pun membalas,

“Papa cuma pelik saja tengok kamu bangun awal hari ini. Ada apa-apa ke?” tanya Datuk Suhaimi.

Sheila kemudian menerangkan kepada ayahnya apakah yang dicarinya sejak tadi. “Mama mana papa? Ila ada benda nak bagitau pada mama. Tapi mama tiada pula.” Kata Sheila sambil bersandar di sofa mewah itu.

“Erm, biasalah hari-hari minggu awal bulan ni. Mama kamu tu pergi berpesatuan lah dia.” Balas Datuk Suhaimi lagi. Dia kemudian menuju ke arah sofa panjang dan duduk sambil membuka akhbar yang baru dibelinya. Dibelek-belek berita yang ada di akhbar tersebut.

“Persatuan??” Kata Sheila lagi dengan nada terkejut. Dia kemudian teringat akan Arief, sudah pastinya Arief juga tidak dapat melaksanakan perancangan yang dibincangkan mereka semalam.

“Kenapa kamu ini Ila?” tanya Datuk Suhaimi apabila melihat gelagat anaknya itu. Sheila tidak menjawab pertanyaan ayahnya itu sebaliknya terus mencapai telefon bimbitnya dan naik ke atas. Datuk Suhaimi pula hanya menggelengkan kepala melihatkan gelagat tidak keruan anak tunggalnya itu.

*****

“Datin Ima~~” Satu suara lantang memanggil nama Datin Rahimah menyambut kedatangannya di bangunan persatuan tersebut. Datin Rahimah melihat ke arah suara tersebut. Datin Anastasia datang kepadanya dengan pantas. Dia juga memakai baju kebaya rona hijau ditambah dengan topi hitam bangsawan di kepalanya. Datin Rahimah walaupun berat hatinya, menyambut Datin Anastasia.

“Oh, Datin Yaya. Apa khabar? Dari jauh saya dah nampak. Bergaya betul hari ini. Makin hari makin cantik.” Puji Datin Rahimah kepada Datin Anastasia. “Ala, Datin ni.. mana ada macam tu. Hehehehe~~” balas Datin Anastasia selepas mendengar pujian daripada Datin Rahimah.

Datin Rahimah amat memahami sifat Datin Anastasia yang pantang dipuji. Walaupun dia tidak sebulu dengan Datin Anastasia, namun dia sahaja sekutu rapatnya di persatuan tersebut. Pada masa itu juga Datin Rahimah terpandang kucing parsi milik Datin Anastasia yang dipegangnya.

“E’eh, cantiknya kucing parsi awak ni Datin Yaya. Warna putih. Gebu, montok lagi. Bersih pula tu. Pandai kamu jaga.” Tambah Datin Rahimah lagi.

Sekali lagi Datin Anastasia malu-malu kucing apabila dipuji lagi tinggi melambung oleh Datin Rahimah. “Oh, terima kasih Datin Ima. Awak pun apa kurangnya Datin, tengok kucing siam awak tu. Bergaya sungguh warnanya.” Kata Datin Anastasia kepada Datin Rahimah. Kucing Siam milik Datin Rahimah itu warnanya semakin terang dari sehari ke sehari.

Datin Rahimah dan Datin Anastasia antara 200 orang ahli persatuan percinta kucing. Kelab tersebut eksklusif kepada mereka yang berpangkat Datin dan tokoh-tokoh korporat. Tidak ramai yang tiada Datin berada di kelab tersebut walaupun mereka boleh diterima sebagai ahli jika mampu untuk membayar yuran tahunan.

“Sayang, I balik dulu ok?” suara seorang jejaka muda datang ke arah Datin Anastasia dan memegang bahunya dengan intim. Datin Anastasia pula tersenyum dan membalas kata-kata jejaka muda itu, “Okay darling. Jangan lupa ambil I petang nanti ok?”. Datin Rahimah pula hanya melihat gelagat Datin Anastasia dan anak muda itu. Pergaulan mereka ibarat sepasang kekasih walaupun lelaki muda itu sepatutnya tahu yang Datin Anastasia itu sudah mempunyai suami.

“Siapa itu?” Datin Rahimah pula cuba bertanya kepada Datin Anastasia. Datin Anastasia hanya tersenyum dan menjawab dengan bangga, “Itu Badrul.. baik dia tu. Dalam ramai-ramai, dia yang paling I suka. Apa saja I mintak, dia ikut. Hehehe~~” Datin Rahimah melihat gelagat Datin Anastasia dan melihat anak muda itu memandu kereta Estima Aeras milik Datin Anastasia pergi dari bangunan kelab itu. Tanpa diberitahu, Datin Rahimah tahu anak muda itu pasti antara anak-anak ikan yang ‘dibela’ oleh Datin Anastasia dan pastinya paling jinak, yang menurut segala kemahuan Datin Anastasia. Dia sungguh pelik, bagaimana anak muda seperti itu boleh sanggup melayan Datin Anastasia yang sudah mempunyai anak yang pastinya sebaya dengannya.

Sedang dia melayan kerenah Datin Anastasia di sebelahnya, dengan tiba-tiba matanya terpandang akan kelibat satu kereta Mercedes 7 series memasuki perkarangan bangunan kelab itu. Datin Rahimah serta-merta mengenali akan milik siapakah kereta itu.

“Datin Ida”. Dengan tidak sengaja nama musuh ketatnya itu keluar dari mulutnya.

Dan seperti bagai diduga, Datin Zubaidah keluar dari kereta diiringi dengan seorang lagi Datin di sebelahnya. Mereka berdua memakai jubah dan tudung labuh bewarna merah jambu. Penampilan mereka berdua itu menarik perhatian semua Datin-Datin yang ada berhampiran.

“Oh, Datin Paduka dah sampai.” Kata Datin Anastasia lagi.

Datin Rahimah cuba untuk menyembunyikan dirinya dari dilihat oleh Datin Zubaidah. Namun sebelum sempat dia berbuat apa-apa, Datin Zubaidah lebih pantas menyapanya. Nampaknya Datin Zubaidah memang sudah melihatnya dari jauh.

“Datin Ima, lama~~ kita tidak berjumpa ya?” Tanya Datin Zubaidah kepada Datin Rahimah ibarat mahu menyapanya.

“Ya.. tidak la juga lama. Kita dah jumpa di Istana Besar tidak lama dulu kan?” balas Datin Rahimah lagi. Cuba untuk senyum.

“Oh, kamu bawa kucing yang tak berapa Siam ini ya? Dah comel kucing ini sekarang.” Balas Datin Zubaida lagi.

Hati Datin Rahimah dengan tiba-tiba membara mendengarkan kata-kata sindiran Datin Zubaidah terhadap kucingnya itu. Dengan itu, Datin Rahimah pula cuba mencari jalan untuk menyindir Datin Zubaidah dengan keburukan kucingnya. Namun, dia tidak mempercayai apa yang dilihat di depan matanya.

“Scottish-Fold?” Perkataan pertama yang keluar daripada mulut Datin Rahimah apabila melihat kucing di dalam tangan Datin Zubaidah. Kucing ini sama seperti kucing biasa, namun mempunyai telinga yang terlipat ke dalam.

“Owh, kamu tahu nama kucing ini ya?” Tanya Datin Zubaidah lagi sambil tersenyum meleret.

“Err.. hehe.. yaa, Datin. Mahal kucing ini. Mana Datin dapat?” tanya Datin Rahimah ibarat tidak percaya yang Datin Zubaidah memiliki kucing tersebut.

“Alah, anak saya kan ada seorang belajar di Edinburgh. Dia yang bawa balik ini, katanya dia bela dari kecil.” Terang Datin Zubaidah sambil tersenyum ibarat menyindir.

Sedang Datin Zubaidah memasuki bangunan tersebut, semua Datin-Datin lain mengekorinya untuk melihat dengan lebih dekat kucing mahal tersebut. Ini kerana, Datin Zubaidah adalah orang pertama di kelab tersebut yang mempunyai kucing tersebut. Sambil menahan geram, Datin Rahimah berkata di dalam hatinya.

“Tiap-tiap kali aku hampir menang, mesti dia dapat kalahkan aku.”

Datin Rahimah kemudian masuk ke dalam bangunan kelab itu bersama dengan ahli-ahli yang lain.


bersambung..

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails