Isnin, 26 September 2011

Muda sebelum tua

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Baiklah, pernah ingat akan pesanan rebut lima perkara sebelum sampai lima perkara? Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang mengetahui, dan kepada mereka yang tidak mengetahui atau belum pernah mendengarnya, jangan malu untuk mempelajarinya. Di ruangan kali ini, saya cuma ingin berbicara akan salah satu daripadanya iaitu 'Rebut masa Muda sebelum sampai masa Tua'.

Photobucket

Apakah signifikasinya akan pesanan ini? Ia merujuk kepada masa muda kita, haruslah kita penuhinya dengan amal ibadah dan gunakan ia dengan sebaiknya. Kenapa? dalam hidup kita hanya di masa muda sahajalah masa yang paling optimum untuk kita melakukan ibadah. Tiada lagi masa yang lebih sesuai daripada ini. Bukan bermaksud ketika tua kita tidak boleh beribadah, tetapi ketika masa itu tiba, kita akan menyesali akan masa muda kita yang kita buang begitu sahaja. Kenapa? mari kita huraikan perkara ini lebih mendalam.

1. Apa yang kita lakukan ketika muda, menggambarkan diri kita ketika tua

Ini bukan kata-kata dusta semata-mata. Apa yang kita lakukan di masa muda, benda yang sama akan kita lakukan di masa tua. Kerana, apabila sudah tua, susah untuk kita berubah. Atau senang kata, susah untuk kita terima perubahan. Jika masa muda sudah asyik memikirkan duit, maka bila sudah tua, duit sahajalah yang akan keluar di fikirannya.

2. Muda zaman sihat, Tua zaman sakit.

Jika mahu berubah / bertaubat, lakukanlah di masa muda. Kenapa? bukan bermaksud bila sudah tua anda tidak boleh berubah, tetapi fikirkanlah. Bagaimana anda mahu beribadah apabila penyakit mula menyerang? Selepas umur 40 tahun, kita semua akan diserang pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, gout dan lain-lain lagi. Bagaimana anda nak beribadah ketika diserang gout? Apatah lagi kalau anda ketika itu baru nak belajar cara untuk solat.

3. Keseronokan

Beribadah ketika zaman muda menyeronokkan. Apabila anda sudah tua, susah untuk kita khusyuk beribadah kerana kesakitan yang dialami pada badan. Pernah lihat orang tua-tua bersolat? Kruukk.. kuk..kuk.. kraapp.. Tulang-tulang di badan mereka berbunyi-bunyi...

Photobucket

Kenapa tiba-tiba saya berbicara akan muda dan tua? Sebab akan situasi yang saya alami dalam kehidupan saya baru-baru ini. Pernah ingat 20 tahun lalu ketika kecil, selalunya di akhbar atau buku text akan berbicara suasana di kampung-kampung di mana orang muda semuanya berhijrah ke bandar, dan masjid-masjid di kampung hanya tinggal golongan tua? Namun sekarang ini, benda yang sama juga berlaku di bandar-bandar. Kebanyakan golongan muda ini telah pun dimamah usia, dan mereka semuanya sudah berumur.

Jadi, situasi yang sama berlaku di kampung 20 tahun dahulu telah berlaku di bandar pada hari ini. Jadi, apa yang saya perhatikan.. golongan berusia yang datang ke masjid adalah mereka yang semuanya di masa muda datang ke masjid. Mereka adalah muka-muka yang sama. Jarang ada yang pada masa muda tidak pergi ke masjid, menjenguk ke masjid apabila sudah tua. Tetapi, ini hanya pemerhatian saya sahaja. Tidak semuanya betul.

Apa-apa pun, rebutlah masa muda ini sekarang. Jangan bertangguh lagi.
Salam.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails