Memaparkan catatan dengan label Novel Internet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel Internet. Papar semua catatan

Khamis, 8 Mac 2012

KDD (Episod 10)

“Arief dengar atau tidak apa yang ibu katakan ni?!” bentak Datin Zubaidah sekali lagi kepada anak lelakinya itu. Sudah berkali-kali keputusannya itu diperkatakan kepada Arief, namun berkali-kali itu jugalah Arief mempertikaikan keputusan ibunya itu.

“Arief dengar ibu, tapi ibu… ibu cubalah dengar apa yang Arief nak katakan. Arief sayangkan Sheila, Arief mahu memperisterikan Sheila.” Kata Arief kepada ibunya itu. Walau apa yang berlaku, dia sudah membulatkan tekadnya untuk memperisterikan Sheila.

“Tidak! Ibu tidak akan setuju!” kata Datin Zubaidah sekali lagi. Datuk Zakaria pula sudah tidak larat untuk melayan kerenah anak dan isterinya itu. Dia sudah tersekat di antara dua orang yang disayanginya. Situasinya sekarang ibarat kata pepatah, Diluah mati mak, ditelan mati bapa. Dia hanya mendiamkan diri sahaja melihat siapakah di antara dua pihak itu yang akan mengalah dahulu. Dan di pihak yang menang itulah yang akan disokongnya.

Di dalam fikiran Arief, tidak terfikirkan lain melainkan supaya mahu memujuk ibunya untuk menerima Sheila. Bukan kerana darjat aku mahu melamar Sheila. Tidak! Tidak sama sekali kerana darjat. Dan bukan kerana kecantikan Sheila yang menyebabkan aku gila bayang. Tidak! Tidak sama sekali. Dia sahajalah wanita yang menerima diriku ketika di waktu diriku tidak dipandang walau dengan sebelah mata sekalipun oleh mana-mana gadis.

Siapa yang mahu berkasih dengan lelaki seberat 110 kg?

Sementara dalam fikiran Datin Zubaidah pula, tiada di dalam benak hatinya untuk mengecewakan Arief. Mana mungkin aku mahu menafikan jodoh pilihan anak bongsu ku dan juga satu-satunya anak lelakiku. Dialah permata dan dialah nyawaku. Tujuanku menolak Sheila bukan kerana keburukan Sheila. Tidak! Tidak sama sekali. Sheila, seorang perempuan moden namun pada masa yang sama baik budi pekerti dan juga selayaknya menjadi suri kepada sebuah keluarga bangsawan. Namun, aku tidak akan pastikan keluargaku bersatu dengan keluarga Datin Rahimah. Tidak! Tidak sama sekali. Bukan kerana keburukan kekasih anakku, tetapi adalah kerana maruah dan martabatku. Sekali-kali aku tidak akan menerima Datin Rahimah sebagai besanku.

Di waktu itu juga, Arief seolah-olah kepenatan dengan pertengkaran tersebut dan kelihatan mula mengalah. Apatah lagi wanita di hadapannya adalah ibu kandungnya sendiri. Dalam keadaan itu, Arief melihat ke arah bapanya. Lirikan mata bapanya seolah-olah cuba menyatakan yang dia memahami situasi anaknya itu. Dia cuba untuk mempertahankannya, namun tidak boleh melaksanakannya. Dia juga berkahwin dengan isterinya kerana pilihan keluarga.

Aku dan Zubaidah sudah kenal sejak kecil. Kami kawan baik antara satu sama lain, dalam keadaan keluarga kami susah dan senang, kami sentiasa bersama. Dia jiran yang baik dan kawan yang memahami. Ibarat sudah adik beradik, tiada dalam sangkaanku bahawa ibu bapa kami sudah merancang mahu menyatukan kami di suatu masa. Aku menerima bukan kerana aku cintakannya, tetapi kerana tiada wanita lain yang pernah mengunjungi hatiku. Dan aku mengaku bahawa, aku tidak tahu apa itu cinta.. dan sama ada aku sudah jatuh cinta. Tapi ibarat ada kesefahaman di antara aku dan isteriku. Namun, jika pada waktu itu, ada seorang wanita singgah di hatiku, adakah aku akan menerima isteriku? Jika aku berada di tempat anakku, siapakah yang perlu aku taat? Perasaanku? Atau Ibuku?

Dalam keadaan rumah riuh rendah itulah, satu suara kedengaran daripada arah tangga ke tingkat atas..

“Sudah, Jangan nak bertengkar ibarat anak kecil Zubaidah!.”

Datin Zubaidah melihat ke arah tangga, dan terkaku tidak mampu berbuat apa-apa. Ibu mertuanya berdiri di kaki tangga. Dia menuruni anak tangga sambil dibantu orang gajian mereka. Dia sebenarnya sudah tidak larat berdiri dan berjalan. Namun digagahnya juga apabila mendengar pergaduhan antara cucunya dan menantunya itu.

“Mak, kenapa mak turun? Mak tak sihat” Kata Datuk Zakaria sambil menyambut ibunya. Dia kemudian membantu ibunya duduk di sofa untuk seorang di ruang tamu tersebut. Kedudukannya jelas sebagai ketua dalam keluarga tersebut. Itulah dia Toh Puan Salbiah, isteri kepada allahyarham Tun Ilyas, Datuk Paduka Bagan ke-6.

“Riuh rendah macam pasar ini kamu mahu mak berehat?” kata Toh Puan Salbiah sambil merenung Datuk Zakaria, anak lelakinya itu yang mewarisi tanah bagan sebagai Datuk Paduka Bagan ke-7.

“Zubaidah, mak harap kamu ada alasan kukuh kenapa kamu tolak Sheila sebagai bakal menantu rumah ini” kata Toh Puan Salbiah dengan pandangan yang dingin kepada Datin Zubaidah, yang sekarang ini memegang gelaran Datin Paduka Bagan.

“Mak, budak Sheila itu tidak sesuai…” kata Datin Zubaidah separuh jalan sebelum dipotong dengan jawapan Toh Puan Salbiah.

“Mak dah jumpa dengan Sheila siang tadi. Arief dah bawa dia berjumpa dengan mak. Arief akan mak jodohkan dengan Sheila. Jangan cuba nak membantah.” Kata Toh Puan Salbiah dengan ringkas.

Datin Zubaidah sekali lagi terkaku di ruang tamu itu. Dia hanya ternganga mendengar kenyataan ibu mertuanya itu. Dia memandang ke arah Arief. Arief pula hanya tersenyum riang mendengar keputusan neneknya itu. Kemenangan sudah berada di pihaknya.


bersambung..

Khamis, 1 Mac 2012

KDD (Episod 9)

“'Mak tak setuju, walau apa pun yang terjadi mak tak setuju’.Itulah apa yang mak abang cakap masa abang katakan hasrat hati abang nak isterikan sayang.Kata Arief kepada Sheila, cuba untuk mengingati peristiwa yang berlaku pada malam sebelumnya. Dia kemudian menongkatkan dagunya di atas meja makan di gerai tersebut. Sheila pula hanya mengeluh panjang mendengarkan perjelasan tersebut.

“Haih, mama Ila pun macam itu juga abang.” Kata Sheila lagi.

Arief dan Sheila menyedari yang mereka berdua telah memilih masa yang salah dan di kesempatan yang salah untuk menerangkan hasrat hati mereka masing-masing akan jodoh pilihan mereka.

“Abang ingat lepas dipilih jadi Presiden Kelab, makin baiklah mereka berdua. Rupanya makin buruk” kata Arief. Sheila pula hanya mengangguk, dan kemudian menyambung, “Mesti ada sesuatu yang berlaku pada mereka yang kita tidak tahu abang.” Sheila cuba untuk bersangka baik pada ibu-ibu mereka walaupun dia memang tahu dan jelas yang kedua ibu mereka ibarat anjing dengan kucing. Tidak boleh berjumpa walaupun seketika.

“Macam mana ni abang? Kita tak boleh biar keadaan macam ini berterusan.” Tanya Sheila resah memikirkan akan masa depan perhubungan mereka.

“Tidak mengapa, abang ada pelan kedua.” Kata Arief dengan nada yang yakin.

“Pelan kedua? Apa yang abang nak buat ni?” Kata Sheila sambil dahinya berkerut. Dia agak ragu-ragu bagaimana Arief mahu menyelesaikan keadaan yang sudah pun sedia berserabut.

“Mari, ikut abang.” Kata Arief sambil menghabiskan minumannya sebelum bergerak ke arah keretanya. Sheila mengikut di belakang. Arief kemudian memandu laju kereta Honda miliknya ke arah yang tidak diketahui. Apa yang pasti, itu adalah jalan yang terakhir dan percubaan terakhir dalam perancangannya untuk mengahwini Sheila.

***

Pada masa yang sama, mesyuarat pertama di antara Datin Zubaidah dan Datin Rahimah sebagai Presiden dan Timbalan Presiden berlangsung di bangunan Kelab Datin Pencinta Kucing. Seperti mana kebiasaan, Presiden dan Timbalan Presiden yang dilantik akan memilih barisan ahli jawatankuasanya untuk membantu dan menguruskan aktiviti-aktiviti kelab yang akan dirancang pada masa akan datang.

“Entah macam mana boleh menang? Tipu undi agaknya” Datin Rahimah bersuara lantang. Datin Anastasia di sebelahnya juga mengangguk-angguk tanda setuju. Namun, dia belum cukup berani untuk bersuara dan berhadapan dengan Datin Zubaidah.

“Awak jangan nak buat pedajal di sini. Siapa yang tipu undi? Kalau tak silap, rasanya ada orang tu keluar beribu-ribu ringgit nak melobi diri sendiri yang tak berapa nak bagus tu jadi Presiden Kelab” Datin Zubaidah membalas kata-kata Datin Rahimah. Datin Nur Ain cuba untuk menenangkannya.

“Ah, sudahlah Datin Ida. Tak payah nak berdolak-dalik lagi. Memang Datin ada tipu undi. Sudah lah itu, anak Datin ada hati pula nak jadi menantu saya.” Datin Rahimah pula melontarkan kata-kata tajamnya kepada Datin Zubaidah.

Mendengarkan percakapan Datin Rahimah itu, dengan serta merta Datin Zubaidah teringat akan permintaan anaknya Arief akan niatnya untuk memperisterikan Sheila, anak kepada Datin Rahimah. “Anak kamu tu pun sama juga. Ada hati nak jadi menantu keluarga Datuk Paduka Bagan konon”

Mendengar kata-kata Datin Zubaidah itu, Datin Rahimah sudah tidak boleh untuk menahan sabarnya dan cuba untuk meluru ke arah Datin Zubaidah. Datin Zubaidah juga ibarat mahu membalas reaksi Datin Rahimah namun sempat ditenangkan oleh Datin Nur Ain dan Datin Anastasia.

“Sudahlah tu kamu berdua. Jangan campur adukkan soal persatuan dengan soal peribadi.Cuba jadi professional sikit.” Kata Datin Nur Ain yang cuba menahan Datin Zubaidah.

“Betul tu, kita ada banyak aktiviti yang perlu dirancang dan kucing-kucing yang perlu dijaga. Kalau Datin berdua asyik bergaduh, apa yang kita dapat.” Kata Datin Anastasia pula. Mereka berdua juga sebenarnya tidak serasi namun buat masa ini, mereka mengetahui pergaduhan antara Datin Zubaidah dan Datin Rahimah tidak akan membawa sebarang manfaat kepada mereka.

Mendengar kata-kata antara Datin Nur Ain dan Datin Anastasia, kedua-dua Datin Zubaidah dan Datin Rahimah mula menenangkan diri masing-masing. Memang benar tiada sebarang manfaat yang akan mereka terima dan mereka juga sedar, aktiviti persatuan ini perlu mereka asingkan daripada soal peribadi.

“Baiklah, saya tidak mahu buang masa lagi. Untuk mudahkan kerja, saya sebagai Presiden Persatuan melantik Datin Nur Ain sebagai Setiausaha Agung.” Kata Datin Zubaidah sambil memandang ke arah Datin Nur Ain. Sementara itu, Datin Rahimah juga memulakan langkahnya sebagai Timbalan Presiden, “Saya pula dengan kuasa yang ada pada saya melantik Datin Anastasia sebagai Bendahari Agung.”

Datin Zubaidah dan Datin Rahimah berpandangan sesama sendiri.

“Soal anak-anak pula macam mana?” kata Datin Rahimah dengan pandangan yang tajam kepada Datin Zubaidah.

Sambil membetulkan tudungnya, Datin Zubaidah menjawab ringkas.

We can kill each other after our business here is settle.”


bersambung..

Khamis, 23 Februari 2012

KDD (Episod 8)

Suasana di ibu pejabat Kelab Datin Peminat Kucing pada hari itu riuh-rendah tidak seperti kebiasaan. Pada hari itu, ruang legar kelab tersebut dipenuhi dengan Datin-Datin, Puan Seri-Puan Seri dan juga Pengurus Peribadi masing-masing. Suasana riuh-rendah tersebut adalah disebabkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan kelab tersebut yang diadakan pada minggu sebelumnya. Pada masa itu, satu pilihanraya diadakan untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli jawatankuasa yang baru. Pada minggu ini, keputusan pilihanraya itu akan diumumkan di hadapan 200 ahlinya. Apa yang menambah keasyikan mesyuarat agung ini adalah menyaksikan pengunduran Presiden kedua kelab tersebut, Datin Paduka Suhana yang meletakkan jawatan setelah memegang jawatan selama 5 tahun berturut-turut.

“Datin Ana, kami semua takkan lupa jasa Datin pada kelab ni..” Kata Datin Zubaidah kepada Datin Suhana. Perletakan jawatan tersebut memang amat memberikan kesan mendalam kepadanya.

“Ya, Datin. Kita sama-sama tubuhkan kelab ini dulu. Presiden pertama dah undur diri sebab nak ikut suami jadi Duta. Sekarang Datin pula. Sunyilah kami nanti.” Seorang lagi rakan Datin Zubaidah yang berada di sebelahnya bersuara kepada Datin Suhana.

“Ya, saya juga akan sunyi nanti. Mesti saya rindu pada kamu berdua, Datin Ida, Datin Ain” kata Datin Suhana kepada 2 rakannya itu. Datin Zubaidah dan Datin Nur Ain. Mereka adalah antara 5 pengasas kelab tersebut yang kini mempunyai lebih 200 orang ahli.

Sementara itu, di sebelah pihak yang lain, Datin Rahimah dan Datin Anastasia pula sibuk melayan rakan-rakan mereka yang lain. Mereka ini adalah kategori kumpulan B dalam kelab tersebut, iaitu ahli-ahli baru.

“Wah, mesti tahun ini Datin Ima dan Datin Yaya menang pemilihan kali ini.” Kata seorang daripada Datin-datin tersebut.

“Eh, mestilah. Kita dah banyak kempen untuk Datin Yaya dan Datin Ima. Mana boleh kalah kan?” kata salah seorang lagi.

“Hehe.. terima kasihlah ye.. kalau kami menang, dah tentu kami akan buat lagi banyak program untuk tambah biakkan kucing-kucing yang cantik-cantik ini. Ahak~~” Datin Anastasia yang memang pantang dipuji itu membalas kata-kata rakan-rakannya itu. Sementara itu Datin Rahimah pula hanya mendiamkan diri di sebelah. Memang dia inginkan untuk menang. Tapi dia sangat berharap agar orang di sampingnya adalah sekutu rapatnya, dan buat masa ini orang itu adalah Datin Anastasia.

“Ya, betul itu. Dah sampai masa kumpulan A berundur.” Kata seorang lagi Datin di situ.

Datin Rahimah hanya mengangguk-angguk kan apa yang didengarinya. Matanya pada waktu itu tajam memandang ke arah Datin Zubaidah. Datin Zubaidah adalah mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan A di kelab tersebut. Dan matanya masih melihat ke arah kucing Scottish Fold milik Datin Zubaidah. Hatinya masih geram bagaimana Datin Zubaidah boleh mendapat kucing semahal itu.

Sementara itu, sedar dirinya sedang diperhatikan, Datin Zubaidah pula tersenyum sinis sambil membelai-belai kucingnya yang sedang dipangkunya. Ia hanya menambahkan geram Datin Rahimah kepada Datin Zubaidah.

Sedang ahli-ahli persatuan itu berborak-borak. Satu pengumuman telah dibuat oleh Penolong Peribadi Datin Suhana untuk mengumumkan keputusan pilihanraya.

“Perhatian kepada Datin-Datin dan Puan Seri-Puan Seri, keputusan pilihanraya dan Mesyuarat Agung akan diumumkan sebentar lagi. Dijemput Yang Berbahagia Datin Paduka Suhana untuk naik ke atas pentas dan mengumumkan keputusannya.”

Semua yang hadir bertepuk tangan sebaik sahaja Datin Paduka Suhana naik ke atas pentas. Selepas menyampaikan ucapan ringkasnya, Datin Suhana pun membuka helaian keputusan Mesyuarat Agung untuk perlantikan Presiden dan Timbalan Presiden yang baru.

Kesemua Datin-Datin dan tetamu kehormat yang berada di situ berasa teruja dengan keadaan tersebut.

“Dengan ini diumumkan, Presiden dan Timbalan Presiden baru untuk kelab ini”
“DATIN ZUBAIDAH dan DATIN RAHIMAH”

Datin Zubaidah dan Datin Rahimah terpaku dengan kenyataan tersebut. Bukan sahaja mereka berdua, tetapi satu kelab terkesima dengan pengumuman tersebut. Datin Zubaidah dan Datin Rahimah memandang sesama sendiri.

“Apa???” Itu pula adalah reaksi Datin Anastasia dan Datin Nur Ain.


bersambung..

Khamis, 16 Februari 2012

KDD (Episod 7)

Pagi itu, Sheila bangun awal tidak seperti kebiasaan. Selepas menyiapkan dirinya, dia turun ke tingkat bawah banglo mewah milik ayahnya, Datuk Suhaimi. Dicari-cari ibunya di seluruh rumah, namun tidak berjumpa. Dia berasa hairan kerana ibunya sepatutnya tidak ke butik pada hari Ahad. Ada sesuatu yang perlu dikatakan kepada ibunya sebelum dia pergi bertemu janji dengan Arief pada tengah harinya. Sheila sugul memikirkan kehilangan ibunya itu duduk di atas sofa di ruang tamu. Sambil dia memikirkan tentang ibunya itu, satu suara menegurnya dari belakang.

“Eh, awal bangun hari ini Ila?”

Sheila kemudian memandang ke belakangnya. Ayahnya berada di belakang set sofa yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. “Papa, jangan buat Ila terkejut boleh tak?” kata Sheila yang terkejut dengan pertanyaan ayahnya itu. Sambil ketawa kecil, Datuk Suhaimi pun membalas,

“Papa cuma pelik saja tengok kamu bangun awal hari ini. Ada apa-apa ke?” tanya Datuk Suhaimi.

Sheila kemudian menerangkan kepada ayahnya apakah yang dicarinya sejak tadi. “Mama mana papa? Ila ada benda nak bagitau pada mama. Tapi mama tiada pula.” Kata Sheila sambil bersandar di sofa mewah itu.

“Erm, biasalah hari-hari minggu awal bulan ni. Mama kamu tu pergi berpesatuan lah dia.” Balas Datuk Suhaimi lagi. Dia kemudian menuju ke arah sofa panjang dan duduk sambil membuka akhbar yang baru dibelinya. Dibelek-belek berita yang ada di akhbar tersebut.

“Persatuan??” Kata Sheila lagi dengan nada terkejut. Dia kemudian teringat akan Arief, sudah pastinya Arief juga tidak dapat melaksanakan perancangan yang dibincangkan mereka semalam.

“Kenapa kamu ini Ila?” tanya Datuk Suhaimi apabila melihat gelagat anaknya itu. Sheila tidak menjawab pertanyaan ayahnya itu sebaliknya terus mencapai telefon bimbitnya dan naik ke atas. Datuk Suhaimi pula hanya menggelengkan kepala melihatkan gelagat tidak keruan anak tunggalnya itu.

*****

“Datin Ima~~” Satu suara lantang memanggil nama Datin Rahimah menyambut kedatangannya di bangunan persatuan tersebut. Datin Rahimah melihat ke arah suara tersebut. Datin Anastasia datang kepadanya dengan pantas. Dia juga memakai baju kebaya rona hijau ditambah dengan topi hitam bangsawan di kepalanya. Datin Rahimah walaupun berat hatinya, menyambut Datin Anastasia.

“Oh, Datin Yaya. Apa khabar? Dari jauh saya dah nampak. Bergaya betul hari ini. Makin hari makin cantik.” Puji Datin Rahimah kepada Datin Anastasia. “Ala, Datin ni.. mana ada macam tu. Hehehehe~~” balas Datin Anastasia selepas mendengar pujian daripada Datin Rahimah.

Datin Rahimah amat memahami sifat Datin Anastasia yang pantang dipuji. Walaupun dia tidak sebulu dengan Datin Anastasia, namun dia sahaja sekutu rapatnya di persatuan tersebut. Pada masa itu juga Datin Rahimah terpandang kucing parsi milik Datin Anastasia yang dipegangnya.

“E’eh, cantiknya kucing parsi awak ni Datin Yaya. Warna putih. Gebu, montok lagi. Bersih pula tu. Pandai kamu jaga.” Tambah Datin Rahimah lagi.

Sekali lagi Datin Anastasia malu-malu kucing apabila dipuji lagi tinggi melambung oleh Datin Rahimah. “Oh, terima kasih Datin Ima. Awak pun apa kurangnya Datin, tengok kucing siam awak tu. Bergaya sungguh warnanya.” Kata Datin Anastasia kepada Datin Rahimah. Kucing Siam milik Datin Rahimah itu warnanya semakin terang dari sehari ke sehari.

Datin Rahimah dan Datin Anastasia antara 200 orang ahli persatuan percinta kucing. Kelab tersebut eksklusif kepada mereka yang berpangkat Datin dan tokoh-tokoh korporat. Tidak ramai yang tiada Datin berada di kelab tersebut walaupun mereka boleh diterima sebagai ahli jika mampu untuk membayar yuran tahunan.

“Sayang, I balik dulu ok?” suara seorang jejaka muda datang ke arah Datin Anastasia dan memegang bahunya dengan intim. Datin Anastasia pula tersenyum dan membalas kata-kata jejaka muda itu, “Okay darling. Jangan lupa ambil I petang nanti ok?”. Datin Rahimah pula hanya melihat gelagat Datin Anastasia dan anak muda itu. Pergaulan mereka ibarat sepasang kekasih walaupun lelaki muda itu sepatutnya tahu yang Datin Anastasia itu sudah mempunyai suami.

“Siapa itu?” Datin Rahimah pula cuba bertanya kepada Datin Anastasia. Datin Anastasia hanya tersenyum dan menjawab dengan bangga, “Itu Badrul.. baik dia tu. Dalam ramai-ramai, dia yang paling I suka. Apa saja I mintak, dia ikut. Hehehe~~” Datin Rahimah melihat gelagat Datin Anastasia dan melihat anak muda itu memandu kereta Estima Aeras milik Datin Anastasia pergi dari bangunan kelab itu. Tanpa diberitahu, Datin Rahimah tahu anak muda itu pasti antara anak-anak ikan yang ‘dibela’ oleh Datin Anastasia dan pastinya paling jinak, yang menurut segala kemahuan Datin Anastasia. Dia sungguh pelik, bagaimana anak muda seperti itu boleh sanggup melayan Datin Anastasia yang sudah mempunyai anak yang pastinya sebaya dengannya.

Sedang dia melayan kerenah Datin Anastasia di sebelahnya, dengan tiba-tiba matanya terpandang akan kelibat satu kereta Mercedes 7 series memasuki perkarangan bangunan kelab itu. Datin Rahimah serta-merta mengenali akan milik siapakah kereta itu.

“Datin Ida”. Dengan tidak sengaja nama musuh ketatnya itu keluar dari mulutnya.

Dan seperti bagai diduga, Datin Zubaidah keluar dari kereta diiringi dengan seorang lagi Datin di sebelahnya. Mereka berdua memakai jubah dan tudung labuh bewarna merah jambu. Penampilan mereka berdua itu menarik perhatian semua Datin-Datin yang ada berhampiran.

“Oh, Datin Paduka dah sampai.” Kata Datin Anastasia lagi.

Datin Rahimah cuba untuk menyembunyikan dirinya dari dilihat oleh Datin Zubaidah. Namun sebelum sempat dia berbuat apa-apa, Datin Zubaidah lebih pantas menyapanya. Nampaknya Datin Zubaidah memang sudah melihatnya dari jauh.

“Datin Ima, lama~~ kita tidak berjumpa ya?” Tanya Datin Zubaidah kepada Datin Rahimah ibarat mahu menyapanya.

“Ya.. tidak la juga lama. Kita dah jumpa di Istana Besar tidak lama dulu kan?” balas Datin Rahimah lagi. Cuba untuk senyum.

“Oh, kamu bawa kucing yang tak berapa Siam ini ya? Dah comel kucing ini sekarang.” Balas Datin Zubaida lagi.

Hati Datin Rahimah dengan tiba-tiba membara mendengarkan kata-kata sindiran Datin Zubaidah terhadap kucingnya itu. Dengan itu, Datin Rahimah pula cuba mencari jalan untuk menyindir Datin Zubaidah dengan keburukan kucingnya. Namun, dia tidak mempercayai apa yang dilihat di depan matanya.

“Scottish-Fold?” Perkataan pertama yang keluar daripada mulut Datin Rahimah apabila melihat kucing di dalam tangan Datin Zubaidah. Kucing ini sama seperti kucing biasa, namun mempunyai telinga yang terlipat ke dalam.

“Owh, kamu tahu nama kucing ini ya?” Tanya Datin Zubaidah lagi sambil tersenyum meleret.

“Err.. hehe.. yaa, Datin. Mahal kucing ini. Mana Datin dapat?” tanya Datin Rahimah ibarat tidak percaya yang Datin Zubaidah memiliki kucing tersebut.

“Alah, anak saya kan ada seorang belajar di Edinburgh. Dia yang bawa balik ini, katanya dia bela dari kecil.” Terang Datin Zubaidah sambil tersenyum ibarat menyindir.

Sedang Datin Zubaidah memasuki bangunan tersebut, semua Datin-Datin lain mengekorinya untuk melihat dengan lebih dekat kucing mahal tersebut. Ini kerana, Datin Zubaidah adalah orang pertama di kelab tersebut yang mempunyai kucing tersebut. Sambil menahan geram, Datin Rahimah berkata di dalam hatinya.

“Tiap-tiap kali aku hampir menang, mesti dia dapat kalahkan aku.”

Datin Rahimah kemudian masuk ke dalam bangunan kelab itu bersama dengan ahli-ahli yang lain.


bersambung..

Khamis, 9 Februari 2012

KDD (Episod 6)

Sheila pada waktu itu hanya duduk berdiam diri di booth Tutty Fruity. Dia melihat ke jam tangannya, ia menunjukkan jam 3.30 pm. Sambil mencebikkan bibirnya, dia merungut sendirian di dalam hatinya, “Mana dia ni? Kata nak jumpa pukul 3?” Disuapkan sesudu ais-krim ke mulutnya, perisa kegemarannya iaitu blueberry sedikit sebanyak mengurangkan rasa marahnya kerana terpaksa menunggu lama. Tidak lama kemudian, satu susuk tubuh seorang lelaki yang dikenalinya muncul di hadapannya. Lelaki tampan itu kemudian menegurnya,

“Maaf, lama tunggu?” kata lelaki tersebut kepada Sheila. Sambil menghulurkan kemaafan, dia menarik kerusi di hadapan gadis itu dan mula duduk.

“Awak lambat. Mana awak pergi?” marah Sheila kepada lelaki tersebut.

“Maaflah sayang. Tadi ada traffic-jammed la.. jadi terpaksa lah saya ikut jalan jauh.” Kata lelaki itu lagi.

“Nak sayang-sayang pula. Sudahlah, Abg Ary. Alasan sama setiap kali lambat”. Kata Sheila sampil menunjukkan nada untuk merajuk.

“Ala.. saya kan dah minta maaf? Nah, ini untuk sayang. Abg Ary belanja tau.” Kata lelaki tersebut sambil menghulurkan ais-krim blueberry kegemarannya penuh dengan gummy-bear di atasnya.

Sheila melihat ke ais-krim tersebut. Lidahnya kelu apabila Abg Ary kesayangannya itu tahu yang dia lemah dengan godaan gummy-bear. Manisan lain tidak akan diendahkannya namun tidak pada jeli berbentuk beruang itu.

“Oklah, sebab Abg Ary belanja. Sayang maafkan.” Kata Sheila sambil menyudu ais-krim tersebut dan memasukkan ke mulutnya.

“Hmm.. asyik makan ais-krim saja. Kalau gemuk Abang tak tau.” Kata lelaki kacak itu kepada Sheila.

“Ala, masa Abang Ary gemuk dulu pun Ila sanggup keluar dengan Abang. Takkan kalau ila gemuk Abang nak tinggalkan Ila?” kata Sheila sambil membuka diari lama perhubungan mereka. Ramai rakan-rakannya terkejut dengan keputusan Sheila untuk berhubungan dengan ‘Abang Ary’ kerana pada waktu itu berat badannya telah pun mencecah lebih 100 kg.

“Tapi Abang dah kurus sekarang. Tengok, betapa hensemnya. Hehe” kata Ary lagi dengan nada bergurau.

“Yerla, Arief bin Datuk Zakaria. Kenala jaga badan kan kalau nak jaga kekasih sendiri.” Kata Sheila sambil melayan senda gurau dari Arief.

Arief bin Datuk Zakaria, itulah dia kekasihnya buat sekian lama. Semenjak dari sekolah lagi, mereka berdua telah rapat antara satu sama lain. Malah, pada asalnya, Sheila juga tidak tahu bagaimana mereka boleh bercinta di antara satu sama lain. Namun, apa yang pasti, mereka memang banyak perbezaan dan halangan yang memang tidak memungkinkan mereka untuk bersama. Namun itulah yang berlaku.

“Sayang, dah setahun kita declare kan?” kata Arief kepada Sheila dengan tiba-tiba.

“Ya Abang, dah setahun kita menyulam rasa kasih di antara satu sama lain~~” kata Sheila pula dengan kata-kata yang puitis.

“Hmm, abang tahu la kamu tu lulusan Pengajian Sastera Melayu. Bersastera la pula dekat sini” kata Arief sambil tersenyum dengan gelagat Sheila.

“Hehe.. saja jer taknak orang belajar arab tu lupa Bahasa Melayu” kata Sheila cuba mengusik Arief.

“Hehe.. alasan diterima.” Kata Arief sambil tersenyum. Kemudian dia menyambung lagi, “Abang nak bawa Sheila jumpa dengan keluarga abang.” Kata Arief lagi.

“Eh? Abang, jangan buat lawak abang.” Kata Sheila ibarat tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Betullah, apa tak bergurau tau. Sejak abang lamar Ila tahun lepas, abang dah serius dengan hubungan kita ini.” Kata Arief cuba meyakinkan Sheila. Selepas mendengar kata-kata Arief, Sheila yakin yang Arief sudah mempunyai perancangan untuk hubungan mereka. Namun, dia tetap ragu-ragu dengan keadaan tersebut apabila terfikirkan dengan halangan yang bakal menimpa.

“Abang tau kan hubungan keluarga kita tak berapa baik?” kata Sheila kepada Arief. Mengingatkan hubungan dingin antara kedua ibu mereka sahaja sudah cukup untuk meneka apakah reaksi mereka berdua.

Arief hanya berdiam diri apabila mengingatkan akan hubungan keluarga mereka berdua. Mempunyai ayah yang bersahabat baik antara satu sama lain, namun mempunyai ibu yang bermusuh antara satu sama lain. Kemudian, Arief memandang ke arah mata Sheila dan berkata, “Akan kita usahakan…”


bersambung..

Jumaat, 3 Februari 2012

KDD (Episod 5)

“Abang, macam mana dengan masakan saya malam ini?” tanya Datin Zubaidah kepada suaminya selepas menjamu selera.

“Sedap. Tapi abang pelik, kenapa tiba-tiba rajin masak pulak ni? Tanya Datuk Zakaria kepada isterinya. Sudah lama mereka berkahwin, Datuk Zakaria amat mengenali sikap isterinya yang kurang gemar untuk memasak. Kebanyakan hidangan makan malam disediakan oleh orang gajian mereka.

“Abang ni, bila saya tak masak abang bising. Bila saya masak abang tanya pula?” balas Datin Zubaidah lagi. Mukanya berkerut melihat ke arah suaminya yang bertanya akan kenapa dia memasak.

Pada masa yang sama, orang gajian mereka yang sedang mengemas meja makan memandang dengan pandangan yang aneh kepada Datin Zubaidah. Sikap Datin Zubaidah pada malam itu memang tidak seperti kebiasaan. Datuk Zakaria juga melihat suasana janggal di rumahnya malam itu, jadi untuk tidak menambahkan lagi suasana janggal itu, Datuk Zakaria mula bersuara akan perkara yang tiada kaitan dengan keganjilan di hadapan matanya itu.

“Ibu dah tidur?” tanya Datuk Zakaria kepada isterinya. Cuba untuk mengubah tajuk perbualan.

“Sudah abang. Awal-awal lagi ibu tidur. Mungkin penat” jawab Datin Zubaidah. Kemudian, dia menyambung lagi.

“Abang, saya dah fikir masak-masak tentang Arief. Memandangkan dia dah balik…” Walaupun Datin Zubaidah masih belum menghabiskan kata-katanya, namun Datuk Zakaria boleh menjangkakan apa yang ingin dikatakan oleh isterinya apabila nama Arief, anak bongsunya disebut-sebut.

“Agghhh.. ngantuknya abang. Abang nak naik rehat dulu yer?” Datuk Zakaria berpura-pura menguap sambil berdiri dan cuba untuk beredar dari meja makan mewah di rumahnya. Melihatkan gelagat Datuk Zakaria itu, Datin Zubaidah cepat-cepat cuba menahan suaminya daripada beredar terlalu cepat. Apa yang hendak dikatakannya itu perlu diberitahu secepat yang mungkin.

“Abang, jangan nak mengelak lagi. Abang tahu ini satu-satunya masa yang kita ada. Kita kena cari jodoh untuk Arief secepat yang mungkin!” kata Datin Zubaidah sambil memegang tangan suaminya sekuat dan semampunya.

Datuk Zakaria tergamam. Apa yang dirisaukannya itu betul menjadi kenyataan. Dia tidak memahami kenapa semua menantu keluarganya, turun-temurun ibarat mempunyai fikiran yang sama.

“Sayang, Arief tu baru balik daripada Yaman. Kerja pun tiada lagi. Tunggu la setahun dua lagi baru kita buat keputusan.” Kata Datuk Zakaria yang tidak bersetuju dengan tindakan isterinya itu. Dia duduk semula di kerusi meja makan itu.

“Abang, Arief tu satu-satunya anak lelaki kita. Lagipun dia akan jadi pewaris tanah dan gelaran bangsawan Datuk Paduka Bagan. Rezeki dah terjamin dah. Yang penting sekarang ini, kita dapat cucu secepat mungkin.” Balas Datin Zubaidah lagi. Kali ini nadanya suaranya walaupun tidak kuat, tapi terdapat elemen ketegasan daripada cara bertuturnya.

Sambil menongkat dahinya, Datuk Zakaria kemudian menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak sangka anak lelakinya itu akan menerima nasib seakannya. Dijodohkan dengan gadis pilihan keluarga.

“Awak ini, awak dah ada calon ke? Macam mana kalau Arief tidak berkenan?” Datuk Zakaria mula bersuara.

“Dia takkan lawan ibu bapanya sendiri. Kita dah didik dia baik-baik agar tidak melawan ibu bapa. Lagipun, kita kahwin pun ibu bapa kita yang rancang. Kekal sampai sekarang.” Balas Datin Zubaidah. Sekali lagi Datuk Zakaria tidak terkata apa-apa. Namun, dia tetap tidak mahu mengalah.

“Macam ni lah, Datin Zubaidah. Awak beritahu dulu pada anak awak tu. Baru kita jumpakan dia dengan bakal menantu awak.” Datuk Zakaria memberi kata putus kepada isterinya. Namun, dia masih lagi tidak berganjak akan keputusannya tidak bersetuju dengan rancangan isterinya itu. “Macam mana kalau Arief dah ada pilihan dia sendiri?” sambung Datuk Zakaria lagi.

Mendengar kata-kata suaminya, Datin Zubaidah terkesima. Dia tidak terfikir langsung akan kemungkinan itu. Ya, bagaimana kalau Arief sudah ada pilihan hatinya sendiri?


bersambung..

Khamis, 26 Januari 2012

KDD (Episod 4)

“Terima kasih banyak-banyak Datin. Budi baik Datin tak dapat kami balas.” Kata Makcik Aminah. Wanita tua itu tidak dapat menahan sebak akan jasa yang telah diberikan oleh Datin Zubaidah. Semenjak kematian suaminya 2 tahun lalu, dia hanya tinggal keseorangan di rumahnya di kampung Parit Lapis itu. Perkahwinannya tidak meninggalkan seorang pun waris. Maka, selepas kematian suaminya, punca pendapatannya terputus.

“Tidak ada apa-apalah nek, ini memang rezeki nenek.” Kata Datin Zubaidah sambil tersenyum.

Setiap bulan, Datin Zubaidah akan datang ke rumah Makcik Aminah untuk melihat keadaannya. Bagi Datin Zubaidah, itu adalah rutin kebiasaan baginya untuk melihat keadaan keseluruhan kampung yang merupakan tanah kurnia yang sekarang ini milik suaminya turun temurun.

“Kalau ada apa-apa lagi bagitau saya yer nek?” Tambah Datin Zubaidah lagi sambil meminta izin untuk mengundurkan diri. Makcik Aminah pada masa yang sama membalas salam daripada Datin Zubaidah dan melihat kereta mewah milik Datin Zubaidah beredar dari halaman rumahnya.

“Datin, nak saya terus hantar Datin ke rumah ke?” Tanya Sudin, pemandu kereta mewah peribadi milik Datin Zubaidah. Sambil memandang ke hadapan, Datin Zubaidah menjawab pertanyaan itu. “Ya Sudin, bawa saya balik ke rumah sahaja”. Kereta mewah itu meluncur laju di kawasan perkampungan itu. Parit-parit, kebun-kebun dan rumah-rumah di perkampungan itu adalah pemandangan biasa sejak puluhan tahun dahulu di kawasan perkampungan yang merupakan tanah kurnia oleh Sultan kepada keluarga Datuk Zakaria.

“Datin, maaf saya bertanya. Datin ada masalah ke?” tanya Sudin lagi. Dia risau melihatkan wajah isteri majikannya itu yang muram semenjak pulang daripada istana beberapa hari yang lalu.

Datin Zubaidah hanya mendiamkan diri dengan pertanyaan itu. Namun, dia merasakan sudah sampai masanya dia cuba mendapatkan kepastian akan persoalan yang lama dipendamkan olehnya itu. Sambil membetulkan tudungnya, Datin Zubaidah bersuara,

“Sudin, saya nak tanya. Kamu dah lama berkhidmat dengan Datuk kan? Mesti ke mana dia pergi, kawan-kawan Datuk.. semua kamu tahu kan?” tanya Datin Zubaidah kepada Sudin.

“Adalah beberapa perkara yang saya tahu betul Datin. Kenapa Datin tiba-tiba tanya soalan macam tu?” tanya Sudin kembali.

“Saya dah jumpa ramai kawan Datuk, tapi saya tak pernah nampak dia rapat dengan sesiapa sama seperti dia rapat dengan Datuk Suhaimi. Saya tahu mereka kawan dari kecil, tapi ramai kawan datuk dari kecil tapi takdelah sampai ke tahap Datuk Suhaimi.” Jelas Datin Zubaidah kepada Sudin. Cuba melepaskan segala persoalannya kepada Sudin untuk dijawab.

“Ada sebabnya Datin. Datuk Suhaimi tu dapat Datuk pun Datuk Zakaria yang tolong.” Balas Sudin singkat.

“Maksud kamu?” Tanya Datin Zubaidah lagi. Dia masih tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Sudin itu.

“Bisnes sarang burung walet milik Datuk Suhaimi tu, modalnya Datuk Zakaria lah yang banyak tolong. Dah maju macam ini, mestilah Datuk Suhaimi banyak terhutang budi.” Tambah Sudin.

“Hmm.. betul juga tu. Susah suami saya tu nak pinjamkan duit pada orang lain.” Kata Datin Zubaidah apabila memikirkan yang jawapan Sudin itu ada juga logiknya. Namun, apa kebaikan Suhaimi sehingga suaminya sanggup meminjamkan wang kepadanya.

“Datin masih lagi bergaduh dengan Datin Ima?” kata Sudin tiba-tiba.

Soalan cepu emas daripada Sudin itu menyentap kesedaran Datin Zubaidah yang sedang leka memikirkan hal Datuk Suhaimi. Kini persoalan akan isteri Datuk Suhaimi, Datin Rahimah pula muncul di fikirannya.

“Haih, malas saya nak fikirkan tentang betina garik tu.” Kata Datin Zubaidah sambil mulutnya di muncungkan sedikit ke hadapan.

“Dah 15 tahun Datin kenal dia. Rasa dah sampai masa Datin berdua berbaik”. Kata Sudin lagi sambil tersenyum melihat ke arah cermin pandang belakang kereta mewah itu.

Sementara itu, Datin Zubaidah hanya mendiamkan diri sahaja. Dia tahu perkara antara kedua-dua mereka itu perkara lama dan sudah sampai masanya mereka berdua berbaik. Tapi, ini bukan masalah boleh berbaik atau tidak. Ini masalah keserasian antara mereka berdua. Bagaimana hendak berbaik kalau masing-masing tidak serasi?

Sedang dia memikirkan akan peristiwa yang berlaku antara mereka berdua, kereta mewah itu telah pun masuk ke halaman rumah agamnya yang tersergam indah.


bersambung..

Kisah Datin - Datin (KDD)

Khamis, 19 Januari 2012

KDD (Episod 3)

“Datin?? Datin Ima??”

Satu suara yang dikenali oleh Datin Rahimah mengejutkan dari lamunannya. Rupa-rupanya dia mengelamun mengenangkan peristiwa malam tadi di butik miliknya pada tengah hari itu. Datin Rahimah melihat ke sebelahnya, dan Pembantu Peribadinya, Adriana sedang cuba untuk mendapatkan perhatiannya. Datin Rahimah menyedari yang peristiwa malam tadi masih ligat bermain-main di fikirannya.

“Datin Ima ok?” tanya Adriana kepada Datin Rahimah. Kerut-kerut jelas kelihatan di dahi Datin Rahimah yang sudah pun menjangkau umur lewat 40-an.

Cuba untuk melupakan apa yang sedang difikirkannya, Datin Rahimah pun menjawab, “Ya, saya ok. Cuma ada sedikit perkara peribadi mengganggu fikiran saya.”

“Ada apa-apa ke Ana?” Tanya Datin Rahimah untuk mengetahui jika ada perkara penting yang cuba disampaikan oleh Adriana.

“Datin Anastasia dah datang Datin. Datin ada temujanji dengan Datin Anastasia tengah hari ini.” Jelas Adriana mengingatkan jadual Datin Rahimah pada hari tersebut. Dan pada masa yang sama, Datin Ima mula teringat akan temujanjinya dengan Datin Anastasia yang mahukan khidmatnya untuk mereka baju pengantin anaknya tidak lama lagi.

"Owh yee, Datin Anastasia. Yang tu lagi satu masalah.” Kata Datin Rahimah secara tidak disedarinya.

“Datiiiinnn Imaaa~~~~~” satu suara bernada tinggi memecah kesunyian di butik Datin Ima tersebut. Datin Rahimah dan Adriana agak terperanjat dengan laungan tersebut yang secara jelas dikenali oleh mereka. Mereka berdua menoleh ke arah pintu butik. Mereka melihat susuk tubuh seorang wanita ramping dan bergaya memakai kebaya serba biru. Di tangan kirinya di sandangnya beg jenama birkin dan dipegangnya kipas cina. Sementara itu, rambutnya disanggul kemas dan dipakainya topi biru berbulu pelepah ibarat topi bangsawan wanita eropah.

“Datin Yaya. Lama tak berjumpa” kata Datin Rahimah menyambut kedatangan Datin Anastasia ibarat seorang rakan rapat kepada Datin Anastasia walaupun dia sendiri agak meluat dengan penampilan Datin Anastasia yang diketahuinya suka dengan cara “Over the top”.

“Yer la Datin Ima… oiii~~. Lama kita tak berjumpa kan? I dengar you dapat jemputan Putera Mahkota kan? Eee… untungnyer you..mesti best masuk Istana kan?” tegur Datin Anastasia lagi. Mereka pun berdakapan dan membuat air-kiss seperti kebiasaan.

Cuba untuk mendapatkan rentak semula, Datin Rahimah pun mula menyusun kata-katanya,

“Ya, betul tu Datin. I punya anak kan kawan pada Puteri Mahkota. Jadi I dapatlah jemputan. Sultan dah jemput, jadi I kenalah pergi.. haha..” kata Datin Ima kepada Datin Yaya.

“Bestlah you. Jadi you kenalah tolong I. you kan dah nampak perkahwinan diraja. Jadi I nak la buat tema yang sama dengan anak I tu.” Kata Datin Anastasia lagi. Kipasnya dibuka dan dikipas-kipas ke mukanya ibarat kepanasan walaupun di butik itu berhawa dingin.

“Owh ye, tentang perkahwinan anak you tu yer. I dah siapkan semuanya Datin.” Kata Datin Rahimah sambil duduk di kerusi yang dikhaskan untuk melayan tetamu. “Ana, tolong bawakan baju Datin yaya yer?” arah Datin Rahimah kepada Adriana. Sambil mengangguk, Adriana terus melaksanakan arahan daripada majikannya itu.

“Jemputlah duduk Datin Yaya”. Jemput Datin Rahimah kepada Datin Anastasia.

Datin Anastasia pada waktu itu duduk dengan gayanya sambil melihat ke arah Adriana berlalu pergi. Wanita awal 20-an itu segak bergaya pakaian terkini dengan lengkap dengan tudungnya.

“Pandai you cari pembantu Datin Ima.” Datin Anastasia mula bersuara. “Pembantu I tu langsung tak boleh harap. Melawa pandai, tapi kerja langsung tak pandai. Asyik nak melawan jer.” Sambungnya lagi.

Datin Rahimah sambil melihat ke arah Datin Anastasia lagi hanya mencebikkan bibirnya. Datin Ima hanya bersuara di hatinya. Mana-mana pembantu pun akan memberontak dengan perangai Datin Anastasia itu. Amat sukar untuk memuaskan hati Datin itu.

“Owh yer, kamu ada jumpa tak dengan Datin Ida?” tanya Datin Anastasia tiba-tiba.

“Da.. datin Ida?? Kenapa dengan dia? I takder jumpa dia pun.” Datin Rahimah yang terkejut dengan pertanyaan Datin Anastasia itu cuba berdalih. Seram bulu romanya apabila mendengar nama Datin Zubaidah disebut-sebut.

“Ini, I ada berita hangat ni. Anak dia baru balik lagi luar negeri. Alah, si Arief tu. Dia baru balik dari Yaman, ambil Pengajian Bahasa Arab. Dah kurus dia sekarang tau, kacak, segak dah dia.” Datin Anastasia memulakan ceritanya.

Datin Rahimah memang mengetahui akan sikap Datin Anastasia yang memang berminat dengan gossip walaupun kadang-kala gossip tersebut hanyalah benda-benda yang dia minat seperti jejaka-jejaka muda yang kacak-kacak ataupun duda-duda kaya.

“You ni semua kacak. Bangla tepi jalan pun you kata kacak.” Kata Datin Rahimah lagi yang memang agak masak dengan perangai Datin Anastasia.

“Ish, I cakap betul ni. Kalau tak dia tu jejaka di bawah lindungan kaabah, dah lama I jadikan dia anak ikan I tau. Hahaha…” kata Datin Anastasia lagi sambil ketawa terbahak-bahak.

Datin Rahimah hanya menggeleng-geleng kepala dengan perwatakan Datin Anastasia itu. Sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak ditegur perangai Datin Anastasia itu. Dan jika ditegur pun, dia sudah tahu apakah jawapan yang akan keluar dari mulut Datin Anastasia, ‘Ada aku kisah?’

“Datin, ini dia busana untuk perkahwinan anak Datin Yaya.” Adriana muncul tepat pada masanya dengan contoh pakaian gown pengantin perempuan berwarna putih. Ibarat tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, Datin Anastasia pun bangun sambil mendekati busana pengantin tersebut.

“Ooohh~~~ cantiknya Datin Ima. Pandai you pilih. Bolehlah I tunjuk pada semua yang anak I nanti pun bergaya macam Duchess of Cambridge tu~~. Haha.. Ahaks..” Reaksi gedik dari Datin Anastasia.

“Ya Datin Yaya. I tau sangat pilihan you.” Kata Datin Rahimah cuba untuk mengawal dirinya menerima ‘kegedikan’ Datin Anastasia di depan matanya itu.

“Macam ni Datin Ima, memandangkan You dah tolong I, makan tengah hari ini I belanja.. okay?” tawar Datin Anastasia dengan senyuman lebar sampai ke telinga. Datin Rahimah menerima pelawaan itu dengan hati separuh rela. Begitulah hari-hari yang ditempuhi Datin Rahimah, melayani kerenah pelanggan. Sambil dia melihat ke luar tingkap, suasana Bandaraya Johor Bahru mendung pada hari itu.


Khamis, 12 Januari 2012

KDD (Episod 2)

“Apa yang tak kena dengan awak ni, Ima?” tanya Datuk Suhaimi kepada isterinya.

“Apa maksud abang? Sayang tak lakukan apa-apa kesalahan pun.” Kata Datin Rahimah cuba membela dirinya. Dia tahu bahawa soalan suaminya itu adalah merujuk kepada sikapnya di Istana ketika majlis santapan di Balai Besar.

“Perangai sayang itu lah. Apa masalah sayang dengan Datin Ida tu?” tanya suaminya terus terang. Dahinya berkerut, jelas menunjukkan dia malas untuk berlapik-lapik lagi. Dia melipatkan surat khabarnya di meja teh dan duduk di kerusi sofa di kamar peraduan mereka.

Datin Rahimah yang baru sahaja lepas bersolek bangun dari meja solek dan menuju ke sofa berhadapan dengan suaminya. Sambil duduk, dia mula bersuara cuba membela diri.

“Abang, saya tiada apa-apa masalah dengan Datin tu.. Cuma dia tu saja yang tidak boleh terima saya. Betina garik tu memang…”

Namun, sebelum sempat Datin Rahimah menghabiskan ayatnya, Datuk Suhaimi berdehem memotong percakapan isterinya. Matanya tajam memerhatikan isterinya.

“Sayang tahu kan Datin Ida tu isteri kepada Datuk Zakaria? Kawan baik abang?” Soal Datuk Suhaimi dengan tegas kepada Datin Rahimah.

“Sayang tahu Abang, tapi..” Datin Rahimah cuba menjawab. Tapi sekali lagi percakapannya dipotong.

“Tapi, sayang rasa Datin Ida tu perempuan jahat?” tanya Datuk Suhaimi sekali lagi.

“Tidak Abang, tapi..” Dan sekali lagi jawapan yang cuba diberikan oleh Datin Rahimah dipotong oleh Datuk Suhaimi.

“Tapi, sayang rasa nak berbaik dengan Datin Ida pun sayang tidak boleh?” sekali lagi Datuk Suhaimi bertanya buat kali yang ketiga.

“Mestilah boleh abang, tapi…” dan buat kali yang ketiga jawapan Datin Rahimah dipotong lagi.

“Sudah, abang taknak dengan tapi-tapi lagi. Abang tak mahu nampak lagi Ima dengan Datin Ida bertengkar macam budak-budak seperti tadi.” Jawab Datuk Suhaimi dengan tegas sambil bangun dan menuju ke arah katil untuk merebahkan dirinya.

Datin Rahimah hanya memandang dengan dingin sahaja sikap suaminya itu. Dia juga terfikir buat kesekalian kalinya bagaimanakah untuknya berbaik-baik dengan Datin Zubaidah. Bukan dia tidak pernah untuk cuba berbaik dengan Datin Zubaidah. Namun, mereka berdua ibarat api dengan minyak. Tidak boleh berjumpa apatah lagi duduk bersama. Tiada lain yang akan menimpa melainkan pergaduhan antara mereka berdua dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara.

Dalam waktu Datin Rahimah keresahan akibat ketidaksefahaman akan perkara Datin Zubaidah, kucing Siam kesayangan Datin Rahimah datang dan memanjakan dirinya di kakinya. Datin Rahimah sambil tersenyum mengangkat kucingnya dan meletakkan di ribanya. “Meow~~” kucingnya mengeow berulang-ulang kali apabila tangan Datin Rahimah membelainya. Melihatkan gelagat kucingnya itu, Datin Rahimah teringat akan kata-kata Datin Zubaidah.

“Macam mana Datin Ida tahu yang kucing ni asal Malaysia? Aku tak pernah beritahu sesiapa tentang ni..” katanya dalam hati.


bersambung...

Khamis, 5 Januari 2012

KDD (Episod 1)

Perkahwinan Putera Mahkota dengan gadis pilihan hatinya menjadi topik hangat buat beberapa ketika. Seluruh negeri gamat dengan gossip-gosip daripada istana, dan media massa dan elektronik pula memaparkan segalanya akan perkahwinan tersebut daripada saat perkenalan mereka sehinggalah ke perkahwinan mereka yang dianggap sebagai Perkahwinan Abad Ini. Ramai keluarga bangsawan negeri dijemput ke perkahwinan tersebut. Di saat itu, kedua-dua mempelai, Putera Mahkota dan pasangannya, bakal Puteri Mahkota amat secocok dan sepadan di antara satu sama lain. Di dalam majlis itu, pihak istana mengumumkan bahawa isteri kepada Putera Mahkota akan dimasyhurkan sebagai Puteri Mahkota dalam majlis berasingan di hari ulang tahun pertama perkahwinan mereka. Ia merupakan hari paling bahagia bagi Sultan dan Sultanah bersama-sama dengan kerabat diraja yang lain.

Di samping itu juga, ini juga lah masa bagi keluarga-keluarga bangsawan berjumpa di antara satu sama lain. Di antara kenamaan di situ adalah sahabat karib semenjak kecil, Datuk Zakaria bin Tun Mohd Ilyas dan Datuk Suhaimi bin Abd Rahman. Kerana kesibukan kerja, mereka semakin lama semakin kurang meluangkan masa bersama. Maka, peluang seperti ini sangat bermakna buat mereka.

“Tak sangka kamu juga dijemput ke majlis ini Suhaimi.” Kata Datuk Zakaria kepada Datuk Suhaimi.

“Itulah, dunia ini kecil sahaja. Isteri Putera Mahkota tu rupanya rakan pada anak aku.” Kata Datuk Suhaimi pula, sambil diiringi ketawa kecil oleh mereka berdua.

“Cakap pasal kahwin, bila pula kau nak kahwinkan Shiela tu, dah besar panjang dah.” Datuk Zakaria bertanya kepada Datuk Suhaimi apabila teringatkan Shiela yang dia sudah lama tidak jumpa.

“Nantilah dulu. Budak-budak zaman sekarang mana boleh paksa kahwin.” Tambah Datuk Suhaimi apabila ditanya mengenai jodoh anaknya.

“Alah, zaman kita dulu ok jer. Mak Bapak carikan. Kekal pun sampai sekarang.” Jawab Datuk Zakaria berseloroh sambil diikuti dengan gelak ketawa mereka berdua.

“Ari, aku rasa sekarang bukan anak-anak yang kita patut fikir.” Kata Suhaimi sambil melihat ke kirinya.

Melihat tindakan rakannya itu, Datuk Zakaria pun melihat ke kanannya. Dan, daripada pandangannya itu dia terus boleh menangkap apa yang cuba disampaikan oleh rakannya itu.

“Alah, Datin.. setakat jam tangan macam itu, I pun boleh beli lah. Apa U ingat I tak mampu ke? Jam tangan ada berlian tu I tak heranlah. I boleh pergi London cari 10 bawa balik Malaysia ini.” Suara Datin Rahimah yang sayup-sayup boleh didengari oleh suaminya tidak jauh dari situ. Sambil memeluk tubuh, dia membuat gaya untuk menyakiti hati Datin Zubaidah di sebelahnya.

“Alah.. U memang macam tu Datin Ima ooi. Nak cakap bawak balik 10 konon. Satu pun tak mampu nak beli. Tiap-tiap hari ghalit melayan kucing siam U yang tak berapa nak Siam tu.” Sindir Datin Zubaidah cuba membalas dendam terhadap sindiran Datin Rahimah.

“Amboi, mulut takder insuran ke? Kucing Siam I tu, I beli di Thailand okay?” kata Datin Rahimah lagi apabila kucing siam kesayangannya mula masuk dalam subjek pergaduhan.

“Eleh, U ingat I tak tau? Kucing tu lahir kat Malaysia, pastu dijual ke Thailand, pastu U pergi Phuket import balik kucing tu balik Malaysia. Thailand SANGAT~~”Datin Zubaidah yang memang mempunyai bakat bercakap lepas berjaya mendapat punch line-nya.

Sedang pergaduhan itu berterusan, kedua-dua orang gajian Datin-Datin itu cuba untuk melayan kerenah puan-puan mereka. Sementara itu dari jauh, Datuk Zakaria dan Datuk Suhaimi hanya memerhatikan sahaja gelagat kedua-dua isteri mereka bergaduh. “Macam mana diorang boleh jadi macam ni?” Fikir mereka berdua di dalam hati. Kalau di Istana Besar mereka masih bergaduh begitu, bagaimana agaknya bila mereka di luar?


Bersambung..

Kisah Datin-Datin (KDD)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang semua

Photobucket

Jadi seperti yang dijanjikan sebelum ini, saya sudah menyediakan satu projek novel internet untuk dimuatkan ke blog ini untuk tatapan pembaca-pembaca semua bermula minggu ini. Projek ini adalah salah satu daripada dua novel yang saya tulis untuk memenuhi azam tahun Maal Hijrah 1433.

Senarai Episod :-


Perhatian :-

Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena antara yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan nama tempat dan watak dengan dunia sebenar, itu adalah kebetulan sahaja.

Khamis, 4 November 2010

KESATRIA (ep. 4)

Buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa minggu, Azuan dapat melelapkan matanya dengan aman. Sudah beberapa hari dia tidak dapat melelapkan mata. Dalam undang-undang darurat Andalusia, sebaik sahaja pengisytiharan darurat, segala urusan pentadbiran adalah jatuh ke tangan kesemua Kesatria Maharaja. Dan pada masa ini, Andalusia hanya mempunyai 4 orang sahaja Kesatria Maharaja. Azzuan selaku Ketua Kesatria Maharaja, memegang tugas yang amat berat iaitu sebagai Pentadbir Andalusia sehingga Andalusia dalam keadaan sepenuhnya aman.

Pada pagi itu, dia menikmati sarapan paginya dengan aman. Walaupun Andalusia masih lagi dalam keadaan peperangan, suasana ibu kota tenang dan damai sebaik sahaja berita mengenai kepulangan Hakim. Penat lelahnya akan tamat sebaik sahaja Maharaja Andalusia yang baru dimahkotakan.

Sedang Azzuan leka menikmati sarapannya, pintu biliknya diketuk tiba-tiba,

“Siapa itu?” Sahut Azzuan membalas ketukan pintu tersebut.

“Saya Pegawai Istana datang untuk melaporkan diri tuan.” Jawab petugas Istana tersebut kepada persoalan Azzuan.

Azzuan memahami kedatangan pegawai tersebut adalah atas urusan Kerabat Maharaja.

“Ada apa pegawai?” Tanya Azzuan kepada petugas tersebut.

Sambil menyediakan laporannya, petugas istana tersebut menjawab pertanyaan Azzuan.

“Tujuan saya ke sini adalah untuk melaporkan situasi Istana Andalusia sekarang. Segala persiapan di Istana Alhambra sudah berjalan dengan lancar tuan.” Lapor petugas tersebut.

Azzuan tersenyum dengan laporan tersebut. Tiada apa yang diharapkannya selain mengharapkan beban yang ditanggungnya tamat dengan segera. Namun, senyumannya hanya sebentar sahaja.

“Tapi tuan, kami ada masalah lain.” Petugas tersebut menyambung lagi laporannya.

Azzuan mula terkejut. Baginya, segala halangan dan aral yang melintang hanya akan membawa masalah kepadanya.

“Apa lagi?” Kata Azzuan dengan perasaan ingin tahu yang meluap-luap.

“Tuan Hakim tidak mahu jejakkan kaki baginda ke Kota Alhambra. Kami tidak dapat mulakan apa-apa jika baginda masih lagi enggan.” Lapor Petugas Istana tersebut. Agak berat baginya untuk melaporkan berita tersebut, namun demi amanah kepada tugasnya, diteruskannya jua.

“Apa?!” Azzuan terkejut dengan laporan tersebut. Namun, Azzuan masih lagi mampu mengawal perasaannya dan masih lagi mengambil keputusan dengan cara yang waras.

“Tentang Hakim tidak perlu disusahkan. Saya ada. Saya sendiri akan pastikan yang Hakim tetap akan masuk juga ke Alhambra untuk permahkotaannya.” Kata Azzuan dengan yakin. Ini adalah kerana, dia dan Syakir sudah tahu cara yang paling sesuai untuk memujuknya untuk dimahkotakan sebagai Maharaja.

“Dan, saya harap Tuan tak lupa tentang Maharani Aishah….”

Azzuan terus tersentak apabila petugas tersebut menyebut nama Maharani Aisyah. Dia sebenarnya sudah terlupa akan kewujudan Maharani Aishah. Dia mula teringat akan hubungan dingin antara Hakim dan Maharani Aishah.

“Aduh.. satu masalah lagi… Apa aku nak buat ni?” Keluh Azzuan.

Azzuan mula memahami akan sebab sebenar Hakim enggan kembali ke ibu kota. Segala peristiwa yang berkait di antara Hakim dan Maharani Aishah bermain-main dengan jelas di ingatannya. Perasaan belas kasihannya pada Hakim mula menebal. Perlukah dia menangguhkan majlis permahkotaan tersebut? Soalnya dalam hati.


bersambung...

Khamis, 30 September 2010

KESATRIA (ep. 3)

Photobucket
gambar hiasan

Teriakan Azzuan kedengaran jelas di pagi yang hening itu. Burung-burung merpati yang berada berhampiran kawasan tersebut semuanya berterbangan disebabkan terkejut dengan teriakan Azzuan itu. Hakim menyedari gelagat Azzuan tersebut. Dia melabuhkan punggungnya dan berehat di kerusi panjang tersebut. Pada masa yang sama, Azzuan dan Syakir berjalan dengan pantas ke arahnya.

“Hakim, ke mana kamu menghilang seminggu ini, hah!?” Bentak Azzuan sebaik sahaja dia berada di hadapan Hakim. Syakir hanya memandang gelagat Hakim yang ibarat tidak endah kepada bentakan Azzuan.

“Waalaikumussalam. Saya tidak hilang ke mana, Azzuan. Saya baik-baik sahaja.” Balas Hakim sambil tersenyum. Sambil itu dia menyindir Azzuan yang datang kepadanya tanpa memberi salam. Muka Azzuan kemerahan akibat menahan marah. Apatah lagi tercabar apabila dirinya disindir sedemikian. Namun, segala kemarahannya berjaya dikawalnya.

“Kamu tahu kan apa yang sudah berlaku di Ibu Negara?” balas Syakir lagi.

Hakim hanya mendiamkan diri. Dia amat mengetahui dan memahami apa yang sudah berlaku di Ibu Negara dan di seluruh negara.

“Kamu sebagai antara 4 Kesatria Maharaja sepatutnya bersikap lebih bertanggungjawab.” Syakir menambah lagi.

Hakim hanya tersenyum mendengar kata-kata Syakir.

“Kamu berdua kan ada di Ibu Negara. Saya yakin yang negara ini dalam keadaan terbaik di tangan kamu berdua.” Balas Hakim

Photobucket
gambar hiasan

Azzuan pula semakin tidak tahan dengan sikap Hakim yang bersikap sambil lewa itu berkata,

“Jangan nak main-main Hakim! Kamu tahu tanpa sekurang-kurangnya 3 orang Kesatria Maharaja, segala keputusan tidak dapat dibuat! Kita masih lagi dalam undang-undang Darurat! Kita belum lagi aman!” Azzuan mula melampiaskan isi hatinya.

“Ya, saya faham Azzuan. Saya boleh lihat dengan mata saya sendiri.” Balas Hakim yang sudah mula panas telinga dengan leteran Azzuan.

“Dan, kamu jangan nak lari dari hakikat bahawa 3 hari lagi adalah Majlis Permasyhuran kamu sebagai Maharaja Andalusia yang baru.” Tambah Syakir.

“Saya minta diri dahulu.” Hakim terus bangun dari kerusi dan terus beredar dari bulatan pancuran tersebut. Namun gerakannya dihalang oleh Syakir dan Azzuan. Hakim hanya melihat tindakan kawan-kawan lamanya itu. Dia sudah menjangka yang dia sudah tidak dapat berbuat apa-apa sekarang ini.

“Ikut saya ke Pejabat. Mulai hari ini, saya sendiri akan mengawal segala gerak geri kamu.” Azzuan berkata kepada Hakim dengan pandangan mata yang tajam.

Dalam keadaan tersebut, Hakim hanya mampu menuruti sahaja kemahuan rakan-rakannya itu.


Bersambung…

Sabtu, 25 September 2010

KESATRIA (ep. 2)

Photobucket
gambar hiasan

Pagi itu di Ibu Negara, Azuan berjalan mundar-mandir di pejabatnya. Dia masih sugul memikirkan masalah yang datang kepadanya bertimpa-timpa. Dia masih tidak mengerti kenapa perkara-perkara tersebut datang mengujinya. Di sebelahnya, Syakir, hanya memerhatikan dengan hati yang risau. Syakir hanya mendiamkan diri.

“Mana Hakim? Dah seminggu dia menghilangkan diri. Dia sepatutnya dah pulang ke sini!!”

Bentak Azuan tiba-tiba. Syakir agak terkejut dengan pekikan Azuan itu. Dia kemudian datang kepada Azuan untuk menyabarkannya.

“Sabar Azuan. Mungkin Hakim ada alasannya sendiri. Atau pun dia perlukan masa untuk mengasingkan diri buat sementara waktu.” Syakir cuba untuk menyabarkannya. Dia tahu perangai Azuan yang sukar untuk dipujuk apabila sedang marah. Nafas Azuan semakin laju tetapi kemudian mula perlahan. Dia cuba mengawal kemarahannya.

“Aku faham apa yang berlaku pada Hakim. Tapi, dia sepatutnya menjadikan perkara ini lagi mudah. Bukan lagi tambah masalah!!” Azuan meluahkan isi hatinya kepada Syakir.

Syakir pula terkenang kan akan tradegi yang menimpa keluarga Hakim. Sudah tentulah seorang pemuda berusia 25 tahun itu tidak akan dapat mengawal perasaan dan pergi membawa diri. Apatah lagi peristiwa itu berlaku ketika dia jauh di perbatasan. Pada masa itu, seorang Pegawai Tentera masuk ke bilik Azuan.

“Tuan Azzuan, Tuan Hakim sudah tiba.” Katanya melaporkan tugasnya.

Azzuan dan Syakir terkejut dengan berita terkejut dan cuba mendapat kepastian.

“Betulkah dia sudah berada di Ibu Negara? Di mana dia sekarang?” Syakir bertanya dengan pantas, cuba untuk mengetahui lokasi sebenar Hakim

“Baginda sekarang sedang berehat di Bulatan Pancutan Air di luar Pejabat Pentadbiran Tuan.” Balas pegawai tersebut.

Selepas menyuruh pegawai tersebut kembali ke tugasnya, Azzuan dan Syakir melangkah dengan pantas ke arah pintu keluar utama. Azzuan berada di hadapan sementara Syakir mengiringinya di belakang.

“Kalau aku jumpa dia, siap lah kau. Dah besar pun masih nak kena orang jaga” Azzuan berkata dengan perasaan marah. Syakir hanya mengirinya di belakang. Mereka sampai ke balkoni dan menuruni tangga. Kemudian, mereka melintasi dewan penghadapan dan menuju ke arah pintu besar. Selepas keluar dari pintu besar, pemandangan sebuah bulatan dan pancutan air di tengah menjamah mata mereka. Sinaran sang suria mula kelihatan.

Photobucket
gambar hiasan

Berhampiran dengan bulatan tersebut, terdapat beberapa baris kerusi rehat. Azzuan dan Syakir kemudian melihat dari jauh kelibat seseorang yang sedang memberi makanan kepada merpati-merpati di situ.

“Hakim!!...” Jerit Azzuan..


Bersambung…

Khamis, 23 September 2010

KESATRIA (ep. 1)

Photobucket
gambar hiasan

Matahari mula terbenam seperti biasanya dan malam mula melabuhkan tirai. Langit cerah malam ditemani dengan kelipan bintang. Walaupun tanpa cahaya Sang Rembulan, ia tetap suatu pandangan yang mendamaikan. Tiupan angin malam menambah kedinginan malam. Deruan ombak di pantai menambahkan lagi nikmat kedamaian yang sudah lama diimpikan buat sekian lama. Pantai tersebut kosong tanpa pengunjung. Di balik kesunyian malam, kedengaran sayup-sayup bunyi tapakan kaki kuda dari jauh. Bunyi tersebut semakin lama semakin dekat. Kelibat seorang pemuda memacu kudanya ke arah pantai tersebut. Dia mula menghirup udara pantai sedalam-dalamnya. Dia begitu asyik ibarat sudah lama tidak menikmati keadaan tenang dan damai tersebut.

Dia turun dari kudanya, kemudian memegang tali pacu kudanya dan berjalan ke arah pinggir pantai yang berpasir. Kudanya hanya menurut berjalan di belakangnya. Sambil dia berjalan, dia melihat suasana sekeliling yang kosong tanpa penghuni. Sedang dia berjalan bersendirian, sekali lagi kedengaran sayup-sayup suara kuda dari jauh. Kuda tersebut laju berlari ke arah kawasan pantai tersebut. Semakin lama semakin hampir. Seorang lagi pemuda menunggang kuda tersebut dan berhenti setelah hampir dengan pemuda pertama tadi. Dia turun dari kuda dan mula menundukkan diri kepada pemuda pertama tadi.

Photobucket
gambar hiasan

“Tuan Hakim, puas saya cari tuan. Semua pihak dah bersedia untuk pulang ke ibu negara. ” Kata Pemuda tersebut.

“Saya belum rasa hendak pulang lagi Rasyid. Kalau boleh, saya tidak mahu pulang.” Kata Hakim.

“Tuan, kenapa tuan kata begitu? Sekarang, seluruh negara perlukan tuan.” Kata Rasyid lagi. Cuba untuk meyakinkan Hakim untuk pulang ke ibu negara.

“Orang lain perlukan saya… tapi di mana orang yang saya perlukan Rasyid?” Jawab Hakim sambil melihat ke arah pantai.

Rasyid pula hanya mendiamkan diri. Seluruh negara sudah mengetahui nasib malang yang melanda keluarga Hakim. Rasyid hanya mendiamkan diri. Dia mengetahui, orang luar sepertinya pasti tidak memahami perasaan Hakim.

“Tidak mengapa lah Rasyid. Saya akan pulang sekarang.” Kata Hakim sambil tersenyum. Rasyid pula mengangkatkan kepalanya dan bersetuju untuk mengiringi Hakim pulang ke ibu negara.

*****
Bersambung…

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails