Khamis, 26 Januari 2012

KDD (Episod 4)

“Terima kasih banyak-banyak Datin. Budi baik Datin tak dapat kami balas.” Kata Makcik Aminah. Wanita tua itu tidak dapat menahan sebak akan jasa yang telah diberikan oleh Datin Zubaidah. Semenjak kematian suaminya 2 tahun lalu, dia hanya tinggal keseorangan di rumahnya di kampung Parit Lapis itu. Perkahwinannya tidak meninggalkan seorang pun waris. Maka, selepas kematian suaminya, punca pendapatannya terputus.

“Tidak ada apa-apalah nek, ini memang rezeki nenek.” Kata Datin Zubaidah sambil tersenyum.

Setiap bulan, Datin Zubaidah akan datang ke rumah Makcik Aminah untuk melihat keadaannya. Bagi Datin Zubaidah, itu adalah rutin kebiasaan baginya untuk melihat keadaan keseluruhan kampung yang merupakan tanah kurnia yang sekarang ini milik suaminya turun temurun.

“Kalau ada apa-apa lagi bagitau saya yer nek?” Tambah Datin Zubaidah lagi sambil meminta izin untuk mengundurkan diri. Makcik Aminah pada masa yang sama membalas salam daripada Datin Zubaidah dan melihat kereta mewah milik Datin Zubaidah beredar dari halaman rumahnya.

“Datin, nak saya terus hantar Datin ke rumah ke?” Tanya Sudin, pemandu kereta mewah peribadi milik Datin Zubaidah. Sambil memandang ke hadapan, Datin Zubaidah menjawab pertanyaan itu. “Ya Sudin, bawa saya balik ke rumah sahaja”. Kereta mewah itu meluncur laju di kawasan perkampungan itu. Parit-parit, kebun-kebun dan rumah-rumah di perkampungan itu adalah pemandangan biasa sejak puluhan tahun dahulu di kawasan perkampungan yang merupakan tanah kurnia oleh Sultan kepada keluarga Datuk Zakaria.

“Datin, maaf saya bertanya. Datin ada masalah ke?” tanya Sudin lagi. Dia risau melihatkan wajah isteri majikannya itu yang muram semenjak pulang daripada istana beberapa hari yang lalu.

Datin Zubaidah hanya mendiamkan diri dengan pertanyaan itu. Namun, dia merasakan sudah sampai masanya dia cuba mendapatkan kepastian akan persoalan yang lama dipendamkan olehnya itu. Sambil membetulkan tudungnya, Datin Zubaidah bersuara,

“Sudin, saya nak tanya. Kamu dah lama berkhidmat dengan Datuk kan? Mesti ke mana dia pergi, kawan-kawan Datuk.. semua kamu tahu kan?” tanya Datin Zubaidah kepada Sudin.

“Adalah beberapa perkara yang saya tahu betul Datin. Kenapa Datin tiba-tiba tanya soalan macam tu?” tanya Sudin kembali.

“Saya dah jumpa ramai kawan Datuk, tapi saya tak pernah nampak dia rapat dengan sesiapa sama seperti dia rapat dengan Datuk Suhaimi. Saya tahu mereka kawan dari kecil, tapi ramai kawan datuk dari kecil tapi takdelah sampai ke tahap Datuk Suhaimi.” Jelas Datin Zubaidah kepada Sudin. Cuba melepaskan segala persoalannya kepada Sudin untuk dijawab.

“Ada sebabnya Datin. Datuk Suhaimi tu dapat Datuk pun Datuk Zakaria yang tolong.” Balas Sudin singkat.

“Maksud kamu?” Tanya Datin Zubaidah lagi. Dia masih tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Sudin itu.

“Bisnes sarang burung walet milik Datuk Suhaimi tu, modalnya Datuk Zakaria lah yang banyak tolong. Dah maju macam ini, mestilah Datuk Suhaimi banyak terhutang budi.” Tambah Sudin.

“Hmm.. betul juga tu. Susah suami saya tu nak pinjamkan duit pada orang lain.” Kata Datin Zubaidah apabila memikirkan yang jawapan Sudin itu ada juga logiknya. Namun, apa kebaikan Suhaimi sehingga suaminya sanggup meminjamkan wang kepadanya.

“Datin masih lagi bergaduh dengan Datin Ima?” kata Sudin tiba-tiba.

Soalan cepu emas daripada Sudin itu menyentap kesedaran Datin Zubaidah yang sedang leka memikirkan hal Datuk Suhaimi. Kini persoalan akan isteri Datuk Suhaimi, Datin Rahimah pula muncul di fikirannya.

“Haih, malas saya nak fikirkan tentang betina garik tu.” Kata Datin Zubaidah sambil mulutnya di muncungkan sedikit ke hadapan.

“Dah 15 tahun Datin kenal dia. Rasa dah sampai masa Datin berdua berbaik”. Kata Sudin lagi sambil tersenyum melihat ke arah cermin pandang belakang kereta mewah itu.

Sementara itu, Datin Zubaidah hanya mendiamkan diri sahaja. Dia tahu perkara antara kedua-dua mereka itu perkara lama dan sudah sampai masanya mereka berdua berbaik. Tapi, ini bukan masalah boleh berbaik atau tidak. Ini masalah keserasian antara mereka berdua. Bagaimana hendak berbaik kalau masing-masing tidak serasi?

Sedang dia memikirkan akan peristiwa yang berlaku antara mereka berdua, kereta mewah itu telah pun masuk ke halaman rumah agamnya yang tersergam indah.


bersambung..

Kisah Datin - Datin (KDD)

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails