Khamis, 5 Januari 2012

KDD (Episod 1)

Perkahwinan Putera Mahkota dengan gadis pilihan hatinya menjadi topik hangat buat beberapa ketika. Seluruh negeri gamat dengan gossip-gosip daripada istana, dan media massa dan elektronik pula memaparkan segalanya akan perkahwinan tersebut daripada saat perkenalan mereka sehinggalah ke perkahwinan mereka yang dianggap sebagai Perkahwinan Abad Ini. Ramai keluarga bangsawan negeri dijemput ke perkahwinan tersebut. Di saat itu, kedua-dua mempelai, Putera Mahkota dan pasangannya, bakal Puteri Mahkota amat secocok dan sepadan di antara satu sama lain. Di dalam majlis itu, pihak istana mengumumkan bahawa isteri kepada Putera Mahkota akan dimasyhurkan sebagai Puteri Mahkota dalam majlis berasingan di hari ulang tahun pertama perkahwinan mereka. Ia merupakan hari paling bahagia bagi Sultan dan Sultanah bersama-sama dengan kerabat diraja yang lain.

Di samping itu juga, ini juga lah masa bagi keluarga-keluarga bangsawan berjumpa di antara satu sama lain. Di antara kenamaan di situ adalah sahabat karib semenjak kecil, Datuk Zakaria bin Tun Mohd Ilyas dan Datuk Suhaimi bin Abd Rahman. Kerana kesibukan kerja, mereka semakin lama semakin kurang meluangkan masa bersama. Maka, peluang seperti ini sangat bermakna buat mereka.

“Tak sangka kamu juga dijemput ke majlis ini Suhaimi.” Kata Datuk Zakaria kepada Datuk Suhaimi.

“Itulah, dunia ini kecil sahaja. Isteri Putera Mahkota tu rupanya rakan pada anak aku.” Kata Datuk Suhaimi pula, sambil diiringi ketawa kecil oleh mereka berdua.

“Cakap pasal kahwin, bila pula kau nak kahwinkan Shiela tu, dah besar panjang dah.” Datuk Zakaria bertanya kepada Datuk Suhaimi apabila teringatkan Shiela yang dia sudah lama tidak jumpa.

“Nantilah dulu. Budak-budak zaman sekarang mana boleh paksa kahwin.” Tambah Datuk Suhaimi apabila ditanya mengenai jodoh anaknya.

“Alah, zaman kita dulu ok jer. Mak Bapak carikan. Kekal pun sampai sekarang.” Jawab Datuk Zakaria berseloroh sambil diikuti dengan gelak ketawa mereka berdua.

“Ari, aku rasa sekarang bukan anak-anak yang kita patut fikir.” Kata Suhaimi sambil melihat ke kirinya.

Melihat tindakan rakannya itu, Datuk Zakaria pun melihat ke kanannya. Dan, daripada pandangannya itu dia terus boleh menangkap apa yang cuba disampaikan oleh rakannya itu.

“Alah, Datin.. setakat jam tangan macam itu, I pun boleh beli lah. Apa U ingat I tak mampu ke? Jam tangan ada berlian tu I tak heranlah. I boleh pergi London cari 10 bawa balik Malaysia ini.” Suara Datin Rahimah yang sayup-sayup boleh didengari oleh suaminya tidak jauh dari situ. Sambil memeluk tubuh, dia membuat gaya untuk menyakiti hati Datin Zubaidah di sebelahnya.

“Alah.. U memang macam tu Datin Ima ooi. Nak cakap bawak balik 10 konon. Satu pun tak mampu nak beli. Tiap-tiap hari ghalit melayan kucing siam U yang tak berapa nak Siam tu.” Sindir Datin Zubaidah cuba membalas dendam terhadap sindiran Datin Rahimah.

“Amboi, mulut takder insuran ke? Kucing Siam I tu, I beli di Thailand okay?” kata Datin Rahimah lagi apabila kucing siam kesayangannya mula masuk dalam subjek pergaduhan.

“Eleh, U ingat I tak tau? Kucing tu lahir kat Malaysia, pastu dijual ke Thailand, pastu U pergi Phuket import balik kucing tu balik Malaysia. Thailand SANGAT~~”Datin Zubaidah yang memang mempunyai bakat bercakap lepas berjaya mendapat punch line-nya.

Sedang pergaduhan itu berterusan, kedua-dua orang gajian Datin-Datin itu cuba untuk melayan kerenah puan-puan mereka. Sementara itu dari jauh, Datuk Zakaria dan Datuk Suhaimi hanya memerhatikan sahaja gelagat kedua-dua isteri mereka bergaduh. “Macam mana diorang boleh jadi macam ni?” Fikir mereka berdua di dalam hati. Kalau di Istana Besar mereka masih bergaduh begitu, bagaimana agaknya bila mereka di luar?


Bersambung..

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails