Khamis, 12 Januari 2012

KDD (Episod 2)

“Apa yang tak kena dengan awak ni, Ima?” tanya Datuk Suhaimi kepada isterinya.

“Apa maksud abang? Sayang tak lakukan apa-apa kesalahan pun.” Kata Datin Rahimah cuba membela dirinya. Dia tahu bahawa soalan suaminya itu adalah merujuk kepada sikapnya di Istana ketika majlis santapan di Balai Besar.

“Perangai sayang itu lah. Apa masalah sayang dengan Datin Ida tu?” tanya suaminya terus terang. Dahinya berkerut, jelas menunjukkan dia malas untuk berlapik-lapik lagi. Dia melipatkan surat khabarnya di meja teh dan duduk di kerusi sofa di kamar peraduan mereka.

Datin Rahimah yang baru sahaja lepas bersolek bangun dari meja solek dan menuju ke sofa berhadapan dengan suaminya. Sambil duduk, dia mula bersuara cuba membela diri.

“Abang, saya tiada apa-apa masalah dengan Datin tu.. Cuma dia tu saja yang tidak boleh terima saya. Betina garik tu memang…”

Namun, sebelum sempat Datin Rahimah menghabiskan ayatnya, Datuk Suhaimi berdehem memotong percakapan isterinya. Matanya tajam memerhatikan isterinya.

“Sayang tahu kan Datin Ida tu isteri kepada Datuk Zakaria? Kawan baik abang?” Soal Datuk Suhaimi dengan tegas kepada Datin Rahimah.

“Sayang tahu Abang, tapi..” Datin Rahimah cuba menjawab. Tapi sekali lagi percakapannya dipotong.

“Tapi, sayang rasa Datin Ida tu perempuan jahat?” tanya Datuk Suhaimi sekali lagi.

“Tidak Abang, tapi..” Dan sekali lagi jawapan yang cuba diberikan oleh Datin Rahimah dipotong oleh Datuk Suhaimi.

“Tapi, sayang rasa nak berbaik dengan Datin Ida pun sayang tidak boleh?” sekali lagi Datuk Suhaimi bertanya buat kali yang ketiga.

“Mestilah boleh abang, tapi…” dan buat kali yang ketiga jawapan Datin Rahimah dipotong lagi.

“Sudah, abang taknak dengan tapi-tapi lagi. Abang tak mahu nampak lagi Ima dengan Datin Ida bertengkar macam budak-budak seperti tadi.” Jawab Datuk Suhaimi dengan tegas sambil bangun dan menuju ke arah katil untuk merebahkan dirinya.

Datin Rahimah hanya memandang dengan dingin sahaja sikap suaminya itu. Dia juga terfikir buat kesekalian kalinya bagaimanakah untuknya berbaik-baik dengan Datin Zubaidah. Bukan dia tidak pernah untuk cuba berbaik dengan Datin Zubaidah. Namun, mereka berdua ibarat api dengan minyak. Tidak boleh berjumpa apatah lagi duduk bersama. Tiada lain yang akan menimpa melainkan pergaduhan antara mereka berdua dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara.

Dalam waktu Datin Rahimah keresahan akibat ketidaksefahaman akan perkara Datin Zubaidah, kucing Siam kesayangan Datin Rahimah datang dan memanjakan dirinya di kakinya. Datin Rahimah sambil tersenyum mengangkat kucingnya dan meletakkan di ribanya. “Meow~~” kucingnya mengeow berulang-ulang kali apabila tangan Datin Rahimah membelainya. Melihatkan gelagat kucingnya itu, Datin Rahimah teringat akan kata-kata Datin Zubaidah.

“Macam mana Datin Ida tahu yang kucing ni asal Malaysia? Aku tak pernah beritahu sesiapa tentang ni..” katanya dalam hati.


bersambung...

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails