Khamis, 19 April 2012

Ibarat Kaduk naik Junjung

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat datang semua

Apa khabar anda-anda semua. Semoga baik semuanya di hari Khamis yang berbahagia ini. Pada hari ini saya mahu kongsikan kepada anda semua akan satu peribahasa melayu yang berbunyi, "Ibarat Kaduk Naik Junjung". Seperti namanya, bila kita menyebut Kaduk, pasti anda semua akan teringat akan satu nama popular dalam hikayat melayu lama iaitu Pak Kaduk. Namun, Pak Kaduk adalah seorang yang lurus bendul, jadi apa kaitan dengan peribahasa melayu ini? Tiada kaitan pun sebenarnya, sebab Kaduk di sini bukanlah merujuk kepada Pak Kaduk tapi adalah sebuah pokok bernama Pokok Kaduk.

Pertama sekali, peribahasa di atas bermaksud :-

Orang hina yang dimuliakan atau mendapat keistimewaan sehingga dia lupa diri dan asal usulnya.

Apa kaitan pokok kaduk dengan lupa diri?

Saya yakin yang ramai antara kita tak tahu rupa bentuk Pokok Kaduk ni. Tapi sebenarnya, dia amat serupa dengan 'kembar'nya yang amat popular dalam masyarakat Melayu kita iaitu Pokok Sireh. Serupa tapi tak sama.. lebih kurang macam tu laa... Ini adalah rupa pokok Sireh..


dan beginilah rupa pokok Kaduk.


Perasan kan? Pokok Sireh adalah tumbuhan yang memanjat. Jadi, adalah menjadi kelaziman untuk memasang kayu pancang (junjung) supaya sirih boleh memanjat. Ini adalah sifat semulajadi sireh. Pokok Kaduk pula adalah jenis pokok yang tumbuh melata di atas tanah. Ia bukanlah jenis pokok yang memanjat dan lebih kecil daripada sireh, juga boleh hidup tanpa junjung. Tapi, jika diletak junjung di sebelahnya, ia akan menggunakan junjung tersebut. Selagi adanya junjung, selagi itu ia akan memanjat dan hidup meninggi, melupakan sifatnya yang sebenarnya tumbuh melata di atas tanah. Sehinggalah ke satu tahap, di mana junjung tersebut patah disebabkan batang pokok Kaduk yang semakin besar dan pokok tersebut rebah kerana tidak dapat menampung berat pokok tersebut.

Jadi, atas sebab pemerhatian orang dahulu terhadap pokok kaduk dan sireh inilah, munculnya peribahasa ini yang ditujukan kepada orang yang melupakan asal usulnya. Jadi, sentiasalah ingat asal usul kita walau betapa tinggi pun kita berada. ^^

Sekian untuk kali ini.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails