“Haih, mama Ila pun macam itu juga abang.” Kata Sheila lagi.
Arief dan Sheila menyedari yang mereka berdua telah memilih masa yang salah dan di kesempatan yang salah untuk menerangkan hasrat hati mereka masing-masing akan jodoh pilihan mereka.
“Abang ingat lepas dipilih jadi Presiden Kelab, makin baiklah mereka berdua. Rupanya makin buruk” kata Arief. Sheila pula hanya mengangguk, dan kemudian menyambung, “Mesti ada sesuatu yang berlaku pada mereka yang kita tidak tahu abang.” Sheila cuba untuk bersangka baik pada ibu-ibu mereka walaupun dia memang tahu dan jelas yang kedua ibu mereka ibarat anjing dengan kucing. Tidak boleh berjumpa walaupun seketika.
“Macam mana ni abang? Kita tak boleh biar keadaan macam ini berterusan.” Tanya Sheila resah memikirkan akan masa depan perhubungan mereka.
“Tidak mengapa, abang ada pelan kedua.” Kata Arief dengan nada yang yakin.
“Pelan kedua? Apa yang abang nak buat ni?” Kata Sheila sambil dahinya berkerut. Dia agak ragu-ragu bagaimana Arief mahu menyelesaikan keadaan yang sudah pun sedia berserabut.
“Mari, ikut abang.” Kata Arief sambil menghabiskan minumannya sebelum bergerak ke arah keretanya. Sheila mengikut di belakang. Arief kemudian memandu laju kereta Honda miliknya ke arah yang tidak diketahui. Apa yang pasti, itu adalah jalan yang terakhir dan percubaan terakhir dalam perancangannya untuk mengahwini Sheila.
***
Pada masa yang sama, mesyuarat pertama di antara Datin Zubaidah dan Datin Rahimah sebagai Presiden dan Timbalan Presiden berlangsung di bangunan Kelab Datin Pencinta Kucing. Seperti mana kebiasaan, Presiden dan Timbalan Presiden yang dilantik akan memilih barisan ahli jawatankuasanya untuk membantu dan menguruskan aktiviti-aktiviti kelab yang akan dirancang pada masa akan datang.
“Entah macam mana boleh menang? Tipu undi agaknya” Datin Rahimah bersuara lantang. Datin Anastasia di sebelahnya juga mengangguk-angguk tanda setuju. Namun, dia belum cukup berani untuk bersuara dan berhadapan dengan Datin Zubaidah.
“Awak jangan nak buat pedajal di sini. Siapa yang tipu undi? Kalau tak silap, rasanya ada orang tu keluar beribu-ribu ringgit nak melobi diri sendiri yang tak berapa nak bagus tu jadi Presiden Kelab” Datin Zubaidah membalas kata-kata Datin Rahimah. Datin Nur Ain cuba untuk menenangkannya.
“Ah, sudahlah Datin Ida. Tak payah nak berdolak-dalik lagi. Memang Datin ada tipu undi. Sudah lah itu, anak Datin ada hati pula nak jadi menantu saya.” Datin Rahimah pula melontarkan kata-kata tajamnya kepada Datin Zubaidah.
Mendengarkan percakapan Datin Rahimah itu, dengan serta merta Datin Zubaidah teringat akan permintaan anaknya Arief akan niatnya untuk memperisterikan Sheila, anak kepada Datin Rahimah. “Anak kamu tu pun sama juga. Ada hati nak jadi menantu keluarga Datuk Paduka Bagan konon”
Mendengar kata-kata Datin Zubaidah itu, Datin Rahimah sudah tidak boleh untuk menahan sabarnya dan cuba untuk meluru ke arah Datin Zubaidah. Datin Zubaidah juga ibarat mahu membalas reaksi Datin Rahimah namun sempat ditenangkan oleh Datin Nur Ain dan Datin Anastasia.
“Sudahlah tu kamu berdua. Jangan campur adukkan soal persatuan dengan soal peribadi.Cuba jadi professional sikit.” Kata Datin Nur Ain yang cuba menahan Datin Zubaidah.
“Betul tu, kita ada banyak aktiviti yang perlu dirancang dan kucing-kucing yang perlu dijaga. Kalau Datin berdua asyik bergaduh, apa yang kita dapat.” Kata Datin Anastasia pula. Mereka berdua juga sebenarnya tidak serasi namun buat masa ini, mereka mengetahui pergaduhan antara Datin Zubaidah dan Datin Rahimah tidak akan membawa sebarang manfaat kepada mereka.
Mendengar kata-kata antara Datin Nur Ain dan Datin Anastasia, kedua-dua Datin Zubaidah dan Datin Rahimah mula menenangkan diri masing-masing. Memang benar tiada sebarang manfaat yang akan mereka terima dan mereka juga sedar, aktiviti persatuan ini perlu mereka asingkan daripada soal peribadi.
“Baiklah, saya tidak mahu buang masa lagi. Untuk mudahkan kerja, saya sebagai Presiden Persatuan melantik Datin Nur Ain sebagai Setiausaha Agung.” Kata Datin Zubaidah sambil memandang ke arah Datin Nur Ain. Sementara itu, Datin Rahimah juga memulakan langkahnya sebagai Timbalan Presiden, “Saya pula dengan kuasa yang ada pada saya melantik Datin Anastasia sebagai Bendahari Agung.”
Datin Zubaidah dan Datin Rahimah berpandangan sesama sendiri.
“Soal anak-anak pula macam mana?” kata Datin Rahimah dengan pandangan yang tajam kepada Datin Zubaidah.
Sambil membetulkan tudungnya, Datin Zubaidah menjawab ringkas.
“We can kill each other after our business here is settle.”
1 ulasan:
ganas.hehe
Catat Ulasan