Jumaat, 3 Februari 2012

KDD (Episod 5)

“Abang, macam mana dengan masakan saya malam ini?” tanya Datin Zubaidah kepada suaminya selepas menjamu selera.

“Sedap. Tapi abang pelik, kenapa tiba-tiba rajin masak pulak ni? Tanya Datuk Zakaria kepada isterinya. Sudah lama mereka berkahwin, Datuk Zakaria amat mengenali sikap isterinya yang kurang gemar untuk memasak. Kebanyakan hidangan makan malam disediakan oleh orang gajian mereka.

“Abang ni, bila saya tak masak abang bising. Bila saya masak abang tanya pula?” balas Datin Zubaidah lagi. Mukanya berkerut melihat ke arah suaminya yang bertanya akan kenapa dia memasak.

Pada masa yang sama, orang gajian mereka yang sedang mengemas meja makan memandang dengan pandangan yang aneh kepada Datin Zubaidah. Sikap Datin Zubaidah pada malam itu memang tidak seperti kebiasaan. Datuk Zakaria juga melihat suasana janggal di rumahnya malam itu, jadi untuk tidak menambahkan lagi suasana janggal itu, Datuk Zakaria mula bersuara akan perkara yang tiada kaitan dengan keganjilan di hadapan matanya itu.

“Ibu dah tidur?” tanya Datuk Zakaria kepada isterinya. Cuba untuk mengubah tajuk perbualan.

“Sudah abang. Awal-awal lagi ibu tidur. Mungkin penat” jawab Datin Zubaidah. Kemudian, dia menyambung lagi.

“Abang, saya dah fikir masak-masak tentang Arief. Memandangkan dia dah balik…” Walaupun Datin Zubaidah masih belum menghabiskan kata-katanya, namun Datuk Zakaria boleh menjangkakan apa yang ingin dikatakan oleh isterinya apabila nama Arief, anak bongsunya disebut-sebut.

“Agghhh.. ngantuknya abang. Abang nak naik rehat dulu yer?” Datuk Zakaria berpura-pura menguap sambil berdiri dan cuba untuk beredar dari meja makan mewah di rumahnya. Melihatkan gelagat Datuk Zakaria itu, Datin Zubaidah cepat-cepat cuba menahan suaminya daripada beredar terlalu cepat. Apa yang hendak dikatakannya itu perlu diberitahu secepat yang mungkin.

“Abang, jangan nak mengelak lagi. Abang tahu ini satu-satunya masa yang kita ada. Kita kena cari jodoh untuk Arief secepat yang mungkin!” kata Datin Zubaidah sambil memegang tangan suaminya sekuat dan semampunya.

Datuk Zakaria tergamam. Apa yang dirisaukannya itu betul menjadi kenyataan. Dia tidak memahami kenapa semua menantu keluarganya, turun-temurun ibarat mempunyai fikiran yang sama.

“Sayang, Arief tu baru balik daripada Yaman. Kerja pun tiada lagi. Tunggu la setahun dua lagi baru kita buat keputusan.” Kata Datuk Zakaria yang tidak bersetuju dengan tindakan isterinya itu. Dia duduk semula di kerusi meja makan itu.

“Abang, Arief tu satu-satunya anak lelaki kita. Lagipun dia akan jadi pewaris tanah dan gelaran bangsawan Datuk Paduka Bagan. Rezeki dah terjamin dah. Yang penting sekarang ini, kita dapat cucu secepat mungkin.” Balas Datin Zubaidah lagi. Kali ini nadanya suaranya walaupun tidak kuat, tapi terdapat elemen ketegasan daripada cara bertuturnya.

Sambil menongkat dahinya, Datuk Zakaria kemudian menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak sangka anak lelakinya itu akan menerima nasib seakannya. Dijodohkan dengan gadis pilihan keluarga.

“Awak ini, awak dah ada calon ke? Macam mana kalau Arief tidak berkenan?” Datuk Zakaria mula bersuara.

“Dia takkan lawan ibu bapanya sendiri. Kita dah didik dia baik-baik agar tidak melawan ibu bapa. Lagipun, kita kahwin pun ibu bapa kita yang rancang. Kekal sampai sekarang.” Balas Datin Zubaidah. Sekali lagi Datuk Zakaria tidak terkata apa-apa. Namun, dia tetap tidak mahu mengalah.

“Macam ni lah, Datin Zubaidah. Awak beritahu dulu pada anak awak tu. Baru kita jumpakan dia dengan bakal menantu awak.” Datuk Zakaria memberi kata putus kepada isterinya. Namun, dia masih lagi tidak berganjak akan keputusannya tidak bersetuju dengan rancangan isterinya itu. “Macam mana kalau Arief dah ada pilihan dia sendiri?” sambung Datuk Zakaria lagi.

Mendengar kata-kata suaminya, Datin Zubaidah terkesima. Dia tidak terfikir langsung akan kemungkinan itu. Ya, bagaimana kalau Arief sudah ada pilihan hatinya sendiri?


bersambung..

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails