Khamis, 23 Februari 2012

KDD (Episod 8)

Suasana di ibu pejabat Kelab Datin Peminat Kucing pada hari itu riuh-rendah tidak seperti kebiasaan. Pada hari itu, ruang legar kelab tersebut dipenuhi dengan Datin-Datin, Puan Seri-Puan Seri dan juga Pengurus Peribadi masing-masing. Suasana riuh-rendah tersebut adalah disebabkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan kelab tersebut yang diadakan pada minggu sebelumnya. Pada masa itu, satu pilihanraya diadakan untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli jawatankuasa yang baru. Pada minggu ini, keputusan pilihanraya itu akan diumumkan di hadapan 200 ahlinya. Apa yang menambah keasyikan mesyuarat agung ini adalah menyaksikan pengunduran Presiden kedua kelab tersebut, Datin Paduka Suhana yang meletakkan jawatan setelah memegang jawatan selama 5 tahun berturut-turut.

“Datin Ana, kami semua takkan lupa jasa Datin pada kelab ni..” Kata Datin Zubaidah kepada Datin Suhana. Perletakan jawatan tersebut memang amat memberikan kesan mendalam kepadanya.

“Ya, Datin. Kita sama-sama tubuhkan kelab ini dulu. Presiden pertama dah undur diri sebab nak ikut suami jadi Duta. Sekarang Datin pula. Sunyilah kami nanti.” Seorang lagi rakan Datin Zubaidah yang berada di sebelahnya bersuara kepada Datin Suhana.

“Ya, saya juga akan sunyi nanti. Mesti saya rindu pada kamu berdua, Datin Ida, Datin Ain” kata Datin Suhana kepada 2 rakannya itu. Datin Zubaidah dan Datin Nur Ain. Mereka adalah antara 5 pengasas kelab tersebut yang kini mempunyai lebih 200 orang ahli.

Sementara itu, di sebelah pihak yang lain, Datin Rahimah dan Datin Anastasia pula sibuk melayan rakan-rakan mereka yang lain. Mereka ini adalah kategori kumpulan B dalam kelab tersebut, iaitu ahli-ahli baru.

“Wah, mesti tahun ini Datin Ima dan Datin Yaya menang pemilihan kali ini.” Kata seorang daripada Datin-datin tersebut.

“Eh, mestilah. Kita dah banyak kempen untuk Datin Yaya dan Datin Ima. Mana boleh kalah kan?” kata salah seorang lagi.

“Hehe.. terima kasihlah ye.. kalau kami menang, dah tentu kami akan buat lagi banyak program untuk tambah biakkan kucing-kucing yang cantik-cantik ini. Ahak~~” Datin Anastasia yang memang pantang dipuji itu membalas kata-kata rakan-rakannya itu. Sementara itu Datin Rahimah pula hanya mendiamkan diri di sebelah. Memang dia inginkan untuk menang. Tapi dia sangat berharap agar orang di sampingnya adalah sekutu rapatnya, dan buat masa ini orang itu adalah Datin Anastasia.

“Ya, betul itu. Dah sampai masa kumpulan A berundur.” Kata seorang lagi Datin di situ.

Datin Rahimah hanya mengangguk-angguk kan apa yang didengarinya. Matanya pada waktu itu tajam memandang ke arah Datin Zubaidah. Datin Zubaidah adalah mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan A di kelab tersebut. Dan matanya masih melihat ke arah kucing Scottish Fold milik Datin Zubaidah. Hatinya masih geram bagaimana Datin Zubaidah boleh mendapat kucing semahal itu.

Sementara itu, sedar dirinya sedang diperhatikan, Datin Zubaidah pula tersenyum sinis sambil membelai-belai kucingnya yang sedang dipangkunya. Ia hanya menambahkan geram Datin Rahimah kepada Datin Zubaidah.

Sedang ahli-ahli persatuan itu berborak-borak. Satu pengumuman telah dibuat oleh Penolong Peribadi Datin Suhana untuk mengumumkan keputusan pilihanraya.

“Perhatian kepada Datin-Datin dan Puan Seri-Puan Seri, keputusan pilihanraya dan Mesyuarat Agung akan diumumkan sebentar lagi. Dijemput Yang Berbahagia Datin Paduka Suhana untuk naik ke atas pentas dan mengumumkan keputusannya.”

Semua yang hadir bertepuk tangan sebaik sahaja Datin Paduka Suhana naik ke atas pentas. Selepas menyampaikan ucapan ringkasnya, Datin Suhana pun membuka helaian keputusan Mesyuarat Agung untuk perlantikan Presiden dan Timbalan Presiden yang baru.

Kesemua Datin-Datin dan tetamu kehormat yang berada di situ berasa teruja dengan keadaan tersebut.

“Dengan ini diumumkan, Presiden dan Timbalan Presiden baru untuk kelab ini”
“DATIN ZUBAIDAH dan DATIN RAHIMAH”

Datin Zubaidah dan Datin Rahimah terpaku dengan kenyataan tersebut. Bukan sahaja mereka berdua, tetapi satu kelab terkesima dengan pengumuman tersebut. Datin Zubaidah dan Datin Rahimah memandang sesama sendiri.

“Apa???” Itu pula adalah reaksi Datin Anastasia dan Datin Nur Ain.


bersambung..

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails