Khamis, 8 Mac 2012

KDD (Episod 10)

“Arief dengar atau tidak apa yang ibu katakan ni?!” bentak Datin Zubaidah sekali lagi kepada anak lelakinya itu. Sudah berkali-kali keputusannya itu diperkatakan kepada Arief, namun berkali-kali itu jugalah Arief mempertikaikan keputusan ibunya itu.

“Arief dengar ibu, tapi ibu… ibu cubalah dengar apa yang Arief nak katakan. Arief sayangkan Sheila, Arief mahu memperisterikan Sheila.” Kata Arief kepada ibunya itu. Walau apa yang berlaku, dia sudah membulatkan tekadnya untuk memperisterikan Sheila.

“Tidak! Ibu tidak akan setuju!” kata Datin Zubaidah sekali lagi. Datuk Zakaria pula sudah tidak larat untuk melayan kerenah anak dan isterinya itu. Dia sudah tersekat di antara dua orang yang disayanginya. Situasinya sekarang ibarat kata pepatah, Diluah mati mak, ditelan mati bapa. Dia hanya mendiamkan diri sahaja melihat siapakah di antara dua pihak itu yang akan mengalah dahulu. Dan di pihak yang menang itulah yang akan disokongnya.

Di dalam fikiran Arief, tidak terfikirkan lain melainkan supaya mahu memujuk ibunya untuk menerima Sheila. Bukan kerana darjat aku mahu melamar Sheila. Tidak! Tidak sama sekali kerana darjat. Dan bukan kerana kecantikan Sheila yang menyebabkan aku gila bayang. Tidak! Tidak sama sekali. Dia sahajalah wanita yang menerima diriku ketika di waktu diriku tidak dipandang walau dengan sebelah mata sekalipun oleh mana-mana gadis.

Siapa yang mahu berkasih dengan lelaki seberat 110 kg?

Sementara dalam fikiran Datin Zubaidah pula, tiada di dalam benak hatinya untuk mengecewakan Arief. Mana mungkin aku mahu menafikan jodoh pilihan anak bongsu ku dan juga satu-satunya anak lelakiku. Dialah permata dan dialah nyawaku. Tujuanku menolak Sheila bukan kerana keburukan Sheila. Tidak! Tidak sama sekali. Sheila, seorang perempuan moden namun pada masa yang sama baik budi pekerti dan juga selayaknya menjadi suri kepada sebuah keluarga bangsawan. Namun, aku tidak akan pastikan keluargaku bersatu dengan keluarga Datin Rahimah. Tidak! Tidak sama sekali. Bukan kerana keburukan kekasih anakku, tetapi adalah kerana maruah dan martabatku. Sekali-kali aku tidak akan menerima Datin Rahimah sebagai besanku.

Di waktu itu juga, Arief seolah-olah kepenatan dengan pertengkaran tersebut dan kelihatan mula mengalah. Apatah lagi wanita di hadapannya adalah ibu kandungnya sendiri. Dalam keadaan itu, Arief melihat ke arah bapanya. Lirikan mata bapanya seolah-olah cuba menyatakan yang dia memahami situasi anaknya itu. Dia cuba untuk mempertahankannya, namun tidak boleh melaksanakannya. Dia juga berkahwin dengan isterinya kerana pilihan keluarga.

Aku dan Zubaidah sudah kenal sejak kecil. Kami kawan baik antara satu sama lain, dalam keadaan keluarga kami susah dan senang, kami sentiasa bersama. Dia jiran yang baik dan kawan yang memahami. Ibarat sudah adik beradik, tiada dalam sangkaanku bahawa ibu bapa kami sudah merancang mahu menyatukan kami di suatu masa. Aku menerima bukan kerana aku cintakannya, tetapi kerana tiada wanita lain yang pernah mengunjungi hatiku. Dan aku mengaku bahawa, aku tidak tahu apa itu cinta.. dan sama ada aku sudah jatuh cinta. Tapi ibarat ada kesefahaman di antara aku dan isteriku. Namun, jika pada waktu itu, ada seorang wanita singgah di hatiku, adakah aku akan menerima isteriku? Jika aku berada di tempat anakku, siapakah yang perlu aku taat? Perasaanku? Atau Ibuku?

Dalam keadaan rumah riuh rendah itulah, satu suara kedengaran daripada arah tangga ke tingkat atas..

“Sudah, Jangan nak bertengkar ibarat anak kecil Zubaidah!.”

Datin Zubaidah melihat ke arah tangga, dan terkaku tidak mampu berbuat apa-apa. Ibu mertuanya berdiri di kaki tangga. Dia menuruni anak tangga sambil dibantu orang gajian mereka. Dia sebenarnya sudah tidak larat berdiri dan berjalan. Namun digagahnya juga apabila mendengar pergaduhan antara cucunya dan menantunya itu.

“Mak, kenapa mak turun? Mak tak sihat” Kata Datuk Zakaria sambil menyambut ibunya. Dia kemudian membantu ibunya duduk di sofa untuk seorang di ruang tamu tersebut. Kedudukannya jelas sebagai ketua dalam keluarga tersebut. Itulah dia Toh Puan Salbiah, isteri kepada allahyarham Tun Ilyas, Datuk Paduka Bagan ke-6.

“Riuh rendah macam pasar ini kamu mahu mak berehat?” kata Toh Puan Salbiah sambil merenung Datuk Zakaria, anak lelakinya itu yang mewarisi tanah bagan sebagai Datuk Paduka Bagan ke-7.

“Zubaidah, mak harap kamu ada alasan kukuh kenapa kamu tolak Sheila sebagai bakal menantu rumah ini” kata Toh Puan Salbiah dengan pandangan yang dingin kepada Datin Zubaidah, yang sekarang ini memegang gelaran Datin Paduka Bagan.

“Mak, budak Sheila itu tidak sesuai…” kata Datin Zubaidah separuh jalan sebelum dipotong dengan jawapan Toh Puan Salbiah.

“Mak dah jumpa dengan Sheila siang tadi. Arief dah bawa dia berjumpa dengan mak. Arief akan mak jodohkan dengan Sheila. Jangan cuba nak membantah.” Kata Toh Puan Salbiah dengan ringkas.

Datin Zubaidah sekali lagi terkaku di ruang tamu itu. Dia hanya ternganga mendengar kenyataan ibu mertuanya itu. Dia memandang ke arah Arief. Arief pula hanya tersenyum riang mendengar keputusan neneknya itu. Kemenangan sudah berada di pihaknya.


bersambung..

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails